KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) berkata satu kes dalam masyarakat yang dilaporkan pada Isnin (21 Dis) didapati tidak berkait.
Dalam kenyataannya pada Isnin malam, MOH berkata kes tersebut merupakan seorang wanita warga Singapura, 39 tahun, yang tidak menunjukkan simptom. Beliau dikesan semasa menjalani ujian bagi Covid-19 sebelum perjalanannya menaiki kapal persiaran yang dijadual.
Wanita itu dibawa ke Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) sehari selepas ujian itu apabila keputusannya didapati positif jangkitan koronavirus.
MOH berkata Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL) telah melaksanakan ujian lanjut untuk memastikan beliau positif bagi jangkitan Covid-19.
Keputusan ujian serologikalnya masih sedang dinantikan, kata MOH.
Memberi perincian, MOH berkata wanita itu tinggal di Jurong West Street 93 dan telah pergi bekerja di Ruising Chemicals Pte Ltd di 18 Boon Lay Way sebelum ujiannya disahkan.
MOH juga mendedahkan bahawa pada 14 Disember lalu, wanita itu bersama keluarganya telah mengikuti lawatan ke Pulau Selatan Singapura bersama lagi dua keluarga - seramai 12 individu secara keseluruhan.
Siasatan masih sedang dijalankan untuk mengenal pasti jika adanya pelanggaran langgar pengurusan selamat.
MOH menambah, siasatan epidemiologikal sedang diusahakan. Sementara itu, kesemua kontak terdekatnya, termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja telah pun diasingkan dan dikuarantin.
Mereka akan diuji pada permulaan dan pada hujung tempoh kuarantin mereka untuk mengesan kes asimptomatik.
MOH juga akan melakukan ujian serologikal terhadap isi rumah dan kontak keluarga untuk mengenal pasti sama ada mereka telah dijangkiti wanita itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg