Dengan hasil titik peluh selepas tiga tahun bekerja, Encik Ramli Daud dapat membeli sebuah flat HDB empat bilik di Jurong West pada 2001.
Walaupun sudah tinggal di rumah itu selama 23 tahun, Encik Ramli, tidak berhasrat menjualnya atau berpindah ke flat lebih kecil, sekalipun meskipun usianya telah meningkat mencapai 67 tahun – dan walaupun flat yang dibelinya pada harga sekitar $110,000 itu kini bernilai lebih $400,000.
Mentelah beliau telah bekerja bertungkus-lumus bertahun-tahun untuk mencapai impian memiliki rumah sendiri.
Menurut Encik Ramli, yang bujang, beliau pergi ke cawangan HDB berdekatan rumahnya untuk mengetahui pilihan yang ada bagi mendapatkan hasil daripada rumahnya tanpa perlu menjual flat itu. HDB menasihati beliau supaya mempertimbangkan Skim Beli Balik Pajakan (LBS), di samping skim lain yang tersedia, jika ingin terus tinggal di flatnya dan menjana pendapatan.
“Pernah ada agen hartanah yang mendekati saya dan memberitahu saya yang saya boleh meraih keuntungan tinggi jika menjual rumah dengan bantuannya, tetapi saya tidak tergesa-gesa menggunakan perkhidmatannya,” kongsi Encik Ramli kepada Berita Harian pada 14 Ogos.
Di bawah LBS, pemilik flat yang berusia sekurang-kurangnya 65 tahun dan mempunyai baki tempoh pajakan sekurang-kurangnya 20 tahun bagi rumah mereka boleh menjual sebahagian daripada tempoh pajakan itu kepada HDB serta menerima bonus tunai, sambil terus tinggal di situ.
Dalam satu kemas kini pada 14 Ogos, HDB berkata sembilan dalam 10 isi rumah yang menyertai skim LBS menerima hasil antara $100,000 dengan $300,000.
Encik Ramli salah seorang daripada mereka. Beliau dapat terus tinggal di flatnya selama 30 tahun lagi sambil menikmati hasil sebanyak kira-kira $216,000 daripada penjualan sebahagian daripada tempoh pajakan flatnya kepada HDB pada awal 2024.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira $133,000 dimasukkan ke dalam Akaun Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) beliau, manakala sekitar $83,000 diberikan kepadanya secara tunai.
Encik Ramli menggalak orang ramai membuat perancangan teliti bagi masa hadapan dan persaraan mereka, serta menegaskan kepentingan mempertimbangkan semua pilihan, baik dengan penerangan mengenai flat HDB daripada ejen hartanah mahupun pemerintah.
“Ada orang berpendapat jika menjual rumah melalui ejen hartanah kita akan meraih keuntungan besar, dan kalau jual kepada HDB, hasilnya kurang.
“Tetapi kita perlu fikir tentang rancangan selepas menjual rumah, seperti soalan apakah kita akan membeli rumah yang lebih kecil, perlu atau tidak tak tinggal bersama saudara-mara atau adik-beradik dahulu sebelum mendapat rumah baru, dan bagaimana jika perlu menyewa rumah buat sementara waktu?
“Kita juga perlu ambil tahu tentang skim-skim sokongan yang disediakan oleh pemerintah dan selidik kesesuaiannya dengan keadaan kita sebelum membuat keputusan,” nasihat Encik Ramli, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan gudang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg