Dapur-dapur dan batu nisan sebuah kubur yang dirobohkan di tanah perkuburan Islam Choa Chu Kang telah dilakukan atas permintaan isteri sah si mati.
Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) apabila ditanya Berita Harian mengenai video yang tular menunjukkan seorang wanita menangis kerana kubur arwah suaminya dipecahkan oleh beberapa orang yang dipercayai pekerja.
Arwah suami wanita itu dikenal pasti sebagai Allahyarham Tajudin Mahmood.
BH difahamkan bahawa permintaan untuk merobohkan dapur-dapur kubur itu dibuat oleh isteri pertama Allahyarham.
Dalam video yang dirakam itu, seorang wanita, yang difahamkan merupakan isteri kedua Allahyarham, sedang duduk sambil menangis.
Dalam respons kepada BH, NEA berkata ia sedar tentang video yang tersiar mengenai monumen daripada plot kubur sedia ada di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang yang dirobohkan pada 14 Ogos 2023.
“Monumen tersebut dikeluarkan atas permintaan isteri sah arwah, yang juga berada di tapak itu bersama anggota keluarga lain untuk menyaksikan pengeluarannya.
“Pengeluaran itu dilakukan mematuhi norma budaya dan keagamaan.”
Pada waktu video dirakam, sudah 511 hari, atau lebih setahun berlalu, sejak Allahyarham meninggal dunia.
Video 41 saat itu telah dikongsi lebih 7,000 kali, dan mendapatkan lebih 240,000 ‘like’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg