Cordlife mengumumkan ia sedang memperbaiki protokol operasi dan menaik taraf sistem pemantauan makmal di kemudahan pemprosesan dan penyimpanannya, sedang ia menyambung khidmat bank darah tali pusat secara terkawal.
Sistem pemantauan baru itu mengesan suhu di 27 tangki simpanan kriogenik dan peralatan penting lain, sekali gus memastikan pengawasan sepanjang masa di lokasi itu dan dari jarak jauh, menurut syarikat tersebut semasa satu lawatan media ke kemudahan itu pada 17 September
Pengurusan Cordlife menyatakan sistem baru itu dilaksana selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengarahkan ia berhenti mengumpul dan menyimpan unit darah tali pusat (CBU).
Arahan itu dikeluarkan selepas sebilangan tangki syarikat itu didapati terdedah kepada suhu melebihi paras optimal.
Cordlife enggan mendedahkan kos tepat, namun menyatakan peningkatan khidmatnya “satu proses berterusan”.
Pengarah Eksekutifnya, Cik Chen Xiaoling, berkata: “Kami terus meningkatkan peralatan dan kemudahan kami, jadi sukar untuk kami menentukan jumlahnya... kami terus melabur.”
Sistem dipertingkat itu termasuk sistem pemantauan berpusat yang boleh mengesan suhu semua peralatan di makmal Cordlife, selain suhu dan kelembapan persekitaran.
Contohnya, tangki simpanan mempunyai suhu 180-190 darjah Celsius di bawah sifar, manakala pembeku suhu ultra rendah mempunyai suhu 70-80 darjah Celsius di bawah sifar.
Ia juga menghantar pemberitahuan kepada teknisyen, penyelia dan kakitangan pengurusan melalui pelbagai saluran, dengan prosedur disediakan untuk memaklumkan sebarang masalah yang dihadapi kepada pemimpin kanan syarikat itu, jika perlu.
Jika terdapat sebarang keadaan tidak normal pada sensor peralatan, kakitangan akan menerima panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.
Pemberitahuan itu akan dihantar kepada peringkat penyeliaan makmal dan akhirnya kepada pengurusan kanan, kata Cordlife.
Bagi memastikan operasi dapat diteruskan dalam apa jua keadaan, sistem tersebut menggunakan sumber kuasanya sendiri, manakala peralatan lain dalam kemudahan itu disokong pelbagai bekalan kuasa dan satu penjana kuasa sokongan.
Cordlife turut meningkatkan tenaga kerja makmal dan teknikalnya, menambah empat kakitangan kanan.
Pelancaran kemudahan seluas 5,400 kaki persegi itu dibuat selepas Cordlife menerima notis pemberitahuan daripada MOH awal September berhubung perubahan pada lesen khidmat bank darah tali pusat syarikat itu.
Sebagai sebahagian perjanjian itu, Cordlife tidak akan mengumpul, menguji, memproses dan/atau menyimpan lebih 30 unit darah tali pusat baru sebulan dari 15 September 2024 hingga 13 Januari 2025, kecuali jika diluluskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan terlebih dahulu.
Cik Chen berkata syarikat itu sudah menerima sebilangan pelanggan baru sejak sebahagian khidmatnya disambung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg