Daftar Pengundi Singapura sedang dikemas kini dan akan dibuka untuk semakan awam pada Jun.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengarahkan agar Daftar Pengundi itu disemak dan ia perlu selesai sebelum 31 Julai.
Demikian jelas Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan pada 20 Mei.
Menurut kenyataan itu, semakan dibuat bagi mengemaskinikan Daftar Pengundi yang menyenaraikan nama semua warga Singapura yang layak mengundi pada 1 Jun dan menjelang Pilihan Raya Umum yang mesti diadakan menjelang November 2025.
Kemas kini itu melibatkan warga Singapura yang berusia 21 tahun sejak 1 Jun 2023, tarikh akhir apabila daftar terakhir disemak. Turut disertakan dalam daftar itu adalah pendatang baru yang diisytiharkan warga negara sejak 1 Jun 2023.
Terdapat Daftar Pengundi untuk setiap kawasan undi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya di Singapura. Jika disatukan, Daftar Pengundi untuk semua 31 Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC), ia selaras dengan semua pengundi yang layak mengundi di Singapura.
Kali terakhir senarai penduduk Singapura yang layak mengundi dalam pilihan raya di sini dikemas kini adalah pada 1 Jun 2023. Ia kemudian dibuka untuk semakan awam dua minggu kemudian, dari 15 Jun hingga 28 Jun.
Pada 20 Julai 2023, ELD mengumumkan bahawa Daftar Pengundi telah disahkan, dan terdapat sejumlah 2,709,455 pengundi – peningkatan lebih 55,000 orang daripada 2,653,942 pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum 2020.
Butiran lanjut akan diberi tentang bagaimana penduduk boleh menyemak Daftar Pengundi apabila daftar itu dibuka untuk semakan awam pada Jun, kata ELD.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg