Satu dana baru bernilai $1 juta yang bertujuan menyokong persatuan koperatif membantu golongan yang memerlukan melalui daya usaha masyarakat telah diumumkan oleh Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, pada 16 Ogos di acara Malam Gerakan Koperatif 2024.
Dana Memperkasa Masyarakat itu, yang dibentuk oleh Persekutuan Koperatif Kebangsaan Singapura (SNCF) dan Pendaftaran Persatuan Koperatif (RCS), akan membolehkan koperatif yang ingin memulakan inisiatif atau program yang memberi manfaat kepada masyarakat mendapatkan sokongan pembiayaan separa.
Antara projek masyarakat berpotensi mendapatkan sokongan di bawah dana itu termasuk sesi pemeriksaan kesihatan asas di kolong blok atau kerjasama dengan rakan korporat untuk mempertingkat ruang rekreasi demi menjadikan ia lebih mudah diakses individu dengan masalah pergerakan.
SNCF dan Gerakan Koperatif Singapura dalam satu kenyataan pada 16 Ogos berkata contoh daya usaha sedemikian menggambarkan jenis projek bertumpu masyarakat yang akan digalak dan disokong dana itu bagi membolehkan koperatif melengkapkan usaha pemerintah.
Dana itu, yang turut disokong Jawatankuasa Dana Koperatif Pusat (CCF) dan pemerintah, akan dilancarkan secara rasmi pada awal 2025, dengan butiran lanjut dikongsi pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SNCF, Encik Ang Hin Kee, berkata koperatif telah wujud selama hampir satu abad dengan tujuan menangani pelbagai keperluan dalam masyarakat.
“Dibentuk untuk menangani pelbagai keperluan dalam masyarakat, koperatif terus mencontohi semangat ‘Lakukan Dengan Baik’ dan ‘Lakukan Baik’ dalam program dan perkhidmatan yang kami sediakan.
“Dengan Dana Memperkasa Masyarakat baru ini, kami berharap dapat membolehkan koperatif menyumbang kembali kepada masyarakat dan memainkan peranan untuk memperkukuh kompak sosial Singapura.
“Dana Memperkasa Masyarakat adalah komitmen pemerintah untuk menyokong dan bekerjasama dengan koperatif demi mengekalkan inisiatif yang memberi manfaat dan mempertingkat masyarakat,” kata beliau.
Selain pengumuman dana baru itu, acara Malam Gerakan Koperatif 2024 turut meraikan 48 pemimpin cemerlang daripada 24 koperatif.
SNCF dan Gerakan Koperatif Singapura dalam kenyataan mereka berkata individu tersebut diiktiraf atas sumbangan besar mereka kepada Gerakan Koperatif Singapura dan masyarakat.
Mereka juga telah menunjukkan “kepimpinan kukuh dan pemikiran inovatif, memacu inisiatif didorong masyarakat yang memberi kesan besar, dan menerajui pertumbuhan mampan koperatif mereka”.
Encik Ang menambah Singapura akan menyambut ulang tahun ke-100 Gerakan Koperatif Singapura pada 2025.
“Didorong oleh sokongan anggota mereka, kakitangan dan pemimpin dalam koperatif kami telah membuka jalan untuk membolehkan kami melaksanakan misi sosial yang kami ingin sampaikan,” kata Encik Ang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg