Topik diikuti
Pergi ke BHkuDapur Hassan tutup pada 4 Okt, tetapi Hassan Sunny belum mahu ‘bersara’ dari dapur
Penjaga gawang S’pura pertimbang dapur pusat, teruskan perniagaan menerusi Grab sementara susun langkah seterusnya
Dapur Hassan tutup pada 4 Okt, tetapi Hassan Sunny belum mahu ‘bersara’ dari dapur
Dua tahun selepas menjadi ‘wira’ dalam kalangan peminat bola sepak China, penjaga gawang Singapura, Hassan Sunny, masih menerima kunjungan pelanggan dari negara itu di gerai makan miliknya, Dapur Hassan, di Tampines.
“Ada yang datang dari lapangan terbang dengan bagasi. Pelajar China yang datang ke Singapura untuk program pertukaran pun datang makan di sini,” kata Hassan, yang tidak menyangka sambutan selepas beliau tular pada 2024 akan berpanjangan.
“Saya jangka mungkin bertahan sebulan sahaja, tetapi sambutan itu berterusan sekitar setahun setengah.
“Sampai sekarang, seminggu sekali atau dua kali masih ada pelanggan China datang,” tambahnya.
Namun, selepas bertahun-tahun menghidangkan makanan kepada pelanggan setempat dan dari luar negara, Dapur Hassan akan menamatkan operasi gerai fizikalnya di Blok 144 Tampines Street 12 pada 4 Oktober.
Menurut Hassan, keputusan itu bukan disebabkan kekurangan pelanggan atau kenaikan sewa, sebaliknya berpunca daripada cabaran tenaga kerja serta keadaan kesihatan ibu mentuanya yang berusia 73 tahun dan selama ini menjadi tonggak utama dapur.
“Kontrak memang sudah habis. Apabila saya beritahu mahu berhenti, mereka (tuan tanah) terkejut dan tanya sama ada sebab sewa.
“Mereka kata mereka boleh turunkan sewa, tetapi sebenarnya saya tidak mahu membebankan ibu mentua saya.
“Dia sudah tidak begitu sihat untuk teruskan,” terangnya.
Malah, sejak mengumumkan penutupan gerai itu, Hassan berkata pelanggan berpusu-pusu datang sehingga Dapur Hassan kehabisan makanan.
“Pada 9 pagi, saya tanya isteri saya bagaimana keadaan di kedai. Beliau hanya membalas pada 2 petang.
“Itu kali pertama beliau lambat balas sebab terlalu ramai orang. Kami habis jual makanan,” katanya.
Pengumuman itu turut mengundang reaksi pelanggan yang meluahkan rasa sedih di media sosial.
Seorang pelanggan mempersoalkan mengapa Dapur Hassan perlu berpindah lagi kerana makanannya “sangat sedap”, manakala seorang lagi berkata nasi sambal goreng di gerai itu sudah menjadi sarapan harian keluarganya.
“Bapa saya pelanggan tetap di kedai… Keluarga kami akan merindui anda.
“Terima kasih kerana menyediakan makanan untuk kami selama ini,” tulis pelanggan itu.
Seorang pelanggan lain pula memuji mi soto Dapur Hassan sebagai “yang terbaik”.
Sokongan turut datang daripada pelanggan China, dengan seorang daripada mereka menulis bahawa beliau sudah empat kali mengunjungi Dapur Hassan sambil menambah:
“Peminat China mengingati Dapur Hassan.”
Menjelang hari terakhir operasi pada 4 Oktober, Hassan berkata beliau mengambil cuti daripada latihan dan komitmen bersama kelab bola sepaknya untuk berada di gerai dan membantu keluarganya melayani pelanggan.
“Ramai mahu datang makan sebelum kami tutup, jadi saya ambil cuti daripada latihan dan kelab untuk bantu di kedai,” kongsinya.
Dapur Hassan mendapat perhatian luar biasa pada Jun 2024 selepas Hassan melakukan 11 penyelamatan ketika Singapura tewas 1-3 kepada Thailand dalam kelayakan Piala Dunia.
Keputusan itu membolehkan China mara ke pusingan seterusnya, sekali gus mencetuskan gelombang sokongan daripada peminat bola sepak negara tersebut yang turut berkunjung ke Dapur Hassan.
Namun, Hassan berkata penutupan gerai fizikal itu tidak bermakna beliau mahu meninggalkan perniagaan yang dimulakannya pada 2020.
Sejak 2023, beliau sendiri mula mempelajari sendiri selok-belok memasak dan kini mampu menyediakan hidangan yang dijual Dapur Hassan, jelasnya.
“Tidak ramai tahu selain bola sepak, makanan juga minat saya.
“Saya suka memasak dan menghidangkan makanan kepada orang.
“Kalau saya masih bermain bola sepak, kenapa saya perlu ‘bersara’ daripada satu lagi perkara yang saya cintai?” katanya kepada Berita Harian (BH).
Selepas 4 Oktober, Hassan merancang untuk meneruskan Dapur Hassan menerusi Grab sementara beliau dan keluarganya mengambil masa beberapa minggu untuk menyusun langkah seterusnya.
Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah menggunakan dapur pusat, yang membolehkannya membuat persiapan dan memasak pada awal pagi sebelum menjalani latihan pada sebelah petang.
Namun, kos menyewa dapur pusat yang ditinjaunya boleh mencecah sekitar $10,000 sebulan.
“Saya boleh masak awal pagi kalau latihan saya sebelah petang.
“Tetapi kami perlukan beberapa minggu untuk susun semula rancangan dan fikir apa yang mahu dilakukan.
“Buat masa ini, berehat adalah penyelesaian yang baik. Saya mahu rehatkan satu bahagian kehidupan saya dahulu,” terangnya.