Topic followed successfully
Go to BHkuPenduduk, akar umbi boleh cuba AV ulang-alik ComfortDelGro di Punggol
Penduduk, akar umbi boleh cuba AV ulang-alik ComfortDelGro di Punggol
LTA belum tetapkan bilangan maksimum penumpang atau tarikh pasti permulaan khidmat awam berbayar
Penduduk, akar umbi boleh cuba AV ulang-alik ComfortDelGro di Punggol
Penduduk Punggol dan pemimpin akar umbi dijemput mencuba perkhidmatan ulang-alik kenderaan berautonomi (AV) ComfortDelGro (CDG) mulai 7 April di kawasan perumahan itu, sebelum tempahan dibuka kepada semua.
Mereka boleh memilih daripada dua laluan: Laluan pertama, sepanjang 12 kilometer dengan tujuh hentian, yang menghubungkan kediaman, hab transit, dan kemudahan utama Punggol, yang mengambil masa sekitar sejam.
Laluan kedua pula lebih ringkas, melangkau beberapa hentian tersebut, dan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit.
Inisiatif itu menyusuli tawaran perjalanan AV awam percuma oleh Grab di Punggol, yang bermula pada 1 April 2026.
Perjalanan di laluan kendalian CDG itu adalah percuma pada fasa awal ini.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) belum menetapkan bilangan maksimum penumpang atau tarikh pasti permulaan perkhidmatan awam berbayar.
Tiada juga petunjuk mengenai bayaran yang akan dikenakan kelak.
Pendekatan itu serupa dengan laluan ulang-alik AV di Punggol yang dikendalikan oleh Grab bersama syarikat AV, WeRide.
Untuk laluan tersebut, Grab memulakan perjalanan untuk kumpulan masyarakat pada 12 Januari, sebelum membuka tempahan awam pada 1 April 2026.
Seperti perkhidmatan ulang-alik AV Grab, seorang pengendali keselamatan akan berada di belakang stereng, siap untuk mengambil alih kawalan jika perlu.
Seorang jurucakap CDG meyakinkan bahawa kenderaan itu mampu beroperasi dengan selamat biarpun sambungan data terputus.
Perkhidmatan ulang-alik kendalian CDG itu terhenti selama kira-kira dua minggu, selepas langkah keselamatan diambil berikutan sebuah AV yang melanggar pembahagi jalan pada 17 Januari 2026.
Siasatan LTA mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila pengendali keselamatan mengambil alih kawalan kenderaan itu, meskipun AV itu telah bertindak balas dengan betul terhadap sebuah objek di laluannya.
Sejak itu, LTA dan CDG telah menyemak semula protokol operasi, khususnya bagi peralihan antara mod pemanduan berautonomi dengan pemanduan manual.
Bagi memperkukuh kecekapan, semua pengendali keselamatan telah menjalani kursus latihan ulang kaji secara langsung selama seminggu oleh Pony.ai, rakan kongsi CDG.
Perkara itu dikongsi Encik William Tan, pengurus kenderaan bagi projek ulang-alik AV itu, semasa pratonton media di Punggol Northshore pada 7 April.
Pony.ai, syarikat China, membekalkan lima AV tersebut serta teknologi sokongannya.
Encik Tan menambah, selain kursus latihan ulang kaji, syarikat itu kini memantau tingkah laku pengendali keselamatan dengan lebih rapi, selain menjalankan pemeriksaan harian kenderaan dengan lebih ketat.
Lima pengendali keselamatan sedia ada – yang terdiri daripada pemandu teksi, pemandu kereta sewa privet, dan jurulatih memandu – telah melalui 21 hari latihan bersama Pony.ai di Guangzhou, China.
Di sana, mereka berlatih dalam keadaan lalu lintas sebenar, membolehkan mereka benar-benar memahami ciri dan tindak balas kenderaan itu.
Tiga lagi pengendali keselamatan kini dalam proses latihan untuk menyertai pasukan itu.
Penyediaan AV untuk perkhidmatan di Punggol itu juga termasuk penyesuaian kenderaan tersebut agar dapat bertindak balas dengan baik terhadap papan tanda dan etika pemanduan tempatan.
Menurut Encik Tan, AV itu akan terus diperhalusi menggunakan maklum balas daripada pengendali keselamatan di lapangan.
Sistem itu sedang dilatih untuk mengenal pasti dan bertindak balas terhadap kenderaan kecemasan, tambahnya.

