Warga Singapura dapat menikmati suasana sambutan Hari Kebangsaan ke-58 di Pesta Kejiranan GetActive! Singapura di lima stadium di serata negara pada Sabtu dan Ahad.
Pesta itu diadakan di empat kemudahan sukan – Pusat Sukan Bedok ActiveSG, Pusat Sukan Jurong West ActiveSG, Pusat Sukan Toa Payoh ActiveSG dan Pusat Sukan Woodlands ActiveSG – pada Sabtu dan Ahad, dan di Our Tampines Hub pada Ahad.
Pesta itu akan berlangsung dari 4 petang hingga 9 malam pada kedua-dua hari.
Antara lain, pengunjung boleh mengambil bahagian dalam pelbagai percubaan sukan termasuk olahraga, bola keranjang, bola lantai, bola sepak dan tenis meja, yang dikendalikan oleh jurulatih berkelayakan.
Aktiviti seperti memanah, papan selaju, luncur roda dan ‘zorb ball’ (sukan berguling menuruni bukit di dalam bola besar yang biasanya diperbuat daripada plastik lutsinar) juga disediakan buat pengunjung.
Pengunjung juga dapat kembali ke zaman kampung dengan permainan seperti ‘ring the landmark’, iaitu melambung gegelung masuk ke dalam batang yang dipasak di hadapan gambar tarikan Singapura, atau ‘pertempuran pemadam’, iaitu menggunakan pemadam raksasa untuk menerbalikkan pemadam lawan.
Antara aktiviti mesra keluarga pula ialah istana ambul (bouncy castle) dan lukisan mural masyarakat, di samping gerai makanan ringan seperti popcorn dan gula-gula kapas, perkhidmatan gaya hidup, dan perkhidmatan penting seperti pemeriksaan kesihatan dan pergigian.
Terdapat juga persembahan ‘live’ oleh pemuzik seperti The Island Voices, artis Hear65 dan Band Bagpipe daripada Boys’ Brigade Singapura, serta pencipta kandungan TikTok.
Aktiviti yang disediakan berbeza pada setiap lokasi.
Tiada bayaran masuk dikenakan tetapi pengunjung perlu mempunyai tiket, yang sudah habis diagih secara percuma.
Seramai 1,800 relawan Team Nila, iaitu kumpulan relawan SportSG, akan turun padang untuk menjayakan pesta ini.
Pada Hari Kebangsaan, iaitu 9 Ogos, penduduk boleh menyambutnya di estet kejiranan mereka dengan menyaksikan acara terbang lintas hormat bagi segmen ‘Kibarkan Bendera Kita’ dan ‘Terbang Lintas Pulau RSAF55’ mulai 5.30 petang.
Pertunjukan bunga api pula akan diadakan di lima estet kejiranan itu secara serentak dengan pertunjukan bunga api Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang.
Sambutan NDP di estet kejiranan tahun ini dianjurkan bersama Majlis Sukan Singapura (SportSG).
Antara kegiatan menarik di setiap lokasi Pesta Kejiranan GetActive! Singapura:
Pusat Sukan Bedok ActiveSG (5-6 Ogos)
Pusat Sukan Jurong West ActiveSG (5-6 Ogos)
Pusat Sukan Toa Payoh ActiveSG (5-6 Ogos)
Pusat Sukan Woodlands ActiveSG (5-6 Ogos)
Our Tampines Hub (6 Ogos)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg