Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapat kerja semasa jalani program pementoran AMP, rangkaian karyawan jurutera

Jul 9, 2024 | 2:06 PM
Dengan adanya program bimbingan seperti AMPxJEN, Cik Nurain Iffah Imran, 26 tahun, berkata program sedemikian memberikan wadah untuknya mendapatkan bimbingan kerjaya daripada mentor yang berpengalaman dan melibatkan diri dengan masyarakat jurutera.
Dengan adanya program bimbingan seperti AMPxJEN, Cik Nurain Iffah Imran, 26 tahun, berkata program sedemikian memberikan wadah untuknya mendapatkan bimbingan kerjaya daripada mentor yang berpengalaman dan melibatkan diri dengan masyarakat jurutera. - Foto BH oleh KHALID BABA

Setelah tamat pengajian di universiti dan berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan bidang Kejuruteraan Persekitaran pada 2022, Cik Nurain Iffah Imran, mendapat pekerjaan di CBRE Global Workplace Solutions sebagai Jurutera Tenaga dan Kemampanan.

Namun, beliau terpaksa berhenti pada Mei 2023 kerana masalah kesihatan selepas lapan bulan bekerja di syarikat tersebut dan kemudian mengambil masa untuk berehat.

Dalam memburu pekerjaan semula pada Januari, lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu telah memohon lebih 35 pekerjaan kosong tetapi hanya mendapat 10 sesi temu duga dan empat sesi temu duga akhir dalam tempoh setahun mencari kerja baru.

“Selain menumpukan usaha memburu pekerjaan, saya mencari nasihat daripada komuniti saya dan bersemangat untuk belajar daripada pengalaman seorang pembimbing,” katanya yang awalnya berasa bingung tentang masa depan kerjayanya.

Atas saranan rakan kenalan LinkedIn beliau, Cik Iffah, 26 tahun, mengikuti program AMPxJEN – iaitu inisiatif bimbingan kejuruteraan yang disediakan AMP Singapura serta Rangkaian Jurutera Jazari (JEN) yang disokong AMP.

“Rakan kenalan saya ini aktif dalam beberapa kumpulan alumni dan rangkaian profesional. Beliau yang memperkenalkan saya kepada (JEN) dan mencadangkan saya untuk ikut serta,” kongsinya.

Cik Iffah merupakan antara 47 peserta program bimbingan AMPxJEN dan juga antara kumpulan peserta pertama program tersebut.

Selama enam bulan, program itu menghimpunkan sekitar 47 peserta dalam bidang kejuruteraan yang dibimbing mentor program yang berkongsi pengalaman, memberikan bimbingan dan meningkatkan peluang rangkaian.

Sepanjang program itu, Cik Iffah berkongsi bagaimana pembimbingnya, Encik Tauseef Hussain, yang membimbingnya mengenai cara mempersiapkan diri bagi sesi temu duga di samping memperhalusi soft skills atau kemahiran insaniah.

Tambahan, mereka mengambil langkah proaktif dengan mengadakan tiga sesi formal secara bersama sekali sebulan selama tiga bulan, bermula dari April hingga Jun.

Dalam sesi tersebut, Cik Iffah sering mengingati pesanan Encik Tauseef agar selalu menitikberatkan pertumbuhan peribadi sebagai asas penting dalam mempertingkatkan pembangunan kerjaya.

Meskipun Encik Tauseef bekerja dalam industri kewangan, Cik Iffah berasa bimbingan beliau telah membantunya mendapat perspektif yang lebih seimbang.

“Bimbingan beliau, berdasarkan nilai dan perjalanan kerjayanya sendiri, adalah asas kepada pertumbuhan saya. Bantuan Encik Tauseef sangat berguna dan bantu meningkatkan keyakinan saya sepanjang proses itu.”

Dengan bimbingan Encik Tauseef, Cik Iffah berjaya mendapat pekerjaan tetap sebagai Perunding Kitaran di Sembwaste pada Mei, sebulan sebelum menerima sijil tamat program AMPxJEN itu.

“Saya sangat menghargai dan berterima kasih atas dukungan dan nasihat yang diberikan.”

“Saya dan Encik Tauseef akan meneruskan hubungan mentor-menti kami. Saya berharap beliau akan terus memberi nasihat kerjaya agar saya dapat memaksimumkan pertumbuhan profesional saya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg