Dakwaan bekas tahanan politik, Cik Teo Soh Lung, bahawa undang-undang dan dasar dadah pemerintah tidak berkesan, amat dikesali, dan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, berpegang pada apa yang beliau katakan di Parlimen, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Dalam satu kenyataan pada 17 Mei, MHA menyatakan Cik Teo, bekas peguam dan ahli politik, kelihatan cuba membayangkan bahawa dengan cara yang tidak dinyatakan, adalah salah bagi Encik Shanmugam untuk menyampaikan satu kenyataan menteri di Parlimen, kerana ia memberinya kekebalan parlimen.
Encik Shanmugam kini mengetepikan kekebalan parlimen untuk semua yang dikatakan beliau dalam kenyataan menteri itu, tambah kenyataan itu.
“Jika Cik Teo atau sesiapa sahaja berasa bahawa kandungan kenyataan itu boleh diambil tindakan, mereka boleh mengambil tindakan,” katanya.
Pada 8 Mei, Encik Shanmugam membincangkan mengenai dasar kawalan dadah Singapura dalam ucapan yang menyentuh pelbagai topik di parlimen.
Beliau menyatakan sekali lagi sebab-sebab pemerintah mengambil pendirian tegas terhadap dadah, dan mengapa dasar tersebut diteruskan.
Beliau juga menjelaskan mengenai rancangan menangani ancaman dadah baru dan lama, terutama dalam kalangan penagih muda, lapor The Straits Times (ST).
Cik Teo, dalam satu catatan Facebook pada 12 Mei, berkata undang-undang dan dasar dadah pemerintah tidak berkesan, dan bahawa “masalah penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah masih belum diselesaikan”.
Beliau juga mendakwa Encik Shanmugam telah “menyerang beberapa rakyat Singapura dan pertubuhan”, dan dengan sengaja memilih sekumpulan aktivis dan menuduh mereka mengelirukan orang ramai.
Dalam ucapannya pada 8 Mei, Encik Shanmugam berkata arahan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) dikeluarkan pada Mei 2023 terhadap 10 pos media sosial dan dua artikel dalam talian kerana mengandungi kenyataan palsu mengenai hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah.
Pada masa itu, beliau berkata: “The Transformative Justice Collective, Online Citizen Asia, Andrew Loh, Kirsten Han, dan M. Ravi terus membuat kenyataan palsu yang mendakwa bahawa seorang Banduan yang Menunggu Hukuman Mati (PACP) dinafikan (khidmat) jurubahasa semasa rakaman kenyataannya.
“Ini walaupun terdapat kenyataan jelas yang sebaliknya daripada mahkamah.”
Dalam catatan Facebook itu, Cik Teo juga menuduh Encik Shanmugam menyalahguna keistimewaan parlimen, dan berkata bahawa bekas penagih dadah dan keluarga mereka dipelawa menghadiri Parlimen untuk “dihiburkan oleh menteri”.
MHA menyatakan: “Kami kesal dengan kenyataan ini. Khususnya, kami kesal kerana Cik Teo mempunyai pandangan tidak baik terhadap bekas penyalah guna dadah yang cuba menghentikan tabiat itu.”
Bekas penagih dadah dijemput menghadiri parlimen untuk meraikan keberanian dan ketabahan mereka dalam perjalanan pemulihan mereka.
Ramai daripada mereka kini membantu penagih dadah lain untuk membebaskan diri daripada kancah dadah, tambah MHA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg