Covid-19: Langkah berjaga-jaga dalam masyarakat diperketat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Covid-19: Langkah berjaga-jaga dalam masyarakat diperketat

Usaha kurangi jangkitan dari kelompok TTSH; individu digesa hadkan interaksi sosial
May 1, 2021 | 5:30 AM

Covid-19: Langkah berjaga-jaga dalam masyarakat diperketat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
-

SINGAPURA sedang mengambil langkah-langkah menyeluruh bagi mengurangkan penyebaran Covid-19 dari kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH), sedang negara ini meningkatkan langkah berjaga-jaga dalam masyarakat lebih luas dan di sempadannya, menyusuli lonjakan dalam kes baru dalam masyarakat.

Dalam sidang media semalam, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 mengumumkan beberapa langkah tambahan yang akan dilaksanakan mulai hari ini hingga 14 Mei, termasuk menutup tapak perkhemahan dan pit barbeku dan mengehadkan bilangan orang dalam pusat beli-belah dan kedai-kedai besar.

Mengumumkan langkah-langkah tersebut, Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata individu digesa mengehadkan bilangan interaksi sosial mereka ke tidak lebih daripada dua dalam sehari, sama ada mengunjungi isi rumah lain atau bertemu rakan-rakan atau ahli keluarga.

Bilangan pengunjung ke isi rumah akan terus dihadkan kepada lapan orang sehari.

Encik Wong, yang juga pengerusi bersama MTF, akur sekatan sedemikian boleh menyebabkan kesukaran, terutama dengan beberapa hari cuti umum dijadual pada bulan ini, tetapi menggesa warga Singapura supaya bekerjasama dan mengurangkan kegiatan sosial.

"Ini satu-satunya cara untuk mengurangkan penularan virus dalam masyarakat," kata Encik Wong, yang mengingatkan warga membuat persiapan mental bagi sekatan lebih ketat yang terpaksa diambil jika keadaan menjadi lebih teruk.

Memberi kemas kini mengenai keadaan di kelompok jangkitan baru di TTSH, MTF semalam berkata 13 kes Covid-19 telah dikenal pasti di kalangan kakitangan dan pesakit TTSH sejauh ini dan hospital itu telah mengambil langkah segera untuk menyekat wad terjejas.

Kelompok itu timbul menyusuli pengesahan jangkitan seorang jururawat TTSH yang bekerja di wad umum Selasa lalu.

Semua kontak rapat kes yang dikenal pasti, termasuk pesakit, pengunjung dan kakitangan di wad terjejas juga telah dikuarantin.

Semua kakitangan dan pesakit TTSH yang berada di Blok Utama TTSH dari tingkat 3 hingga 13 dari 18 hingga 28 April sedang diuji.

Ketua eksekutif TTSH, Dr Eugene Soh, berkata kesemua 1,100 pesakit dalam wad dan 4,500 kakitangan di hospital itu akan menjalani ujian swab menjelang hujung minggu ini sebagai inisiatif pemeriksaan besar-besaran yang bermula kelmarin.

TTSH juga telah meningkatkan pemantauan klinikal ke atas pesakit dalam wad yang mungkin mengalami demam atau simptom jangkitan pernafasan akut (ARI).

Ujian tambahan itu bertujuan mengutarakan sebarang kaitan tersembunyi, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya semalam.

Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama MTF, berkata MOH akan melakukan pengujian pemantauan ke atas pesakit yang pulang dari TTSH pada atau selepas 18 April, dan juga pengunjung ke hospital itu dalam tempoh sama. Pengujian juga akan dijalankan ke atas individu yang mengunjungi atau bekerja di tempat awam yang kes kelompok TTSH kunjungi semasa tempoh berjangkit mereka.

Pemerintah juga akan menutup selama dua hari tempat-tempat awam yang telah dikunjungi kes-kes itu dalam tempoh mereka masih berjangkit untuk kerja pembersihan dan memudahkan pengujian kakitangan di sana, kata Encik Gan.

Sementara itu, mulai 11.59 malam ini, semua pemegang pas jangka panjang dan pengunjung jangka pendek dengan sejarah perjalanan baru-baru ini ke Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka dalam masa 14 hari lalu tidak dibenarkan memasuki Singapura atau transit melalui negara ini.

Pengunjung dengan sejarah perjalanan baru-baru ini ke empat negara tersebut yang belum selesai menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) 14 hari mereka menjelang 11.59 malam esok, perlu menjalani tambahan SHN tujuh hari di pusat SHN yang dikhususkan.

Laporan lanjut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg