Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dakwaan palsu berkait mutu air paip S’pura: Firma tapis air, Sterra, mohon maaf

Aug 30, 2024 | 6:52 PM
Iklan Sterra tular di media sosial selepas seorang pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Clarence Sim, menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Sterra dalam satu video di Instagram. 
Iklan Sterra tular di media sosial selepas seorang pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Clarence Sim, menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Sterra dalam satu video di Instagram.  - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM CLARENCESIMPLE

Satu syarikat tempatan, Sterra, yang menjual peranti penapisan air dan produk lain, telah memohon maaf kerana membuat dakwaan palsu dan mengelirukan mengenai mutu air paip di Singapura.

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) menyatakan pada 30 Ogos bahawa permohonan maaf secara terbuka itu juga disertai janji daripada Sterra bahawa ia tidak akan lagi membuat dakwaan palsu dan mengelirukan bahawa air paip di Singapura tidak selamat untuk diminum tanpa menggunakan penapis pembersihan air syarikat itu.

Sterra juga akan berhenti membuat dakwaan lain yang tidak benar mengenai produk pembersih udara dan airnya.

Sekiranya syarikat itu gagal mematuhi arahan tersebut, CCCS akan mengambil tindakan undang-undang, lapor The Straits Times (ST).

CCCS, badan pemerhati persaingan di sini, memulakan siasatan di bawah undang-undang perdagangan adil badan itu pada awal 2024 ke atas satu iklan dalam talian yang memberi gambaran bahawa air paip di Singapura tidak selamat untuk diminum begitu sahaja.

Iklan syarikat itu, yang tersebar luas di wadah media sosial seperti Instagram dan Facebook, memberi gambaran bahawa air paip di sini penuh dengan mikroorganisma seperti bakteria dan alga.

Ia tular selepas seorang pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Clarence Sim, menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Sterra dalam satu video di Instagram pada 1 Februari yang tersebar luas di media sosial.

Iklan syarikat itu turut menjadi perkara yang disebut dalam beberapa aduan yang diterima CCCS, termasuk daripada agensi air negara PUB.

Dalam satu kenyataan pada 30 Ogos, PUB menyatakan ia tidak akan membenarkan sebarang dakwaan palsu atau mengelirukan dibuat oleh sesebuah syarikat untuk mempromosikan produknya.

“Dakwaan sedemikian boleh menjejas keyakinan orang ramai terhadap air minuman Singapura.

“Dalam kes Sterra, syarikat ini telah berulang kali menyiarkan kandungan dalam talian yang menggambarkan bahawa air paip di Singapura tidak selamat untuk diminum.

“Iklan Facebooknya pada Februari 2024 cuba mengelirukan orang ramai untuk menganggap bahawa air paip kita mengandungi mikroorganisma berbahaya seperti bakteria dan alga,” katanya.

Menurut PUB, air paip di Singapura selamat diminum.

Air paip di Singapura bukan sahaja mematuhi peraturan negara, malah mempunyai piawai keselamatan air yang lebih ketat daripada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mutu air minuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg