Meskipun dalam tahun-tahun terburuk pandemik, sebilangan belia atau 40 peratus mendedahkan bahawa mereka tidak terjejas atau terjejas secara positif oleh Covid-19.
Bilangan itu meningkat kepada 60 peratus pada 2022, iaitu ketika dunia mula beralih keluar daripada pandemik tersebut.
Dapatan itu menarik dan menunjukkan bahawa golongan belia (berusia 15 hingga 35 tahun) dapat menyesuaikan diri dengan baik terhadap Covid-19 dan boleh meneruskan kehidupan mereka dari segi mereka semakin kurang terjejas oleh pandemik itu.
Ini dijelaskan Profesor Madya Vincent Chua daripada Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan, Universiti Nasional Singapura (NUS), ketika membincangkan data yang dikumpulkan dalam kajian jangka panjang peringkat nasional pertama yang dijalankan ke atas belia di Singapura semasa forum dalam talian iaitu sebahagian daripada persidangan Perspektif Singapura 2024 pada 22 Januari.
Kajian yang dikenali sebagai ‘Kajian Belia tentang Peralihan dan Laluan yang Berkembang di Singapura’ (Youth Steps) itu menjejak sekitar 4,000 responden sepanjang enam tahun dari 2017 hingga 2022.
Terdapat kadar pergeseran 10 peratus, bermakna pada akhir kajian, hanya 2,600 responden yang tinggal.
Dr Chua mengkaji peralihan utama yang penting kepada kesejahteraan belia dan bagaimana wabak Covid-19 memberi kesan kepada peralihan itu.
Peralihan tersebut termasuk dari alam persekolahan kepada pekerjaan, mobiliti pendidikan dan sosial dan perkahwinan.
Menurut dapatan yang dikongsi, sebelum pandemik Covid-19, kepuasan hidup tidak banyak berubah apabila dibandingkan dengan perubahan dalam status pekerjaan.
Dari 2017 hingga 2019, peralihan daripada seorang pelajar kepada status tidak bekerja mengurangkan kepuasan hidup sebanyak 4.6 peratus.
Namun, semasa tempoh Covid-19 iaitu antara 2020 dengan 2022, peralihan daripada seorang pelajar kepada status tidak bekerja mengurangkan kepuasan hidup sebanyak 14.2 peratus.
“Apa yang dicadangkan dengan (data) ini ialah kesan pengangguran adalah tiga kali ganda semasa Covid-19 berbanding tiadanya Covid-19.
“Kami lihat corak yang sama dalam perihal pendidikan. Covid-19 menambah jurang kesejahteraan antara pemegang ijazah dan bukan pemegang ijazah, dan dari segi kepuasan hidup mereka, pemegang ijazah telah melonjak mendahului bukan pemegang ijazah semasa Covid-19,” kata Dr Chua.
“Mesej utamanya ialah kejutan luaran seperti Covid-19 sebenarnya boleh memperdalam ketidaksamaan kesejahteraan antara kumpulan,” tambah beliau.
Beliau menjelaskan bahawa krisis seperti pandemik boleh menjejas kesihatan mental dan ketidaksamaan antara kumpulan berbeza.
Kajian yang dijalankan, tambah beliau, menunjukkan bahawa kumpulan yang lebih terdedah boleh lebih terjejas.
Semasa sesi soal jawab, Dr Chua berkata beliau berpendapat, pandemik seperti Covid-19 menambah kepada cabaran yang dihadapi kerana ia merupakan tempoh yang dipenuhi ketidaktentuan.
Misalnya, seseorang mungkin hilang pekerjaan sebelum Covid-19, tetapi dengan tambahan pandemik tersebut, terdapat elemen ketidaktentuan dan perasaan seolah-olah orang itu tidak dapat mencari pekerjaan baru semudah dahulu.
Dalam erti kata lain, persekitaran Covid-19 memperkenal satu lagi lapisan rasa ketidaktentuan baru yang sebelum itu tidak wujud.
Dalam pada itu, pekerjaan, pendidikan dan perkahwinan masih kekal perkara penting kepada belia.
Oleh yang demikian, penciptaan pekerjaan, mobiliti sosial dan perkahwinan harus kekal sebagai keutamaan dasar, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg