Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cuti ibu bapa dipertingkat bagi lindungi ibu bapa, majikan

Nov 13, 2024 | 7:16 PM
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, membentangkan di Parlimen pindaan Akta Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-Kanak (CDCA) pada 13 November.
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, membentangkan di Parlimen pindaan Akta Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-Kanak (CDCA) pada 13 November. - Foto MDDI

Majikan yang memberhentikan golongan bapa dan ibu bapa angkat ketika mereka masih menjalani cuti paterniti dibayar pemerintah (GPPL) dan cuti anak angkat (AL) dikira melanggar undang-undang mulai 1 April 2025.

Pada masa yang sama, majikan juga akan diberi perlindungan daripada pekerja yang mengambil cuti keibubapaan secara mendadak.

Ini merupakan sebahagian daripada sebilangan langkah baru yang diluluskan di Parlimen pada 13 November dengan tujuan melindungi kedua-dua golongan ibu bapa bekerja serta majikan, apabila GPPL yang dipertingkat serta skim baru cuti ibu bapa dikongsi (SPL) berkuat kuasa pada 1 April 2025.

GPPL dipertingkat memberi golongan bapa cuti mandatori selama empat minggu berbanding GPPL buat masa ini, iaitu dua minggu.

Skim SPL baru pula membolehkan ibu bapa mengambil cuti selama enam minggu dalam fasa pertama sebelum ia dinaikkan kepada 10 minggu bagi bayi yang lahir pada dan setelah 1 April 2026 dalam fasa kedua.

Di bawah pindaan kepada Akta Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-Kanak (CDCA) yang diluluskan, pekerja dikehendaki di sisi undang-undang memberi majikan mereka notis sekurang-kurangnya empat minggu sebelum mengambil cuti ibu bapa supaya dapat memberi majikan masa untuk merancang aturan yang diperlukan dan membuat penyesuaian dari segi operasi, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.

Perlindungan pekerjaan juga dikemas kini untuk memastikan golongan bapa dan ibu bapa yang sedang mengambil GPPL atau AL mulai April 2025 tidak boleh diberhentikan kerja.

Majikan yang melakukan demikian ketika ibu bapa sedang mengambil cuti tersebut akan disabit kesalahan dan boleh dikenakan denda atau penjara, atau kedua-duanya.

Namun, perlindungan tersebut tidak akan merangkumi SPL baru supaya dapat mencapai keseimbangan dalam memberi ibu bapa tempoh cuti lebih panjang bagi menjaga anak mereka pada tahun pertama, sambil membolehkan majikan membuat keputusan pekerjaan yang adil bagi tempoh cuti yang dipanjangkan itu, kata Cik Sun.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa pekerja yang menganggap diri mereka
diberhentikan secara salah apabila mengambil SPL boleh mendapatkan bantuan di bawah Akta Pekerjaan.

Menjawab pertanyaan Encik Mark Lee (Anggota Parlimen Dilantik) tentang sekiranya kekangan operasi akan menjadi sebab munasabah bagi majikan menangguhkan pemberian skim SPL baru, Cik Sun menekankan bahawa tempoh penggunaan SPL adalah 12 bulan dari tarikh anak dilahirkan yang dianggap tempoh wajar.

Penalti hanya akan dikenakan apabila majikan gagal membuktikan dengan sebab munasabah bahawa mereka tidak dapat memberi cuti ibu bapa sewaktu tempoh tersebut, katanya.

Menyentuh tentang tempoh penggunaan bagi skim SPL baru, Encik Louis Chua (GRC Sengkang) bertanya sama ada ia boleh dilanjutkan kepada 24 bulan.

Cik Sun berkata: “Apabila membangunkan skim SPL baru dengan berunding bersama rakan kongsi tiga pihak, kami mempertimbangkan untuk membenarkan ibu bapa lebih fleksibiliti agar mengambil SPL baru dalam tempoh dua tahun yang lebih lama.

“Bagaimanapun, majikan lebih cenderung kepada tempoh penggunaan lebih pendek untuk mengurangkan ketidakpastian apabila pekerja mungkin tidak hadir kerja, yang boleh membawa kepada cabaran lebih besar dalam mengurus aturan tenaga kerja.

“Kami sentiasa peka tentang keperluan mengimbangi keperluan majikan sedang kami cuba sedaya upaya untuk menyokong ibu bapa baru,” katanya.

Cik Sun juga bersetuju dengan pandangan yang diutarakan beberapa AP yang menekankan bahawa peralihan dasar sahaja tidak boleh mendorong perubahan budaya.

“Saya berharap perlindungan baru ini akan memberi ibu bapa kita, termasuk golongan bapa, lebih jaminan untuk mengambil cuti paterniti dan materniti.  Melebihi perundangan, saya gesa majikan agar menunjukkan sokongan anda kepada pekerja yang mengambil cuti ibu bapa.

“Contohnya, dengan menetapkan sistem penilaian adil yang mengiktiraf sumbangan mereka dan tidak menghukum pekerja hanya kerana telah mengambil cuti ibu bapa. Pengurus dan rakan kerja boleh membantu membina budaya yang lebih mesra keluarga dengan memahami rakan kerja yang perlu mengambil cuti untuk menjaga anak mereka,” katanya.

Rang undang-undang itu juga menjelaskan bahawa had pembayaran balik bagi majikan akan dilaksanakan berdasarkan seorang ibu atau bapa bagi mereka yang mempunyai beberapa majikan, termasuk jika mereka bekerja secara sendiri.

Ini bermakna ibu bapa yang mempunyai beberapa pekerjaan boleh mengambil cuti dibayar bersama setiap majikan, tetapi pembayaran balik secara keseluruhan yang diterima seorang ibu atau bapa bagi kesemua pekerjaan tidak boleh melebihi $2,500 setiap minggu. – NUR HUMAIRA SAJAT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg