Dari kecil hingga kini bergelar nenek, Berita Harian dekat di hati saya
Dari kecil hingga kini bergelar nenek, Berita Harian dekat di hati saya
Penulis akur melalui BH, beliau dapat belajar, kekal relevan dan berkongsi pengetahuan ini dengan keluarga
Saya mula membaca Berita Harian (BH) sejak kecil lagi ketika masih tinggal di kampung di Chestnut Avenue.
Nenek saya selalu membeli surat khabar, dan saya akan duduk meneliti halaman demi halaman, kadang-kadang hanya untuk melihat gambar atau membaca cerita tentang masyarakat sekitar.
Minat membaca itu terus terbawa apabila keluarga kami berpindah ke flat di Bukit Batok.
Saya masih ingat dengan jelas saat-saat manis pada hari istimewa seperti Hari Kesihatan.
Perasaan gembira apabila wajah saya tersiar dalam akhbar tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kenangan itu begitu berharga sehingga saya simpan akhbar lama itu hingga ke hari ini.
Begitu juga dengan gambar saya yang tersiar semasa Hari Raya dan Tahun Baru Cina memori yang terus segar di hati saya.
Seiring bertambahnya usia, saya menjadi ibu kepada tiga anak, dan kini nenek kepada lima cucu.
Saya suka berkongsi pengalaman membaca BH dengan mereka, terutamanya kisah menarik tentang masyarakat, kariah dan majlis iftar.
Semasa Ramadan dan Hari Raya, saya akan membeli akhbar untuk mengetahui mengenai suasana bazar, pakaian Raya dan persiapan masyarakat.
Ia menjadi cara saya bercerita kepada anak dan cucu tentang budaya kita, sambil mereka belajar mengenali istilah seperti PPIS atau badan lain yang disebut dalam berita.
Saya aktif sebagai sukarelawan di Masjid Al-Khair dan di Kelab Masyarakat Chua Chu Kang lebih 20 tahun.
Dari masjid lama ke masjid baru, dari generasi pemimpin lama ke baru, saya banyak mengikuti program masyarakat.
BH sentiasa menjadi rujukan saya untuk mengetahui siapa yang hadir di majlis, perkembangan kariah dan aktiviti masyarakat.
Kisah seorang imam muda baru-baru ini yang berjaya memimpin solat tarawih amat menyentuh hati saya.
Ia memberi inspirasi bukan sahaja kepada saya, bahkan kepada anak dan cucu, agar mereka melihat kepentingan ilmu dan khidmat masyarakat.
Dulu, saya akan menempah akhbar yang dihantar pagi-pagi.
Kini dengan kemudahan telefon, saya membaca secara online, tetapi masih membeli akhbar untuk melihat gambar atau kisah khas seperti Ramadan dan Hari Raya. Saya juga suka mengikuti perkembangan pilihan raya dan berita penting dalam negara.
Melalui BH, saya dapat belajar, kekal relevan dan berkongsi pengetahuan ini dengan keluarga.
Pada usia saya kini 67 tahun, saya berharap BH akan terus bertahan walaupun zaman media sosial kian berkembang.
Ia lebih daripada surat khabar. Ia sebahagian daripada hidup saya, memori keluarga, dan inspirasi yang berterusan kepada masyarakat Melayu kita.

