Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program bimbingan bantu siswa dapat gambaran jelas tentang kerjaya

Jul 9, 2024 | 11:36 AM
Selepas menjalani program bimbingan Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Rangkaian Jurutera Jazari (JEN),  AMPxJEN, Encik Yusuf Mohd Azwan, 26 tahun, mahu mempertingkatkan ilmunya dalam bidang pengurusan projek dan mempersiap diri untuk mendapatkan sijil Jurutera Profesional (PE).
Selepas menjalani program bimbingan Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Rangkaian Jurutera Jazari (JEN), AMPxJEN, Encik Yusuf Mohd Azwan, 26 tahun, mahu mempertingkatkan ilmunya dalam bidang pengurusan projek dan mempersiap diri untuk mendapatkan sijil Jurutera Profesional (PE). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sedang beliau menjalani semester terakhir sebagai sarjana muda di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Yusuf Mohd Azwan, mahu mendapatkan gambaran lebih jelas tentang industri yang bakal diceburinya.

Beliau juga turut berasa khuatir tentang kesukaran mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Pasaran pengambilan pekerja agak kurang baik dalam beberapa industri, yang merupakan satu cabaran dan ketidaktentuan bagi lulusan tahun ini (2024),” katanya.

Justeru, Encik Yusuf berhasrat mendapatkan panduan demi mempersiapkan dirinya dalam dunia pekerjaan.

Walaupun maklumat tersebut boleh didapati di Internet, beliau lebih cenderung meraih pengalaman langsung daripada karyawan dalam industri kejuruteraan yang sama.

“Saya ingin mempunyai akses kepada rangkaian yang lebih mendalam agar saya dapat mendekati bukan sahaja seorang mentor, bahkan merujuk kepada mentor relevan yang boleh memberi pandangan bernilai bagi kerjaya kejuruteraan,” kata pemuda berusia 26 tahun itu.

Sebelum ini, beliau menerima satu mesej menerusi LinkedIn mengenai program bimbingan anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Rangkaian Jurutera Jazari (JEN), AMPxJEN.

“Apa yang mendorong saya untuk menyertai program ini ialah adanya ‘perpustakaan manusia’ (human library) yang disediakan,” jelasnya.

Selama enam bulan program itu diadakan sejak Januari, peserta, termasuk Encik Yusuf mempelajari pelbagai topik seperti penjenamaan peribadi, pembangunan kerjaya dan selok-belok menjalankan perniagaan dalam industri kejuruteraan.

Encik Yusuf dididik pembimbingnya, Encik Firdaus Yusoff, tentang cara untuk menangani soalan semasa sesi temu duga dan amalan perindustrian yang dapat meninggalkan kesan mendalam semasa sesi temu duga.

Dalam pada itu, beliau juga dapat mendalami peranan pekerjaan dari segi keperluan kejuruteraan, keperluan perniagaan dan amalan industri yang menurutnya “membantu memberi gambaran lebih jelas tentang cara menangani isu teknikal secara lebih menyeluruh”.

“Aspek ‘perpustakaan manusia’ dalam program ini adalah kunci dalam memberi kesan.

“Ia bukan sekadar satu sesi rangkaian touch-and-go (kurang perincian), tetapi ia mengandungi interaksi dua hala yang sangat mendalam,” ujar Encik Yusuf.

Dengan Encik Yusuf bakal menggenggam ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan bidang Kejuruteraan Aeroangkasa pada 25 Julai, beliau tidak kesal dengan keputusannya menyertai program bimbingan AMPxJEN walaupun tersedia beberapa program serupa.

“Saya percaya, menyertai program bimbingan AMPxJEN adalah lebih sesuai bagi saya sebab kecekapan dan matlamat utama AMP termasuk pendidikan dan pembangunan sosial untuk memajukan masyarakat Islam kita.”

“Bekerjasama dengan JEN menyediakan kumpulan sokongan dinamik yang khusus untuk bidang kejuruteraan dan justeru menyediakan semangat kekitaan bersama.”

Aspek ‘perpustakaan manusia’ dalam program ini adalah kunci dalam memberi kesan. Ia bukan sekadar satu sesi rangkaian ‘touch-and-go’ (kurang perincian), tetapi ia mengandungi interaksi dua hala yang sangat mendalam.
Encik Yusuf Mohd Azwan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg