Sebelas individu yang disyaki anggota kongsi gelap ditahan selepas pemeriksaan di lebih 40 pusat hiburan awam, premis hiburan malam, dan kedai makan pada 29 dan 30 November.
Dalam kenyataan pada 4 Disember, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan bahawa operasi itu diketuai Cawangan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dengan sokongan tiga divisyen polis.
Sekitar 100 orang telah diperiksa sepanjang operasi tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Menurut pihak polis, siasatan terhadap kesemua 11 individu berusia antara 19 dengan 61 tahun itu masih dijalankan.
Mereka yang didapati bersalah menganggotai pertubuhan haram boleh dikenakan denda sehingga $5,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Polis menyatakan bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala di pusat hiburan awam, premis hiburan malam dan lokasi tumpuan orang ramai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg