Bukan Hari Raya yang dipilih untuk disambut bersama keluarganya di Singapura.

Sebaliknya Encik Amir Rusyaidi Osman, 24 tahun, memilih untuk ke Melbourne, Australia, pada 2025 bagi menyertai pertandingan larian yang menyaksikan beliau akhirnya mencatat rekod kebangsaan bagi acara larian satu batu.

Ia merupakan antara pelbagai pengorbanan yang dilakukan atlet negara itu, yang dahulunya tidak menggemari sukan larian tetapi secara beransur-ansur mula meminatinya.

Kini beliau sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Sains Prestasi Manusia Gunaan di Universiti Western Australia, di mana Encik Amir terus mengimbangi komitmen sebagai atlet dan pengajian sambil membimbing atlet muda.

Beliau menerima Anugerah Harapan Belia MENDAKI-Goh Chok Tong (Luar Negara) di Anugerah MENDAKI 2026 pada 17 Oktober sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya dalam bidang sukan serta sumbangannya kepada masyarakat olahraga.

Mengimbas perjalanan sukannya, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau lebih menggemari bola sepak kerana menikmati semangat berpasukan.

Namun, selepas menyertai pasukan olahraga sekolah menengah atas galakan ibunya, pandangannya terhadap sukan larian mula berubah.

“Dahulu, saya melihat rakan sepasukan sebagai pesaing. Tetapi lama-kelamaan, saya sedar kami juga rakan sekolah dan sahabat yang boleh saling membantu untuk maju bersama,” katanya.

Minatnya terhadap sains sukan pula tercetus selepas mengalami beberapa kecederaan yang membuatnya rasa sukar untuk mendapatkan panduan pemulihan.

Pengalaman itu mendorongnya mendalami bidang yang mengkaji prestasi fizikal dan kaedah meningkatkan keupayaan atlet.

Namun, keputusan melanjutkan pengajian di Australia bukan tanpa cabaran.

Pada awal penghijrahannya ke Perth, beliau pernah mempersoalkan keputusan berjauhan daripada keluarga, terutama apabila pulang ke rumah seorang diri selepas seharian menjalani latihan dan menghadiri kuliah.

“Kadangkala, selepas seharian belajar dan berlatih, saya pulang ke rumah tanpa sesiapa menunggu. Saya perlu menyediakan makanan sendiri dan keadaan itu boleh membuatkan saya berasa kesunyian,” katanya.

Jadual latihan yang padat juga adakalanya menyebabkan beliau ketinggalan dalam pelajaran.

Menurutnya, keseimbangan sempurna antara sukan dengan akademik sukar dicapai, sebaliknya beliau perlu memberikan sepenuh perhatian kepada setiap tanggungjawab mengikut keutamaan.

“Apabila melakukan sesuatu, saya akan memberikan 100 peratus usaha. Jika kita tidak memberikan komitmen sepenuhnya, sukar untuk menjadi benar-benar baik dalam sesuatu bidang,” katanya.

Selain mengejar kejayaan peribadi, Encik Amir mengasaskan InsideTrackSG, sebuah wadah media bebas yang mengetengahkan kisah atlet olahraga tempatan, khususnya bakat muda yang kurang mendapat perhatian.

Beliau turut membimbing atlet muda kerana memahami pentingnya sokongan seorang mentor dalam perjalanan sukan.

“Kadangkala, mereka sebenarnya sudah tahu penyelesaian kepada masalah sendiri. Mereka hanya memerlukan seseorang yang sudi mendengar,” katanya.

Selepas tamat pengajian, beliau berharap dapat menimba pengalaman bekerja di Australia sebelum pulang menyumbang kepakarannya kepada pembangunan olahraga Singapura.

Beliau juga menyasarkan untuk terus bertanding sehingga berjaya menyertai Sukan Asia 2034.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti