Sedang warga Singapura hidup lebih lama, pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu warga kekal relevan dalam pekerjaan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berkata demikian menerusi satu video selama enam setengah minit berjudul, Living Longer, Learning for Life (Hidup Lebih Lama, Belajar Sepanjang Hayat) pada 12 November, Encik Wong berkata dengan jangka hayat yang lebih lama, tangga kerjaya warga Singapura tidak lagi semudah yang dijangkakan.
Oleh itu, melalui SkillsFuture, pemerintah akan membantu rakyat Singapura menyesuaikan diri dan belajar meneroka laluan baru serta merealisasikan potensi penuh mereka.
“Terdapat manfaat untuk bekerja, kerana ia menjadikan kita aktif seiring dengan peningkatan usia, dan menggalakkan rasa identiti serta tujuan.
“Namun kita lebih berkemungkinan akan melalui pelbagai pertukaran kerjaya dan peralihan merentas peringkat kehidupan yang berbeza.
“Ia memerlukan cara pengurusan seumur hidup yang berbeza,” kata Encik Wong.
Mulai April 2025 melalui Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, mereka yang menganggur secara bukan sukarela boleh memohon sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh sehingga enam bulan.
Selain itu, pekerja juga boleh mengakses kredit SkillsFuture tambahan bernilai $4,000 dan elaun latihan sehingga $3,000 semasa mengikuti kursus latihan.
Encik Wong berkata bahawa meskipun anak muda Singapura yang memasuki tenaga kerja akan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terkini daripada sekolah, mereka masih perlu belajar dan mengasah kemahiran berdasarkan keperluan kerja.
Kredit SkillsFuture boleh digunakan untuk berbuat demikian, tambah beliau.
Dalam pada itu, pekerja pertengahan kerjaya, terutamanya yang berusia 40 tahun dan ke atas, menghadapi lebih banyak cabaran dalam meningkatkan kemahiran mereka.
Program Peningkatan SkillsFuture dapat membantu golongan tersebut yang juga lebih sukar untuk mengambil cuti daripada kerja kerana mereka mempunyai lebih banyak tanggungjawab, termasuk dalam mengurus keluarga.
Encik Wong turut memberi contoh peralihan daripada bidang profesional seperti kejuruteraan atau kewangan, kepada bidang lain seperti pendidikan, kerja sosial atau meneruskan minat dalam seni.
Menurut beliau, diploma sepenuh masa seperti di politeknik atau Maktab Seni Lasalle dan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) akan ditawarkan pada kadar subsidi.
Mereka juga boleh menggunakan elaun bulanan semasa menamatkan diploma tersebut.
Namun, Encik Wong mengakui dari masa ke masa, rakyat akan menghadapi masalah yang tidak dijangka dan tidak disengajakan dalam kehidupan seperti diberhentikan kerja dan kehilangan pekerjaan.
“Pemerintah komited untuk menyokong setiap langkah anda, dan melengkapkan semua rakyat Singapura agar menjadi versi terbaik diri mereka,” ujar Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg