Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lantai lobi tangga jadi tempat istirahat selama sebulan

Program ‘Safe, Sound Sleeping Places’ (S3P) di dua masjid bantu gelandangan dengan penempatan sementara
Oct 21, 2025 | 5:30 AM
‘Zak’ (bukan nama sebenar) telah menetap di Masjid Assyakirin di ruang yang dikhaskan pihak masjid sejak Jun.
‘Zak’ (bukan nama sebenar) telah menetap di Masjid Assyakirin di ruang yang dikhaskan pihak masjid sejak Jun. - Foto BH oleh MUHAIMIN SUZAINI

Selama hampir sebulan, lobi tangga di blok-blok HDB sekitar kawasan Taman Jurong menjadi tempat berteduh ‘Zak’ (bukan nama sebenar) apabila mentari terbenam sedang beliau menanti penempatan sementara.

Sebabnya, sepanjang tempoh itu, ayah tiga orang anak berusia 54 tahun itu hidup merempat.

Ketika itu, beliau sudah mendapatkan bantuan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) sekitar April untuk tempat berteduh sementara sebelum dirujuk oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kepada Masjid Assyakirin pada Jun.

Masjid yang terletak di kawasan Taman Jurong itu merupakan salah satu daripada dua masjid – satu lagi adalah Masjid Hang Hebat – yang menyediakan premis di bawah program tempat tidur selamat, atau Safe, Sound Sleeping Places (S3P) buat masa ini.

Berbekalkan beg sandang kecil yang sarat dengan pakaian dan barangan peribadi, ‘Zak’ kini menetap di Masjid Assyakirin sejak lebih empat bulan lalu.

Berkongsi kisahnya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Masjid Assyakirin, Zak berkata kehidupannya menjadi kucar-kacir selepas bercerai dengan isteri pada 2018 dan perlu menjual rumahnya untuk membayar nafkah mut’ah kepada bekas isterinya.

Beliau berkata: “Saya ada flat empat bilik sendiri yang saya beli pada 2001… tetapi selepas bercerai pada 2018, saya jual rumah itu.

“Detik perceraian merupakan satu dugaan yang tidak terkata. Rumah (dan mahligai) yang saya bina habis tergadai.”

Beliau salah satu daripada empat gelandangan yang menetap di masjid itu sementara menunggu penempatan lebih stabil – seperti di bawah Skim Penyewaan Awam (PRS) – dengan dibantu pekerja sosial masing-masing.

Selepas bercerai, Zak menetap di rumah ibu bapanya sebelum beliau dan anak bongsunya berpindah ke rumah sewa bersama empat penghuni lain di salah satu blok di kawasan Taman Jurong sejak 2022.

Namun, mereka memutuskan untuk keluar kerana tidak lagi sehaluan dengan pemilik rumah, katanya, dengan anaknya itu menetap di rumah anggota kenalan.

Zak menambah beliau meletakkan hasrat bekerja dalam sektor keselamatan dan kini sedang mengambil kursus keselamatan yang disokong Mendaki setelah tidak bekerja selama 10 bulan.

Pekerjaan adalah sesuatu yang beliau dambakan kerana beliau sedar, tanpa hasil pendapatan, adalah sukar melanjutkan kelangsungan hidup, ujar beliau.

“Saya masih sihat jadi selagi masih bertenaga, saya nak usaha sendiri,” katanya.

Bahkan, pengalaman berpindah-randah dari lobi tangga blok-blok HDB mengajar beliau erti kegigihan demi kemaslahatan diri sendiri.

Menyingkap pengalamannya ketika itu, beliau akan mandi di tandas awam seberapa mungkin, makan seadanya dan meluangkan sebahagian besar siang hari di pasar sekitar Pusat Makanan dan Pasar Taman Jurong.

Beliau akan mula mencari lobi tangga sesuai sebelum istirahat pada sebelah malam.

“Sejauh ini tak ada orang kacau atau kata apa-apa kerana selalunya saya naik untuk tidur sekitar 10 malam,” kata beliau.

Namun demikian, beliau bersyukur kerana diberi penempatan sementara untuk istirahat yang mempunyai kemudahan asas seperti tempat mandi dan katil.

“Saya syukur pihak masjid banyak bantu.

“Macam mana pun, penting kena ada kerja dan (tingkatkan) kebergantungan diri sendiri,” ujarnya dengan penuh yakin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg