Daftar Pengundi Singapura sedang dikemas kini dan akan dibuka untuk pemeriksaan awam pada Februari, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Januari, ELD menyatakan Perdana Menteri Lawrence Wong telah mengarahkan Pegawai Pengurus Undi (RO) mengemas kini Daftar Pengundi dan menyelesaikan semakan sebelum 1 April.
Semakan itu, bagi mengemas kini daftar, akan mengandungi nama semua warga Singapura yang layak menjadi pengundi pada 1 Februari. Pilihan Raya Umum (GE) mesti diadakan menjelang November 2025.
Setiap warga Singapura, berumur tidak kurang daripada 21 tahun, dan mempunyai alamat kediaman Singapura dalam kad pengenalannya, akan mempunyai nama yang tertera dalam Daftar Pengundi. Ini dengan syarat seseorang itu tidak hilang kelayakan menjadi pengundi di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.
Jika seseorang itu menetap di luar negara dan telah menukar alamat di dalam kad pengenalannya kepada alamat luar negara, mereka harus mempunyai alamat hubungan di Singapura yang didaftarkan dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk tujuan mengundi.
Butiran lanjut tentang cara rakyat Singapura boleh menyemak Daftar Pengundi akan diberikan setelah daftar tersebut dibuka untuk pemeriksaan awam, kata ELD.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg