Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 projek BTO Tengah sepadu ciri hijau, terima anugerah PUB

Jun 21, 2024 | 4:04 PM
HDB
Lakaran artis bagi tempat letak kereta bertingkat di Parc Clover @ Tengah. - Foto HDB

Empat projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Tengah – Parc Clover @ Tengah, Parc Residences @ Tengah, Garden Terrace @ Tengah, dan Garden Court @ Tengah – telah menerima anugerah pensijilan emas untuk Air Aktif, Indah, Bersih (ABC Waters) 2024.

Pensijilan emas ABC Waters adalah pengiktirafan tertinggi yang dianugerahkan oleh agensi air negara, PUB, kepada agensi awam dan pemaju swasta yang mencapai piawaian luar biasa dalam menyepadukan ciri hijau yang mampan alam sekitar, iaitu ciri reka bentuk ABC Waters, dalam projek yang mereka usahakan.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dalam satu kenyataan pada 21 Jun, berkata pensijilan emas pertama untuk projek di Tengah mengesahkan usaha pihaknya dalam menjadikan Tengah kawasan pertama di Singapura yang mempunyai ciri pintar dan mampan yang dirancang sejak awal.

Anugerah itu disampaikan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, pada Seminar Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) ABC Waters yang diadakan pada 21 Jun di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Kehijauan yang menenangkan dan landskap curahan air mengalir adalah antara ciri reka bentuk empat projek BTO Tengah ini yang kelihatan melalui taman hujan dan ruang tumbuhan, taman atas bumbung dan teres langit.

Contohnya, di Parc Clover @ Tengah, taman atas bumbung dan tanaman pada permukaan bangunan tempat letak kereta berbilang tingkat menambah kehijauan keseluruhan kawasan di situ.

Ciri-ciri landskap, seperti taman hujan, ruang tumbuhan, dan rumput bioretensi (membuang bahan perosak dalam air hujan) juga berfungsi mengurus dan membersihkan air hujan di samping membantu mengurangkan penggunaan air dan memastikan air Singapura bersih.

Bagi empat projek BTO di Tengah, ciri-ciri ABC Waters membantu merawat aliran air hujan pada kadar sekurang-kurangnya 45 peratus daripada setiap tapak pembangunan. Ini dapat dilihat dalam contoh projek Parc Clover @ Tengah.

Sebanyak 64 peratus aliran air di kawasan tapak itu akan dirawat dengan ciri reka bentuk ABC Waters sebelum ia disalurkan ke laluan air.

Selain itu, kemudahan kegunaan harian masyarakat seperti taman permainan, sudut kecergasan, kawasan tempat duduk, dan astaka kejiranan yang terletak bersebelahan atau dalam landskap semula jadi, mewujudkan sekitaran lebih sejuk dan sesuai untuk penduduk dan pengunjung untuk melibatkan diri dalam kegiatan yang diadakan di samping merapatkan hubungan antara satu sama lain.

Di Parc Clover @ Tengah dan Parc Residences @ Tengah, penduduk juga akan mendapat akses ke plaza pusat dan plaza luar, yang mana aktiviti kemasyarakatan boleh diadakan.

Penduduk projek BTO Tengah yang lain boleh menantikan ciri-ciri reka bentuk ABC Waters ini untuk diterapkan kelak di kawasan kejiranan mereka kerana pada masa ini ia berada di pelbagai peringkat permohonan untuk mendapatkan pensijilan ABC Waters PUB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg