Tanggal 15 Mei 2024 menjadi tarikh penting bagi watan Singapura dan rakyatnya. Encik Lawrence Wong, 51 tahun, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura di Istana, menggantikan Encik Lee Hsien Loong, 72 tahun, yang telah memegang jawatan tersebut selama 20 tahun.
Menariknya, PM Wong merupakan perdana menteri pertama yang lahir selepas kemerdekaan negara ini pada Ogos 1965.
Encik Lee kekal dalam Kabinet baru sebagai Menteri Kanan, dengan Encik Gan Kim Yong dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Perdana Menteri (DPM), sementara Encik Heng Swee Keat kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada 12 Ogos 2004, Encik Lee dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga Singapura menggantikan Encik Goh Chok Tong, yang sebelum ini pula menggantikan Perdana Menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew, pada 28 November 1990.
Sebelum ini, PM Wong telah dipilih sebagai ketua generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan meraih sokongan besar daripada pemimpin utama parti itu merangkumi menteri Kabinet dan disokong semua Anggota Parlimen (AP) pemerintah.
Pemilihan Encik Gan sebagai DPM, bersama Encik Heng – dua pemimpin veteran dan berpengalaman – adalah langkah pragmatik dan selamat dengan penekanan terhadap kesinambungan, kestabilan dan pembaharuan dalam proses peralihan kepimpinan negara.
Ini khususnya sedang Singapura dan dunia menghadapi persekitaran geopolitik dan ekonomi yang tidak menentu, termasuk perang di Timur Tengah dan antara Ukraine-Russia.
PM Wong menegaskan bahawa PAP di bawah kepimpinannya akan terus berusaha mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat demi mendapatkan mandat untuk terus memerintah. PAP telah membentuk pemerintah dalam semua pilihan raya umum sejak negara ini merdeka pada 1965.
Pilihan raya seterusnya perlu diadakan sebelum November 2025 dan akan menjadi pilihan raya umum pertama ditandingi PAP di bawah teraju PM Wong.
PM Wong telah membentangkan wawasan dan janjinya untuk membentuk sebuah pemerintah yang terbuka dan inklusif dalam pendekatannya untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura tanpa mengira usia, kemampuan atau status sosioekonomi mereka.
Beliau juga berikrar bahawa tiada siapa yang akan ketinggalan, memastikan setiap individu mempunyai peluang saksama untuk berkembang maju.
Namun beliau memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, bukan sahaja daripada jemaah menteri Kabinet dan AP, bahkan daripada segenap lapisan rakyat negara ini dalam terus menjadikan Singapura sebuah negara makmur, berdaya tahan, bersatu padu dan antara kediaman terbaik di dunia.
Justeru, seruan PM Wong agar rakyat Singapura menyertai beliau dan pasukannya dalam mengharungi perjalanan Singapura ke hadapan wajar disahut.
Dalam pada itu, sumbangan besar Encik Lee Hsien Loong sebagai perdana menteri ketiga negara ini selama 20 tahun, yang telah membawa Singapura ke tahap negara yang makmur dan maju dengan perpaduan sosial yang utuh, wajar dihargai.
Semoga, dengan sokongan semua pihak, PM Wong berupaya dan berjaya mencapai wawasannya untuk membawa negara ini ke tahap lebih tinggi serta menjadi mercu tanda yang bertunjang harapan serta menyubur perpaduan untuk generasi semasa dan yang akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg