Topik diikuti
Pergi ke BHkuDana $48j disedia bagi kandungan bertema S’pura, eksperimen AI
Dana $48j disedia bagi kandungan bertema S’pura, eksperimen AI
Dana $48j disedia bagi kandungan bertema S’pura, eksperimen AI
Syarikat media tempatan kini boleh memanfaatkan dana baru bernilai $48 juta yang bertujuan menyokong penghasilan kandungan bertemakan Singapura dan eksperimen dengan alat kecerdasan buatan (AI).
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata program empat tahun itu bertujuan membantu syarikat media merebut peluang baru, di tengah-tengah perubahan pesat dalam corak penggunaan kandungan oleh penonton, semasa majlis pelancaran pada 18 Jun.
“Ini bukan menggantikan hubungan manusia dengan AI atau teknologi, tetapi menggunakan AI untuk memperkaya penceritaan bagi menjangkau penonton baru dan merebut peluang baru dalam projek-projek kreatif,” kata Encik Tan.
“Kadar perubahan teknologi hanya akan semakin pantas...
“Kita di Singapura tidak mempunyai kemewahan untuk berpura-pura perubahan dan faktor persekitaran ini tidak wujud,” tambahnya.
Bagi pembangunan kandungan, program itu bertujuan membantu syarikat media meneroka cara baru menghasilkan dan mengedarkan kandungan bagi meningkatkan penglibatan dengan penonton tempatan, kata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 18 Jun.
“Ini termasuk menyokong cerita Singapura yang dapat menarik minat golongan muda, dewasa dan warga emas melalui format dan naratif yang relevan,” kata IMDA.
Ia merujuk kepada statistik terkini daripada Sistem Pengukuran Penonton Televisyen Singapura, yang mendapati 87 peratus daripada mereka yang berusia 15 tahun ke atas menggunakan laman video media sosial seperti TikTok dan Instagram setiap minggu.
“Video pendek, drama mikro, aliran kerja penerbitan menggunakan AI dan kandungan yang dijana AI semakin mendapat tempat, seiring dengan generasi baru pencipta kandungan natif digital yang membentuk semula cara kandungan dihasilkan, diedarkan dan dinikmati,” tambah IMDA.
Syarikat media yang menyertai program itu juga akan mendapat sokongan untuk menerima pakai format baru seperti kandungan bersiri berbentuk pendek, serta teknologi dan pendekatan penerbitan terkini termasuk penggunaan AI untuk menjana kandungan.
“Ia juga akan menggalakkan eksperimen dan penggunaan aliran kerja menggunakan AI untuk pembangunan kandungan, terbitan dan penyetempatan,” kata IMDA, sambil menambah ia akan membolehkan profesional media mengalihkan tumpuan mereka kepada tugasan yang lebih kreatif seperti penceritaan, pembinaan naratif dan pembangunan perniagaan.
Untuk menyertai program tersebut, syarikat perlu terlebih dahulu mendapat akreditasi daripada IMDA, yang akan menilai syarikat berdasarkan keupayaan pembangunan kandungan semasa, pengalaman relevan dan struktur pasukan mereka.
Kumpulan pertama seramai 117 syarikat media, termasuk syarikat terbitan tradisional dan syarikat media digital, telah menerima akreditasi mereka pada April dan Mei 2026.
