Pemerintah akan membiayai sepenuhnya caruman tambahan yang perlu dibuat pekerja platform bergaji rendah kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka dalam tahun pertama apabila langkah yang memerlukan syarikat dan pekerja platform membuat caruman CPF dilaksanakan mulai 1 Januari 2025.
Skim sokongan peralihan CPF pekerja platform (PCTS), yang diumumkan pada 2023, kini dipertingkat dan akan membiayai 100 peratus kenaikan kadar caruman CPF bagi Akaun Biasa dan Akaun Khas dalam tahun pertama langkah itu dilaksanakan pada 2025 - lebih tinggi berbanding 75 peratus yang diumumkan sebelum ini.
Ini bermakna di bawah skim itu, pemerintah akan memberikan bantuan wang tunai setiap bulan untuk membiayai kenaikan dalam caruman CPF yang dibuat dalam usaha mengurangkan kebimbangan pekerja platform tentang gaji yang dibawa pulang.
Sokongan itu akan disediakan buat pekerja platform bergaji rendah yang lahir pada 1995 dan selepasnya, serta mereka lebih berusia yang ikut serta dalam langkah membuat caruman CPF.
Setelah tahun pertama, sokongan itu akan dikurangkan sepanjang tempoh tiga tahun - 75 peratus kadar kenaikan pada 2026; 50 peratus pada 2027; dan 25 peratus pada 2028.
Di samping itu, had pendapatan bulanan yang layak di bawah skim itu juga akan dinaikkan daripada $2,500 kepada $3,000 supaya lebih ramai pekerja platform bergaji rendah boleh mendapatkan manfaat daripada skim itu.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata kenaikan itu adalah sejajar dengan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja, yang akan dipertingkat mulai Januari 2025 untuk menaikkan had pendapatan bulanan yang layak kepada $3,000.
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata pemerintah ingin memastikan lebih banyak sokongan disediakan buat pekerja platform.
“Ia tentang bagaimana kami dapat membina kompak sosial ini bersama. Ia bukan sesuatu yang hanya ditanggung pekerja platform sahaja, tetapi syarikat platform juga akan menyumbang CPF untuk mereka.
“Namun, golongan pengguna, mereka yang menggunakan khidmat platform ini juga boleh memainkan peranan dalam membantu pekerja platform membina kecukupan persaraan yang lebih kukuh dan berdaya tahan juga,” kata beliau, yang menemui sekumpulan pekerja platform semasa lawatannya ke ibu pejabat foodpanda di Robinson Road pada 22 Ogos.
Langkah bagi syarikat dan pekerja platform membuat caruman CPF demi memastikan pekerja platform mempunyai simpanan mencukupi bagi keperluan perumahan dan persaraan mereka merupakan antara 12 saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform dalam satu laporan yang dikeluarkan pada November 2022.
Ini adalah mandatori bagi pekerja platform di bawah usia 30 tahun, manakala mereka yang lebih berusia boleh memilih untuk membuat sumbangan secara sukarela.
Menurut laporan jawatankuasa itu, kadar caruman CPF akan dinaikkan secara bertahap dalam tempoh lima tahun sehingga ia mencapai kadar semasa yang disumbang pekerja biasa hari ini.
Ini bermakna kenaikan kadar sumbangan CPF purata 2.5 peratus bagi pekerja platform dan 3.5 peratus bagi syarikat platform setiap tahun.
Pada masa ini, pekerja platform perlu membuat sumbangan 8 hingga 10.5 peratus pendapatan mereka kepada akaun MediSave.
Apabila langkah yang memerlukan pekerja platform membuat caruman CPF itu dilaksanakan tahun depan, seorang pekerja berusia 32 tahun dengan gaji bulanan $2,000, misalnya, bukan hanya perlu menyumbang $160 setiap bulan kepada MediSave setiap tahun, tetapi juga tambahan $50 setiap bulan jika dia memilih menyumbang kepada Akaun Biasa dan Akaun Khas CPFnya.
Namun, dengan peningkatan kepada skim sokongan peralihan CPF itu, pemerintah akan membiayai sepenuhnya caruman tambahan itu dengan menyediakan sokongan tunai sebanyak $50 setiap bulan pada 2025.
Ini bermakna pekerja itu tidak akan melihat sebarang perubahan dalam gaji yang dibawa pulangnya pada 2025 dan pada masa yang sama, akan mempunyai lebih banyak sumbangan kepada CPF.
Dr Koh berkata meskipun syarikat platform menghadapi cabaran pelaksanaan, beliau gembira mengetahui syarikat tersebut menyokong langkah membuat caruman CPF itu.
“Mereka (syarikat platform) sedang bekerja rapat dengan agensi pemerintah untuk memikirkan pelbagai proses rumit yang perlu dirangkumkan dalam operasi semasa mereka, dan sama ada proses baru atau yang sedia ada akan perlu diadakan untuk menjadikan pelaksanaan CPF lancar untuk pekerja,” kata beliau.
Selain langkah pelaksanaan caruman CPF itu, perubahan lain yang akan bermula pada 1 Januari 2025 termasuk keperluan bagi syarikat platform menyediakan pampasan akibat kecederaan semasa bekerja yang dihadapi pekerja platform.
Perwakilan lebih besar untuk pekerja platform, termasuk membenarkan pembentukan badan perwakilan yang boleh menandatangani perjanjian kolektif dengan syarikat platform, juga akan dilaksanakan mulai tarikh yang sama.
Dr Koh berkata tarikh 1 Januari 2025 itu dipilih kerana “ia adalah waktu permulaan yang lebih intuitif supaya kedua-dua pekerja dan syarikat akan dapat melakukan pengiraan lebih tepat, katakan, rebat cukai dan caruman CPF, bermula daripada berdasarkan tahun kalendar”.
Seorang pekerja penghantaran makanan bersama foodpanda, Encik Danish Said, 28 tahun, mengalu-alukan perlindungan dan juga sokongan dipertingkat yang akan disediakan buat pekerja platform bergaji rendah tatkala keperluan membuat caruman CPF dimulakan pada 2025.
“Ramai pekerja platform bimbang langkah pelaksanaan caruman CPF itu akan menjejas keadaan kewangan mereka dalam jangka terdekat. Oleh itu, sokongan pembiayaan 100 peratus dalam tahun pertama itu adalah baik kerana ia memberi masa kepada pekerja bergaji rendah yang terjejas untuk mempersiapkan diri dan juga merancang keadaan kewangan mereka untuk jangka panjang dengan lebih baik,” kata beliau, yang bekerja secara sambilan sejak empat tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg