Topik diikuti
Pergi ke BHkuMandai buka zon baharu bertema hutan hujan Afrika
Mandai buka zon baharu bertema hutan hujan Afrika
Antara daya tarikan ialah kemunculan sulung okapi persis gabungan kuda belang dan zirafah di Asia Tenggara
Mandai buka zon baharu bertema hutan hujan Afrika
Para pengunjung daya tarikan Rainforest Wild Adventure kini boleh melihat okapi yang terancam serta haiwan lain dari Afrika apabila fasa kedua taman hidupan liar berasaskan pengembaraan itu dibuka pada 29 Mei.
Okapi disebut sebagai ‘fosil hidup kerana bentuk tubuhnya yang kelihatan seperti hasil gabungan daripada beberapa haiwan berbeza.
Dinamakan, Rainforest Wild Adventure East, zon seluas tujuh hektar itu merupakan pembangunan prasarana utama terakhir dalam perubahan Taman Simpanan Hidupan Liar Mandai selama sedekad.
Kawasan ini meliputi 126 hektar, bersamaan kira-kira 176 padang bola sepak.
Tarikan utama taman baharu ini ialah okapi, atau zirafah hutan, spesies terancam dari Congo di Afrika Tengah yang membuat penampilan sulung di Asia Tenggara.
Mamalia jarang ditemui ini menyerupai gabungan kuda belang dan zirafah. Terdapat empat ekor okapi di taman tersebut.
Taman yang diilhamkan daripada sekitaran alam Afro Tropika dan Madagascar ini turut menampilkan badak air kerdil, bongo timur dan antelop lechwe Nil, serta pokok baobab ikonik dari Afrika.
Kurator Penjagaan Haiwan Mandai Wildlife Group, Cik Cecilia Tang, berkata ramai lebih mengenali savana Afrika berbanding hutan hujan Afrika Tengah, yang merupakan hutan hujan tropika kedua terbesar di dunia selepas Amazon.
“Kami mahu membawa sebahagian pengalaman hutan hujan ini kepada pengunjung dan mempamerkan sudut berbeza hutan hujan Afrika,” katanya.
Pengunjung juga boleh menyertai lima kegiatan pengembaraan, termasuk meluncur merentasi puncak pokok atau terbang setinggi lapan meter dari tanah.
Zon Timur merupakan sebahagian daripada Rainforest Wild Adventure seluas 20 hektar yang sebelum ini dikenali sebagai Rainforest Wild Asia and Africa.
Taman itu kini dibahagikan pada zon Timur dan Barat, dengan Rainforest Wild Adventure West yang menampilkan biodiversiti Asia Tenggara dibuka pada Mac 2025.
Dengan menggunakan satu tiket masuk membolehkan pengunjung memasuki kedua-dua zon melalui perkhidmatan bas ulang-alik percuma serta beberapa kegiatan pengembaraan terpilih.
Harga tiket $50 bagi dewasa, $35 bagi kanak kanak berumur tiga hingga 12 tahun serta pelajar tempatan berumur 25 tahun ke bawah, dan $25 bagi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
Bagi bukan penduduk, harga tiket $55 bagi dewasa dan $39 bagi kanak kanak.
Taman ini dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang, dengan kemasukan terakhir pada 5 petang.
Dengan keluasan 20 hektar, Rainforest Wild Adventure merupakan antara taman terbesar di Mandai. Taman lain termasuk Taman Haiwan Singapura, Safari Malam, River Wonders dan Bird Paradise.
Yang paling kecil ialah River Wonders dengan keluasan 12 hektar, manakala yang terbesar ialah Taman Haiwan Singapura yang meliputi 26 hektar.
Berucap pada majlis pembukaan tarikan tersebut, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata Taman Simpanan Hidupan Liar Mandai, yang kini siap sepenuhnya merangkumi taman hidupan liar termasuk Taman Haiwan Singapura dan Bird Paradise kini merangkumi taman hidupan liar, tarikan dalaman Curiosity Cove dan Exploria, serta ruang awam seperti Mandai Boardwalk.
“Kesemuanya membentuk sebuah tarikan yang mencerminkan identiti Singapura sebagai bandar dalam alam semula jadi,” katanya yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.
Taman Simpanan Hidupan Liar Mandai kini menerima sekitar 4.5 juta pengunjung di dalam dan luar negara setiap tahun.
Terdapat empat kawasan bertema. Lemur Land ialah aviari berilhamkan Madagascar, yang menempatkan tiga spesies lemur dan lebih 12 spesies burung.
Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan dari Split Rock Summit pada ketinggian 11 meter.
Di Hidden Forest, pengunjung boleh melihat okapi sambil berjalan merentasi laluan jambatan tergantung dan jaring sepanjang 125 meter.
Setiap kawasan menawarkan sesi penerangan oleh renjer mengenai haiwan dan usaha pemuliharaan spesies terancam.
Pengunjung boleh meneroka taman melalui laluan mesra kerusi roda atau trek hutan yang melalui habitat haiwan.
Mereka juga boleh menjamu selera di Restoran Rangers Retreat yang menawarkan hidangan berinspirasikan cita rasa Afrika.
Bagi yang mahu pengalaman lebih mendalam, Crocodile Lodge menawarkan 20 khemah ‘glamping’ safari yang menghadap Red Ravine, habitat luas tempat haiwan berkuku seperti bongo timur meragut makanan.
