Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dana $450,000 sokong kerjasama bantu golongan gelandangan

Laporan MSF: Bilangan gelandangan turun daripada 530 individu pada 2022, kepada 496 pada 2025
Jan 9, 2026 | 6:09 PM
Singapore, homeless, gelandangan, MSF
MSF berkongsi bahawa golongan gelandangan di sini terbentuk oleh 85 peratus lelaki. - Foto fail

Demi mengukuhkan sokongan bagi golongan gelandangan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan melancarkan sebuah dana berjumlah $450,000.

Dana Inisiatif Kerjasama Tangani Isu Gelandangan (Path) itu akan menyediakan geran bagi menyokong pertubuhan mencuba huraian inovatif yang menangani punca asas masalah gelandangan dan membantu golongan tersebut berusaha ke arah mempunyai perumahan yang lebih tetap dan stabil.

Huraian inovatif itu termasuk yang membantu golongan gelandangan dengan sokongan perubatan, psikologi dan sosial.

Pertubuhan yang berminat boleh memohon bagi geran dana itu mulai 1 April 2026.

Antara mereka yang boleh memohon dana tersebut termasuk pertubuhan keagamaan yang sudah pun terlibat dalam usaha membantu golongan gelandangan sedia ada.

Menurut laporan MSF yang dikeluarkan pada 9 Januari, jumlah gelandangan di Singapura telah turun sebanyak 6.4 peratus daripada 530 individu pada 2022 kepada 496 individu pada 2025.

Data itu diperolehi hasil kiraan yang dijalankan di seluruh negara oleh kementerian itu pada 18 Julai 2025.

Ini kali kedua MSF menjalankan kiraan gelandangan, dengan yang pertama dijalankan pada 2022.

Berikutan kiraan pada 18 Julai 2025 itu, satu tinjauan terhadap 128 individu gelandangan telah dijalankan pada Julai dan Ogos untuk memahami lebih lanjut cabaran utama yang dihadapi golongan itu.

Dapatan menunjukkan bahawa separuh daripada mereka yang ditinjau menyatakan perselisihan faham dengan keluarga atau penghuni bersama merupakan sebab mereka tidur gelandangan.

Kesukaran dalam mengekalkan dan mendapatkan perumahan yang stabil serta isu kewangan juga merupakan sebab lain yang dikongsi.

MSF berkongsi bahawa kebanyakan responden telah mendapatkan bantuan daripada rakan kongsi masyarakat dan agensi pemerintah untuk perumahan dan sokongan kewangan.

Namun, ramai daripada mereka masih tidak terbuka untuk menetap di tempat perlindungan kerana bimbang akan kekurangan privasi dan ruang peribadi.

Dalam laporan mengenai kiraan gelandangan yang diterbitkan itu, MSF berkata golongan tersebut terbentuk oleh 85 peratus lelaki dan 13 peratus wanita.

Hampir separuh, atau 49 peratus, daripada mereka berbangsa Cina, 22 peratus berbangsa Melayu dan 19 peratus berbangsa India.

Lebih separuh, atau 54 peratus, daripada mereka berusia 50 tahun ke atas, 36 peratus berusia antara 31 dengan 50 tahun, sementara 6 peratus berusia 30 tahun ke bawah.

Kebanyakan individu gelandangan ini tidur di blok-blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), bangku taman, di sekitar kawasan komersial atau pasar dan pusat makanan.

Meskipun 65 peratus daripada mereka mempunyai pekerjaan, kebanyakannya bergaji kurang daripada $2,000 sebulan.

Selain itu, sekitar separuh daripada golongan gelandangan ini mempunyai masalah kesihatan atau kurang upaya.

Sebanyak 77 peratus responden menyatakan bahawa mereka hidup gelandangan lebih dari setahun.

Bilangan gelandangan tertinggi dicatatkan di Bukit Merah (39 individu), Jurong West (39 individu) dan Bedok (38 individu).

Pada 2022, bilangan gelandangan tertinggi dicatatkan di Kallang (50 individu).

Dalam satu taklimat media pada 7 Januari, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, berkata golongan gelandangan berdepan dengan pelbagai isu kompleks.

“Isu hubungan merupakan dasar kebanyakan isu yang dihadapi golongan gelandangan di rumah,” kata Encik Chua.

Oleh itu, kerjasama rapat dengan sukarelawan, badan masyarakat dan agensi khidmat sosial yang sudah sekian lama mendampingi golongan gelandangan adalah penting.

“Seperti mana isu-isu yang dikemukakan golongan gelandangan ini bersifat perhubungan, penyelesaiannya juga bersifat perhubungan,” tambah Encik Chua.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan MSF pada 9 Januari, kementerian itu berkata:

“Menangani kerumitan gelandangan, terutamanya gelandangan jangka panjang, memerlukan usaha seluruh masyarakat.

“Membina masyarakat ‘Kita Dahulu’ bermaksud bersatu untuk menyokong mereka yang paling terdedah dalam kalangan kita.”

“Menangani kerumitan gelandangan, terutamanya gelandangan jangka panjang, memerlukan usaha seluruh masyarakat.”
Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg