Pemerintah akan memastikan Allianz dan Income terus komited kepada terma dan syarat sedia ada serta kontrak insurans, sekiranya perjanjian pemerolehan Income diluluskan.
Berucap di Parlimen pada 6 Ogos, Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, berkata bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan memastikan Income dan Allianz berpegang teguh pada komitmen tersebut.
“Sekiranya cadangan perjanjian itu diluluskan, tidak akan ada perubahan pada terma dan syarat atau kontrak insurans sedia ada.
“MAS menjangkakan Income memenuhi kewajipannya kepada semua pemegang polisi di bawah terma kontrak insurans sedia ada.
“MAS akan meminta Income dan Allianz berpegang teguh pada komitmen ini,” kata Encik Chee, yang bercakap dalam kapasitinya sebagai ahli lembaga pengarah MAS.
Demikian jaminan yang diberikan Encik Chee sebagai menjawab soalan yang difailkan oleh Anggota Parlimen (AP) mengenai komitmen Income untuk memastikan premiumnya terus dimampui selepas pemerolehannya oleh Allianz.
Pada 17 Julai, Allianz mengumumkan tawaran umum prasyarat untuk membeli 51 peratus saham Income Insurance pada harga $40.58 sesaham dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.
Tawaran tersebut mencetuskan sentimen bercampur-campur dalam pasaran, khususnya keprihatinan berhubung tanggungjawab sosialnya.
Perjanjian tersebut sedang menunggu kelulusan kawal selia.
“Saya tahu Allianz juga telah menyatakan secara terbuka hasratnya untuk Income terus mematuhi terma polisi sedia ada yang ditaja jamin oleh Income dan memastikan peralihan yang lancar tanpa kesan kepada pemegang polisi sedia ada.
“Selain itu, MAS mempunyai syarat kawal selia dan panduan untuk penanggung insurans mengekalkan rizab modal yang mencukupi, menyediakan rangka kerja tadbir urus dan pengurusan risiko yang teguh, dan juga untuk melayan pelanggan mereka secara adil,” kata Encik Chee.
Dalam jawapan berasingan, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, juga berkata bahawa Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Income telah memberi jaminan untuk memastikan premium mampu milik untuk skim kos rendah Income bagi ahli kesatuan.
Dua skim insurans kos rendah yang terbuka khusus buat ahli NTUC ialah NTUC GIFT dan Income Insurance LUV.
Beliau menambah, Allianz juga telah memberi jaminan untuk menghormati polisi sedia ada Income dan menyertai program insurans nasional yang menyediakan premium insurans mampu milik.
“Allianz komited untuk menghormati dasar-dasar Income sedia ada, mengambil bahagian dalam program insurans nasional dan meneruskan komitmen amalnya.
“(Ini termasuk) ikrar $100 juta dalam tempoh 10 tahun mulai 2021 untuk menggalakkan mobiliti sosial dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan menyokong kesejahteraan warga emas,” kata Encik Tan.
Encik Tan berkata, beliau memahami mengapa ramai rakyat Singapura bimbang matlamat sosial Income akan terjejas dengan perolehan syarikat tersebut oleh Allianz.
Beliau menjelaskan bahawa memandangkan Income hari ini perlu beroperasi dalam persekitaran persaingan dan kawal selia yang sangat berbeza, penting bagi Income mencari cara operasi yang lebih mampan.
“Keadaan semasa untuk Income tidak dapat dikekalkan. Penampan modal pendapatan telah berulang kali mengalami tekanan.
“Seperti yang dinyatakan NTUC, keutamaannya adalah mengekalkan pegangan majoriti dan pemilikan tempatan. Tetapi Income tidak dapat mencari pasangan yang bersedia.
“Oleh itu, ia telah menilai bahawa perjanjian dengan Allianz memberikan penjajaran kepentingan terbaik,” kata Encik Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg