Lebih setahun lapan bulan, seorang lelaki mendera lima ekor kucing, membunuh dua daripadanya, mencederakan seekor lagi dan memerangkap dua lagi dalam “keadaan yang menyesakkan”.
Barrie Lin Pengli, 32 tahun, mengaku bersalah pada Selasa (15 Oktober) atas tiga pertuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan di bawah Akta Haiwan dan Burung, dengan dua pertuduhan lagi akan diambil kira.
Pihak pendakwaan memohon penjara dua tahun ke atas Lin, menyifatkan ini salah satu kes kekejaman haiwan paling teruk di Singapura, lapor laman CNA.
Mahkamah mendengar bahawa Lin, seorang warga Singapura, mula mendera kucing menjelang akhir 2019.
Setiap kali dia berasa kecewa atau “dibelenggu masalah dengan hidupnya”, dia akan pergi berjalan-jalan berhampiran taman perumahan Ang Mo Kio, di mana dia tahu terdapat lebih banyak kucing masyarakat dan ada “pilihan untuk mencederakan kucing” apabila dia berasa marah.
Dia akan memandu ke sana untuk berjalan-jalan, mencari mangsa (kucing).
Lin pada mulanya menendang kucing-kucing yang dijumpai. Kemudian dia mula menculik haiwan itu pula dengan meletakkannya dalam beg kalis air kecil yang menyukarkan kucing untuk bernafas. Setiap kali, dia menculik satu hingga tiga ekor.
Selepas memerangkap kucing di dalam beg, Lin akan memasukkannya ke dalam keretanya.
Dia membebaskan kucing-kucing itu di tempat lain atau membunuhnya dengan melemparkan dari tingkat tinggi blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Mahkamah mendengar bahawa Lin mendera kucing antara 2019 dan 2020 untuk menangani “kesakitan emosinya”. Dia berasa “teruja, seronok dan bersalah” semasa penderaan itu, dan “rasa lega” selepas itu, kata pendakwa raya.
Pada kira-kira jam 3.30 pagi pada 21 Apr 2020, Lin menangkap seekor kucing hitam putih di Blok 572, Ang Mo Kio Avenue 3.
Kamera merakamnya memegang kucing dari bahagian lehernya dan menaiki lif.
Dia menuju ke tingkat 12 di mana dia menjuntaikan kucing di luar koridor, mengetahui kucing takut ketinggian, sebelum melepaskan kucing itu dan menyebabkan kematiannya.
Bangkai itu tidak ditemui kerana Lin telah membuangnya ke dalam tong sampah.
Pada 15 Mei 2020, sekali lagi pada kira-kira 3.30 pagi, Lin menemui seekor kucing berwarna gelap di kolong blok 645, Ang Mo Kio Avenue 6. Kamera polis merakamnya memegang kucing itu di dalam lif.
Dia mencampak kucing itu dari tingkat lapan. Apabila dia pergi ke tingkat bawah untuk memeriksa kucing itu, dia mendapati kucing itu masih hidup dan menghentak lehernya dengan kakinya untuk membunuh kucing itu.
Kamera polis merakam Lin membuang bangkai kucing itu, dan kemudiannya ia diambil dan dibedah siasat oleh doktor haiwan Lembaga Taman Negara (NParks).
Kucing itu didapati mati setelah mengalami pelbagai kecederaan termasuk patah tulang rusuk, dan kejadian traumatik luaran.
Polis menerima laporan saksi pada 15 Mei 2020 bahawa ada orang telah membuang kucing dari Blok 645, Ang Mo Kio Avenue 6.
Polis mengenal pasti Lin selepas menjalankan siasatan. Dia ditahan polis pada hari sama mereka menerima laporan saksi.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin stesen dan menerima rawatan psikologi antara Disember 2020 dan Jun 2021.
Pendakwa memohon penjara 24 bulan ke atas Lin, menyifatkan tindakan “kekejaman yang disengajakan” itu pada tahap bahaya yang ketara serta terdapat kepentingan awam yang kuat dalam memastikan haiwan tidak didera.
Lin akan kembali ke mahkamah pada November untuk dijatuhkan hukuman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg