Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dakap teknologi demi beri pengalaman luar biasa kepada tetamu hotel

Oct 17, 2024 | 1:49 PM
Duta di hotel Conrad Centennial Singapore, Encik Fazli Abdul Razak, merupakan antara 85 penerima Anugerah Pekerja Terbaik dalam satu majlis anjuran Kesatuan Gabungan Pekerja Makanan dan Minuman (FDAWU) dan Persatuan Hotel Singapura (SHA) dengan sokongan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 30 September. 
Duta di hotel Conrad Centennial Singapore, Encik Fazli Abdul Razak, merupakan antara 85 penerima Anugerah Pekerja Terbaik dalam satu majlis anjuran Kesatuan Gabungan Pekerja Makanan dan Minuman (FDAWU) dan Persatuan Hotel Singapura (SHA) dengan sokongan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 30 September.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ketika Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, tiba ke Singapura sempena lawatan rasminya pada 2018, Encik Fazli Abdul Razak diberi satu tugas penting yang sehingga hari ini terpahat dalam ingatannya sebagai kenangan paling manis dalam kerjayanya.

Encik Fazli dilantik sebagai butler peribadi pemimpin negara itu, memenuhi segala keperluan dan permintaan beliau sepanjang penginapannya di hotel Conrad Centennial Singapore.

“Menyediakan bilik beliau, melayani beliau dan berinteraksi dengan keluarganya dalam tugas ini merupakan pengalaman yang benar-benar istimewa... ia merupakan satu penghormatan bagi saya dan ia mengingatkan saya tentang keistimewaan yang kami ada dalam bidang hospitaliti untuk berkhidmat dengan penuh timbang rasa dan prihatin,” kata beliau.

Namun, bukan cara layanan dan perkhidmatan sahaja yang dititikberatkan Encik Fazli, 42 tahun, dalam kerjayanya.

Beliau malah tidak pernah berhenti menimba ilmu tentang trend perkhidmatan terkini serta mendakap teknologi supaya dapat memberikan pengalaman penginapan yang istimewa kepada tetamu hotel.

Atas prestasi cemerlang dan usaha gigihnya untuk terus mempertingkatkan kemahiran dan menjadi Pekerja 4.0, Encik Fazli – Duta di Conrad Centennial Singapore – baru-baru ini telah diberikan Anugerah Pekerja Terbaik 2024.

Beliau antara 85 pekerja industri hotel yang menerima anugerah itu dalam satu majlis anjuran Kesatuan Gabungan Pekerja Makanan dan Minuman (FDAWU) dan Persatuan Hotel Singapura (SHA) dengan sokongan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 30 September.

Encik Fazli, yang berkecimpung dalam industri hospitaliti selama lebih dua dekad, berkata anugerah itu merupakan satu pengiktirafan yang bukan hanya mencerminkan perjalanan beliau, malah dedikasi pasukan di Conrad Centennial Singapore juga yang secara konsisten berusaha memberikan perkhidmatan luar biasa setiap hari.

“Saya percaya bahawa keikhlasan adalah kunci dalam memberi inspirasi untuk melakukan yang terbaik dalam diri kita dan orang lain.

“Apabila kita benar-benar mengambil berat dengan kerja kita, berusaha gigih berbuat lebih daripada yang diperlukan akan menjadi sebahagian daripada apa yang kita lakukan,” kata beliau.

Encik Fazli Abdul Razak (kiri) bukan hanya menitikberatkan cara layanan dan perkhidmatan, malah mendakap teknologi supaya dapat memberikan pengalaman penginapan yang lebih berkesan dan istimewa kepada tetamu hotel.
Encik Fazli Abdul Razak (kiri) bukan hanya menitikberatkan cara layanan dan perkhidmatan, malah mendakap teknologi supaya dapat memberikan pengalaman penginapan yang lebih berkesan dan istimewa kepada tetamu hotel. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan keperluan memenuhi jangkaan tetamu dalam persekitaran yang pantas dan ditambah pula dengan perkembangan teknologi yang pesat, Encik Fazli berkata beliau telah memanfaatkan alat digital dalam era pascapandemik supaya dapat memenuhi keperluan tetamu dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, meskipun teknologi membantu mempertingkatkan kecekapan, Encik Fazli menekankan bahawa adalah penting untuk mengekalkan hubungan manusia yang mesra.

“Dalam landskap hospitaliti hari ini, ciri-ciri seperti keupayaan menyesuaikan diri, empati dan mahir teknologi adalah penting.

“Dengan kadar perubahan teknologi yang pesat, pekerja perlu rasa selesa untuk belajar dan gunakan alat baru yang boleh mempertingkat kecekapan dan pengalaman tetamu.

“Pada masa yang sama, kecerdasan emosi adalah penting.

“Meskipun penggunaan teknologi semakin meningkat, tetamu tetap mahukan hubungan peribadi, dan keupayaan mendengar, berasa empati, dan menjangkakan keperluan adalah apa yang membezakan perkhidmatan yang luar biasa,” kata beliau, sambil menambah bahawa keupayaan menyelesaikan masalah juga satu kemahiran penting.

Untuk kekal relevan dalam industrinya, Encik Fazli menghadiri program latihan yang tertumpu pada teknologi dan trend perkhidmatan baru supaya beliau dapat mengikuti kemajuan digital dan selera tetamu yang berubah-ubah.

Pada masa yang sama, beliau juga terus memberi perhatian pada menyediakan khidmat peribadi dan bermutu tinggi, seperti memberikan saranan yang disesuaikan mengikut pilihan tetamu.

Bagi mereka yang minat menceburi kerjaya dalam industri hospitaliti, Encik Fazli menasihatkan agar mereka mempunyai sikap terbuka untuk belajar dan memahami keperluan tetamu.

“Industri hotel adalah dinamik dengan setiap hari membawa cabaran dan peluang baru.

“Kemahiran berkomunikasi yang baik, keterbukaan untuk belajar serta keupayaan memahami keperluan tetamu adalah penting.

“Namun lebih penting, menyediakan khidmat yang bermakna adalah nadi industri hospitaliti... itulah yang mencipta kenangan abadi untuk tetamu,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg