Apabila seorang nenek berusia 70 tahun, Cik Rapeah Sani Mohd, melangsungkan perkahwinan dengan jirannya yang berusia 47 tahun, Encik Shaiful Nizam Yeop Mat Isa, di Perak pada Mei 2025, berita itu segera tular dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Ada yang terharu, tidak kurang juga yang terkejut.
Menurut beberapa laporan akhbar Malaysia, hubungan mereka berputik daripada persahabatan sejak Oktober 2024, apabila Encik Shaiful pulang dari Kuala Lumpur dan tinggal berjiran dengan Cik Rapeah, yang sudah dua kali bernikah sebelum ini.
Mereka diijabkabulkan di satu majlis perkahwinan secara beramai di Lenggong, Perak, yang menyaksikan 25 pasangan dirai pada tanggal bersejarah 25 Mei, atau 25.05.25.
Ikatan sah sebagai suami isteri, sekali gus mencabar norma masyarakat tentang perbezaan usia dan jantina dalam perkahwinan.
Di Indonesia, pelakon popular, Luna Maya, 41 tahun, baru melangsungkan perkahwinannya bersama pelakon kacak, Maxime Bouttier, 32 tahun.
Di Singapura, pasangan sebegini masih dianggap di luar kebiasaan, terutama apabila wanita lebih berusia daripada lelaki.
Menurut statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan Singapura, pada 2023 hanya 3.7 peratus daripada semua perkahwinan melibatkan suami yang sekurang-kurangnya lima tahun lebih muda daripada isteri.
Dalam kalangan perkahwinan pertama, angka itu hanya 2.2 peratus, tetapi meningkat kepada 8.9 peratus dalam kes perkahwinan semula – mencerminkan bagaimana wanita mungkin lebih berani membuat pilihan berbeza selepas perkahwinan terdahulu.
Penyelidikan oleh pakar hubungan dan penulis yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, Cik Susan Winter, mendedahkan bahawa lelaki muda tertarik kepada wanita lebih berusia kerana kematangan dan kestabilan emosi mereka.
Penemuan itu bercanggah dengan tanggapan umum bahawa lelaki hanya mengejar wanita muda kerana ciri fizikal semata-mata.
“Kalau jarak usia bawah 10 tahun, saya rasa dalam 80 peratus kes ia bukan lagi isu besar kerana wanita kini menjaga diri dengan lebih baik.
“Wanita yang 10 tahun lebih tua daripada pasangannya pun jarang nampak seperti berusia 10 tahun lebih tua.
“Perkembangan yang saya lihat semakin kerap berlaku ialah lelaki dalam lingkungan usia pertengahan hingga lewat 40-an berkahwin dengan wanita berusia pertengahan hingga lewat 60-an.
“Saya juga menerima surat daripada wanita berusia 80-an tahun yang mempunyai peminat berusia 60-an – itu petanda perubahan sebenar sedang berlaku,” tulis Cik Winter.
Kian ramai lelaki muda terbuka untuk menjalin hubungan dengan wanita lebih matang.
Umpamanya Encik Harun, 36 tahun (bukan nama sebenar), yang berkahwin dengan pasangannya yang 10 tahun lebih tua daripadanya berkata, kematangan adalah antara daya tarikan utama.
Mereka berkahwin sewaktu umurnya 26 tahun, dan isterinya 36 tahun.
“Saya tidak kisah pasal umur kerana saya sangat selesa dengannya, dan kami sealiran dalam pandangan,” akui Encik Harun yang turut menyembunyikan umur sebenar isterinya daripada pihak keluarga kerana bimbang ia mendapat tentangan ekoran perbezaan umur yang ketara.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak hasil perkahwinan mereka.
Sementara itu, Cik Nafeesah, 47 tahun (bukan nama sebenar), yang belum berumah tangga berkata beliau terbuka untuk bersama dengan seseorang yang lebih muda jika individu itu mempunyai kematangan dan memahami konteks yang dikongsikan dalam perbualan.
“Orang muda mungkin tak faham apa yang saya bualkan, kerana pengalaman berbeza disebabkan jarak umur,” kata Cik Nafeesah, yang tidak menolak kemungkinan berdating dengan lelaki yang jauh lebih muda.
“Saya ada beberapa teman yang berkahwin atau ada hubungan dengan lelaki lebih muda, jadi ia bukanlah perkara pelik bagi saya,” tambahnya.
Menurut Pakar Psikologi Klinikal Kanan di ImPossible Psychological Services, Encik Haikal Jamil, masyarakat lebih menerima jika lelaki lebih berusia berkahwin dengan wanita lebih muda, tetapi bukan sebaliknya.
“Ini berpunca daripada peranan jantina (secara) tradisional dalam perkahwinan, apabila lelaki dianggap sebagai penyara keluarga, manakala wanita dihargai kerana kemampuan mereka untuk melahirkan anak.
“Apabila lelaki meningkat usia, keupayaan mereka untuk mempunyai anak tidak terjejas dengan ketara, malah kebolehan mereka untuk menyediakan keperluan kewangan biasanya meningkat.
“Sebaliknya, kesuburan wanita pula menurun mengikut usia,” jelas beliau.
Encik Haikal turut menambah bahawa meskipun norma sosial kini semakin berubah – dengan wanita juga memainkan peranan sebagai penyumbang kewangan dan sesetengah pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak – pandangan tradisional ini masih terus mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap keserasian dalam perhubungan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg