Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari impian arkeologi ke seni landskap: Pelajar ITE kongsi cerita identiti negara menerusi tumbuhan
Dari impian arkeologi ke seni landskap: Pelajar ITE kongsi cerita identiti negara menerusi tumbuhan
Pasukan ITE Kolej Timur terima Anugerah Perak Festival Taman Singapura 2026 hasil kejayaan tukar plot kosong jadi landskap memukau bertema identiti S’pura
Dari impian arkeologi ke seni landskap: Pelajar ITE kongsi cerita identiti negara menerusi tumbuhan
Cik Nur Izzati Sofiya Mohamad Riduan pernah menyimpan impian menceburi bidang sejarah dan arkeologi.
Namun, penuntut Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur berusia 20 tahun itu kini menyalur minat mendalamnya dalam penceritaan menerusi wadah berbeza, iaitu tumbuh-tumbuhan, ruang awam dan reka bentuk landskap.
Bidang ini diharap dapat mendekatkan lagi visi Singapura sebagai Bandar dalam Alam Semula Jadi di samping kehidupan seharian masyarakat.
Cik Izzati yang mengikuti kursus Diploma Bekerja dan Belajar ITE dalam Arborikultur dan Hortikultur, baru-baru ini, telah mengetuai pasukannya yang merangkul kejayaan di Festival Taman Singapura (SGF) 2026, dengan meraih Anugerah Perak dalam Cabaran Reka Bentuk Landskap menerusi karya kreatif mereka, Synthwave Merlion.
Arborikultur merupakan bidang pengajian tanaman pokok dan tanaman renek serta penjagaannya untuk memberikan nilai estetik pada landskap, manakala hortikultur adalah sains dan seni penanaman bunga, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Cabaran tersebut diadakan di Taman Di Persisiran pada 4 Julai lalu, dengan tujuh pasukan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi diberi masa hanya empat jam untuk mengubah plot kosong berukuran 3 meter kali 3 meter menjadi paparan landskap yang memukau.
Taman-taman yang telah siap akan terus dipamerkan kepada orang ramai sehingga 12 Julai 2026.
Bagi Cik Izzati, landskap bukan sekadar menanam pokok atau mencantikkan sesuatu ruang.
Katanya: “Saya melihat reka bentuk landskap sebagai satu cara bercerita tentang identiti Singapura, hubungan manusia dengan alam sekitar, dan bagaimana ruang hijau boleh membentuk pengalaman harian masyarakat.”
Dalam mengetengahkan Synthwave Merlion, pasukannya, Urban Canopy Lab, telah membayangkan semula maskot kebangsaan Singapura, Merlion, menerusi lensa retrofuturistik, iaitu bagaimana orang pada masa lampau membayangkan rupa masa hadapan.
Rekaan tersebut menggabungkan tanaman tropika, bahan reflektif, pergerakan air dan rekaan berinspirasikan cahaya neon bagi menghasilkan suasana yang terasa nostalgik tetapi pada masa sama memandang ke hadapan.
Di tengah-tengah taman itu, berdiri megah ikon Merlion futuristik yang dihiasi jubin cermin dan kepingan cermin kitar semula.
Air yang mengalir daripada Merlion ke kolam pula melambangkan pembaharuan, pergerakan dan hubungan rapat Singapura dengan air sebagai sebuah negara pulau.
Tanaman tropika yang berlapis digunakan untuk melembutkan elemen hitam, garisan neon dan permukaan reflektif, sekali gus menggambarkan keseimbangan antara alam semula jadi dengan teknologi.
Cik Izzati, anak bongsu dalam tiga beradik, berkata minatnya terhadap tumbuhan mula berputik semasa di sekolah menengah, apabila guru Geografi-nya sering membawanya menguruskan tanaman hidroponik.
“Walaupun saya dahulu lebih tertarik kepada sejarah dan arkeologi, saya kini melihat bidang landskap sebagai ruang untuk terus meneroka kisah di sebalik tumbuhan, tempat dan alam sekitar.
“Pengalaman menyertai pertandingan ini juga mengajar saya bahawa reka bentuk landskap memerlukan lebih daripada setakat idea yang indah.
“Sebabnya, ia juga menuntut perancangan, kerja berpasukan, pemilihan tanaman, kemahiran teknikal dan keupayaan membuat keputusan dalam masa terhad,” katanya.
Selepas tamat pengajian, Cik Izzati berharap dapat menyumbang kepada visi Singapura sebagai Bandar dalam Alam Semula Jadi, dengan menghasilkan ruang hijau yang bukan sahaja indah, tetapi juga bermanfaat, mesra pengguna dan dekat dengan kehidupan seharian masyarakat, termasuk di kawasan perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
