Topik diikuti
Pergi ke BHkuCuba cari jodoh melalui ‘speed dating’: Janggal tapi...
Cuba cari jodoh melalui ‘speed dating’: Janggal tapi...
Penulis baru-baru ini ikuti acara anjuran ‘The Modest Match’ – organisasi yang dibentuk untuk sediakan ruang bagi individu bujang, khususnya Muslim cari pasangan
Cuba cari jodoh melalui ‘speed dating’: Janggal tapi...
Suasana bilik di ruang pejabat yang terletak di kawasan Clarke Quay pada pagi Sabtu 18 April dipenuhi dengan rasa gementar dan ketidakpastian.
Seramai 46 lelaki dan wanita bekerja berusia antara 26 dengan 40 tahun yang hadir pada acara itu mula ditempatkan dalam kumpulan secara berlima atau empat di setiap meja.
Mereka mengikuti lima segmen perbualan berstruktur, setiap satu berlangsung sekurang-kurangnya 15 minit.
Mereka bergilir-gilir berkongsi tentang tradisi keluarga semasa Hari Raya.
Ini bukan sekadar perbualan kosong, malah usaha untuk membolehkan satu sama lain saling mengenali hati budi dengan lebih mendalam.
Setiap soalan yang dijawab bak membuka ‘jendela’ kepada sisi peribadi yang jarang disentuh dalam perkenalan biasa.
Dengan setiap pusingan, wajah baru menggantikan yang sudah dikenali, mengubah rentak dan dinamika perbualan di setiap meja.
Ada yang membawa personaliti lebih bertenaga, ada juga yang segan-segan dan agak berat mulut.
Dari luarnya, acara tersebut kelihatan seperti sesi membina rangkaian (atau networking) biasa, tetapi peserta sebenarnya hadir dengan niat tertentu – masing-masing membawa harapan menemui pasangan hidup.
Penulis baru-baru ini berpeluang mengikuti acara tersebut anjuran The Modest Match – organisasi yang ditubuhkan untuk menyediakan ruang bagi individu bujang, khususnya Muslim mencari pasangan hidup.
Acara itu boleh dikatakan seolah-olah sesi ‘speed dating’ atau sesi pertemuan yang singkat tetapi intensif di ruang pejabat Hive Carpenter selama tiga jam.
Namun dalam masa yang singkat ini, di dalam bilik yang penuh dengan personaliti yang berbeza, dapatkah seseorang mencari teman sepanjang hayat?
Itulah soalan yang saya harap dapat jawab apabila berpeluang menghadiri sesi mencari jodoh itu.
Bertemakan Hari Raya, interaksi kami dimulakan dengan permainan Bingo.
Kad Bingo yang diberikan memerlukan kami mencari individu berlainan jantina yang memenuhi kriteria tertentu, lalu memulakan perbualan singkat selama seminit.
Pada awalnya diri ini terasa agak janggal.
Maklumlah ini merupakan kali pertama saya harus berani tampil untuk memperkenalkan diri kepada jejaka yang lain dengan niat untuk berkenalan dengan bersahaja.
Meskipun segan, saya bukan keseorangan.
Ada yang seakan-akan memikir dua tiga kali sebelum memberanikan diri untuk berinteraksi, tidak kira yang lelaki ataupun perempuan tetapi mereka tetap cuba melangkah ke depan.
Selepas 15 minit memperkenalkan diri secara ringkas serta berkongsi tentang minat yang sama, kami beransur balik ke meja untuk segmen seterusnya.
Memandangkan ia acara berkumpulan besar, pihak penganjur juga memilih beberapa peserta untuk berkongsi tentang beberapa fakta menarik yang diketahui buat pusingan tersebut sebelum kami menukar kumpulan bagi sesi seterusnya.
Bagi meja seterusnya, saya mendapati agak sukar untuk kami semua mulakan perbualan.
Terlalu sunyi dan semua tertunggu-tunggu untuk peserta lain mulakan perbualan.
Saya sendiri terasa agak kekok; mungkin kerana sudah terbiasa menghadiri sesi ‘networking’, di mana keupayaan bercakap dan berkongsi pandangan datang secara spontan.
Pusingan seterusnya berlaku, dan kini saya ditempatkan bersama seorang jejaka yang sangat terbuka dan peramah.
Beliau dengan mudah mengambil peranan menggerakkan perbualan dengan tenaga yang hampir tidak putus.
Namun, tenaga itu tidak sepenuhnya disambut oleh ahli kumpulan yang lain.
Respons yang diberikan lebih berhati-hati, lebih perlahan, seolah-olah setiap kata perlu ditimbang sebelum diungkapkan.
Saya tidak dapat menahan diri daripada tertanya – apakah dia merasa letih, memberi lebih daripada yang diterima?
Momen itu membuka satu kesedaran kecil: tidak semua orang hadir dengan tahap keselesaan yang sama.
Ada yang lantang, ada yang senyap; ada yang memimpin, ada yang menunggu.
Dan apabila jurang itu terlalu besar, perbualan yang sepatutnya rancak boleh tersekat-sekat.
Sepanjang sisa waktu yang ada, saya sempat berbual dengan beberapa peserta tentang pandangan mereka terhadap dunia ‘dating’ masa kini.
Mengapa wanita lebih cenderung untuk hadir ke acara sebegini, sedangkan lelaki kelihatan lebih berhati-hati?
Jawapannya jujur dan sederhana – ‘dating’ dalam kehidupan sebenar memberi ruang untuk merasai keaslian, kejujuran, dan ‘vibes’ keserasian yang tidak boleh dipaksa.
Namun bagi sesetengah lelaki, masih wujud stigma yang membayangi kehadiran mereka di acara seperti ini, bersama rasa bimbang akan penilaian orang lain.
Di penghujung pengalaman ini, saya mula memahami bahawa dalam ruang yang dipenuhi niat dan harapan, setiap individu membawa cara tersendiri untuk menangani seribu satu kemungkinan yang bakal menjelma.
Ada yang melangkah ke hadapan tanpa ragu, ada yang memilih untuk memerhati dahulu.
Yang pasti, ramai mengutamakan ‘vibes’ yang serasi dan tujuan yang selari dengan agama dan prinsip hidup.
Namun, mungkin pengalaman seperti sesi ini (speed dating) lebih sesuai bagi mereka yang lebih ekstrovert dan gemar mencuba perkara di luar zon selesa, yang selesa untuk berjumpa orang baru dan pada masa yang sama bersedia untuk “memerah tenaga” dalam usaha menghidupkan perbualan dan membina hubungan dalam ruang yang singkat.
Dan mungkin, dalam keseimbangan antara keberanian dan sikap berhati-hati itulah, pencarian ini menemukan maknanya.
