Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cordlife jangka alami rugi bersih bagi separuh pertama 2024

Aug 12, 2024 | 5:44 PM
Cordlife menyatakan bahawa tiada kepastian mengenai hasil siasatan Kementerian Kesihatan (MOH) terhadap kes unit darah tali pusat (CBU) syarikat itu.
Cordlife menyatakan bahawa tiada kepastian mengenai hasil siasatan Kementerian Kesihatan (MOH) terhadap kes unit darah tali pusat (CBU) syarikat itu. - Foto CORDLIFE

Bank darah tali pusat bermasalah Cordlife memberi amaran bahawa ia menjangka mengalami kerugian bersih bagi separuh pertama tahun kewangan 2024.

Ini berbanding keuntungan bersih yang dinikmati syarikat itu bagi tempoh sama pada 2023, berdasarkan semakan keputusan kewangan syarikat itu yang belum diaudit.

Maklumat lanjut mengenai prestasi kewangan syarikat itu akan didedahkan apabila ia mengumumkan keputusan kewangan separuh pertama 2024 yang belum diaudit pada atau sebelum 14 Ogos, kata syarikat itu pada 12 Ogos.

Cordlife menyedari kesan kewangan daripada keputusannya memulangkan wang kepada pelanggan terjejas, selain pengecualian semua yuran tahunan terhadap pelanggan berkaitan kes tangki syarikat itu yang menyimpan unit darah tali pusat (CBU).

Namun, syarikat itu menyatakan bahawa siasatan terhadap kes tersebut “masih dijalankan dan tiada kepastian mengenai hasil siasatan berterusan oleh Kementerian Kesihatan (MOH)”, lapor The Business Times (BT).

Februari lalu, ibu bapa yang unit darah tali pusatnya telah terjejas dan rosak, menerima surat daripada Cordlife yang menawarkan pemulangan yuran tahunan bagi perkhidmatannya yang dijelaskan pada 2022 dan 2023.

Menurut syarikat itu, ia juga akan mengecualikan semua yuran tahunan dari 2022 sehingga tamat tempoh kontrak.

Pada Jun, Cordlife mencatat kerugian bersih $11.6 juta bagi tempoh tiga bulan yang berakhir 31 Mac 2024.

Ini berbanding keuntungan bersih $1.2 juta yang diraih bagi tempoh yang sama pada 2023.

Syarikat itu mencatat pendapatan negatif $240,000 bagi suku pertama 2024, selepas mengambil kira kesan kewangan disebabkan pemulangan wang kepada pelanggan terjejas.

Dalam kes tersebut, sebilangan tangki syarikat itu yang menyimpan CBU pelanggan, diawet beku pada suhu tidak optimal.

Pada 30 November 2023, syarikat itu telah diarah berhenti mengumpul, menguji, memproses dan/atau menyimpan sebarang CBU dan tisu manusia baru.

Arahan itu dikeluarkan MOH selepas pemeriksaannya mendapati sebilangan tangki syarikat itu telah terdedah kepada suhu melebihi had yang boleh diterima.

Pada 27 Mei 2024, MOH melanjutkan notis penggantungan terhadap Cordlife selama tiga bulan lagi, menyusuli pemeriksaan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg