Bank darah tali pusat berlesen Cordlife Group Limited (CGL) didapati mendedahkan beberapa unit darah tali pusat (CBU) yang diawet beku pada suhu tidak optimal, sekali gus merosakkan unit darah tali pusat kepunyaan sekurang-kurangnya 2,150 pelanggan.
Pendedahan itu menjadikan CBU terjejas tidak sesuai bagi tujuan pemindahan sel stem, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada 30 November.
Syarikat itu telah diarah berhenti mengumpul, menguji, memproses dan/atau menyimpan sebarang CBU dan tisu manusia baru selama enam bulan. Ia juga tidak dibenarkan memberikan sebarang jenis ujian baru kepada pesakit.
CGL diberi masa 14 hari untuk mengemukakan perwakilan kepada MOH.
Siasatan sedang dijalankan dan MOH akan mempertimbangkan tindakan penguatkuasaan selanjutnya, termasuk mengenakan hukuman denda atau pendakwaan.
Menurut MOH, ia menerima aduan daripada orang awam pada 24 Julai yang mendakwa CBU yang disimpan dalam tangki di CGL terdedah kepada suhu melebihi sifar darjah Celsius, serta isu mutu perkhidmatan lain.
Apabila terdedah kepada suhu melebihi had tidak optimal, iaitu di bawah -150 darjah Celsius, CBU akan mula mencair dan sel stem dalam darah tali pusat mungkin rosak.
Ekoran aduan itu, MOH menjalankan audit mengejut ke atas syarikat itu pada 15 Ogos dan 16 hingga 21 November.
Pemeriksaan mendedahkan bahawa CBU yang diawet beku dalam tujuh daripada 22 tangki simpanan CBU terdedah kepada suhu melebihi had yang sesuai pada tempoh berbeza dari November 2020 hingga kini.
Salah satu daripada tangki itu, Tangki A, mempunyai anggaran 2,200 CBU milik kira-kira 2,150 pelanggan, menurut rekod inventori syarikat yang diberikan kepada MOH.
CBU dalam Tangki A terdedah kepada suhu melebihi had yang sesuai selama beberapa hari pada Februari, Mac dan Jun 2022.
Semua pakar yang dilantik MOH menjalankan semakan bebas ke atas keputusan ujian itu menyimpulkan CBU itu telah rosak dan tidak mungkin sesuai untuk tujuan pemindahan sel stem, kata MOH.
Siasatan sedang dijalankan untuk baki enam tangki simpanan yang mengandungi kira-kira 17,300 CBU milik dianggarkan 17,050 pelanggan.
Sementara menunggu hasil siasatan, MOH akan berunding dengan pakarnya untuk menentukan sama ada ujian serupa perlu dilakukan ke atas CBU yang disimpan dalam enam tangki ini.
Untuk memberi jaminan kepada ibu bapa yang telah menyimpan CBU mereka dalam tiga lagi bank darah tali pusat berlesen di Singapura, MOH menjalankan audit bersasar ke atas bank-bank ini dari 15 hingga 22 November 2023 memfokuskan pada kuarantin, penyimpanan dan pengedaran CBU.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg