TRIPOLI: Berita penemuan seorang bayi perempuan yang baru lahir dalam beg sampah plastik hitam yang digonggong seekor anjing liar, berhampiran bangunan perbandaran di Tripoli pada pagi Rabu, mengejutkan seluruh Lebanon.
Seorang pejalan kaki dilaporkan melihat anjing itu menggonggong beg, dan mendengar tangisan bayi.
Lelaki itu berjaya mengambil beg daripada anjing itu dan mendapati ada bayi di dalamnya.
Bayi itu mengalami lebam di seluruh badan dan dikejarkan ke Hospital Amal Islam, kemudian dipindahkan ke Hospital Pemerintah Tripoli, selepas perkhidmatan keselamatan dan pihak berkuasa kehakiman dimaklumkan.
Bayi itu baru berusia beberapa jam, menurut laporan Arab News.
Namun tidak diketahui dengan tepat bila bayi itu ditinggalkan.
Keadaan bayi itu disifatkan sebagai serius tapi stabil.
Pihak hospital enggan memberi sebarang maklumat lanjut.
Encik Ghassan Rifi, seorang wartawan kanan di Tripoli, memberitahu Arab News bahawa beliau tidak pernah melihat kejadian seperti itu sepanjang kerjayanya.
“Biasanya, apabila seseorang mahu ‘membuang’ bayi mereka, akan meletakkannya di hadapan rumah anak yatim atau balai polis,” katanya.
“Namun, bayi ini dibuang di kawasan yang dianggap sangat berbahaya, mungkin pada waktu malam, kerana banyak anjing liar boleh ditemui.
“Pihak perbandaran sebelum ini cuba meracuni anjing-anjing ini tetapi pertubuhan kebajikan haiwan membantah dan meminta supaya diberi perlindungan.”
Kawasan tempat bayi itu ditemui, kata Encik Rifi, bukan kawasan kediaman tetapi berdekatan dengan kejiranan Al-Tal.
Apabila berita tersebar di media sosial, timbul spekulasi mengenai siapa yang mungkin telah meninggalkan bayi itu.
“Adakah mungkin orang yang membuangnya, mahu membiarkan anjing memakan bayi itu di kawasan yang dipenuhi anjing liar ini. Mujur bayi itu diselamatkan oleh lelaki yang kebetulan berada di sana,” kata Encik Rifi.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan.
Apabila bayi itu sembuh, jika tiada sesiapa tampil mengambilnya, bayi itu akan ditempatkan di rumah anak-anak yatim.
Encik Abdulrahman Darwish, wakil di Tripoli dari Kesatuan Persatuan Bantuan dan Pembangunan, berkata bahawa beliau tidak percaya kejadian itu ada kaitan dengan masyarakat pelarian Syria di Lebanon.
“Selama sembilan tahun, kami tidak menyaksikan sebarang kejadian seperti ini di kem pelarian Syria,” katanya.
“Saya juga tidak fikir apa yang berlaku adalah akibat keadaan ekonomi yang teruk, kerana semua orang mengalami krisis tetapi tiada siapa yang pernah membuang bayi mereka di jalan yang penuh dengan anjing liar.”
Lima tahun lalu, seorang bayi baru lahir ditinggalkan di taman awam di Tripoli semasa musim panas, kata Encik Darwish.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg