SPH Logo mobile
Langgan|

Kesederhanaan dalam rai Syawal

Kesederhanaan dalam rai Syawal

Dalam rai Lebaran dengan ria, biarlah ia berpada, terap belas kasihan terhadap yang derita
Mar 20, 2026 | 5:30 AM

Kesederhanaan dalam rai Syawal

Aidilfitri, Syawal, kesederhanaan, makna Aidilfitri 2026, adab ziarah Hari Raya, pembaziran makanan raya, erti kemenangan Ramadan, tazkirah Syawal, lebaran, belas kasihan
Kegembiraan merupakan perasaan yang menjadi sebahagian daripada fitrah penciptaan manusia, terutama dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Namun, sepertimana Islam memberikan landasan ketika menghadapi rasa sedih dan marah, begitu juga Islam mendidik kita sewaktu kita berasa gembira. - Foto hiasan ADOBE STOCK

USTAZ MUHAMMAD KHAIRANI BASIRAN

Tarikh 1 Syawal – hari kemenangan, hari meraikan fitrah, hari yang dipenuhi kegembiraan.

Setelah sebulan berpuasa, takbir dilaungkan menandakan tibanya Aidilfitri.

Hari apabila setiap Muslim mengharapkan pengampunan Allah swt setelah menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.

Kita sering mengaitkan Aidilfitri, bahkan Syawal, sebagai waktu bergembira.

Dengan pakaian serba baru dan rumah yang dihias sebagai tanda menzahirkan kegembiraan.

Bulan yang sinonim bagi masyarakat Islam di Nusantara sebagai bulan ziarah dan bermaafan.

Setiap rumah bersedia menyambut tetamu dengan pelbagai kuih-muih tersaji buat semua.

Bergembira bukanlah satu perkara yang jelek di sisi agama.

Bahkan terdapat beberapa hadis Sayidatina A’isyah ra menceritakan bagaimana Nabi saw mengizinkan masyarakat untuk berhibur dengan memukul gendang dan bernyanyi pada Aidilfitri.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Nabi saw sendiri mengangkat Sayidatina A’isyah ra ke atas belakang Baginda agar beliau dapat berhibur melihat sekumpulan orang Sudan yang sedang bermain.

Gembira pada Hari Raya

Kegembiraan merupakan perasaan yang menjadi sebahagian daripada fitrah penciptaan manusia.

Namun, sepertimana Islam memberikan landasan ketika menghadapi rasa sedih dan marah, begitu juga Islam mendidik kita sewaktu kita berasa gembira.

Walaupun Hari Raya merupakan hari umat Islam bergembira, rasa gembira itu tidaklah terlepas daripada landasan syarak yang ditetapkan Allah swt.

Seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali:

“Hari Raya bukanlah sekadar memakai baju baru, tetapi Hari Raya adalah bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”

Di antara garis pandu umum yang patut diberi tumpuan dalam meraikan Aidilfitri adalah berwaspada daripada berlebihan, elak pembaziran dan menghormati perasaan sesama insan.

Gembira perlu berpada

Perasaan gembira, sedih, atau marah, semuanya lahir daripada nafsu yang ada pada diri setiap insan.

Seperti firman-Nya di dalam surah Yusuf, ayat 53, yang bermaksud:

“Sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali yang telah dirahmati Tuhanku.”

Ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa panduan agama dalam menghadapi setiap emosi dan perasaan yang kita rasakan adalah di antara bentuk rahmat-Nya kepada orang yang beriman.

Bergembira tidak seharusnya membawa ke arah kesombongan dan berbangga diri.

Gembira juga tidak sepatutnya menjadikan kita lupa tentang sekitaran dan keadaan di sekeliling kita.

Orang yang beriman tidak akan lalai dan membiarkan kegembiraan membuai mereka ke arah keburukan tanpa disedari.

Dalam kita bergembira menyambut Hari Raya, usahlah kita membandingkan antara satu sama lain.

Baju siapakah yang lebih mewah? Rumah siapakah yang tersergam lebih indah?

Semua itu dan banyak lagi perbandingan, sama ada diluahkan atau tidak, tidak membawa manfaat kepada sesiapa.

Gembira ketika dunia bergelora

Dalam kita meraikan Aidilfitri kali ini, kegembiraan yang kita rasakan tidak wajar membutakan kita daripada musibah yang sedang berterusan di beberapa negara.

Daripada krisis kemanusiaan yang berlanjutan di Gaza dan Ukraine, hinggalah peperangan yang tercetus di Timur Tengah.

Salahkah untuk kita bergembira sedang insan lain berduka? Wajarkah kita rasa ceria sedang mereka dilanda hiba? Tentunya tidak.

Kegembiraan kita tidak menafikan kesengsaraan mereka.

Namun, kesedaran diri tentang apakah yang sedang dialami oleh orang lain, sama ada yang dekat mahupun jauh, seharusnya melahirkan rasa belas kasihan dalam diri kita semua.

Padah terlajak gembira

Merai Aidilfitri sering melibatkan penyediaan hidangan dan kuih-muih untuk tetamu.

Namun, kita perlu berwaspada daripada membazir dengan memastikan hidangan yang disediakan tidak berlebihan, agar makanan tidak disia-siakan.

Pembaziran bukan sahaja merugikan alam sekitar, malah bercanggahan dengan ajaran Islam.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 27:

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa pembaziran menyamai sikap syaitan yang kufur nikmat, sama ada dalam bentuk makanan berlebihan atau perbelanjaan tidak perlu.

Dengan mengawal jumlah hidangan mengikut keperluan tetamu, kita dapat menjaga amanah rezeki dan memelihara rahmat Syawal.

Usah dibiar pahala bersalut dosa

Akhir sekali, saling menziarahi merupakan antara amalan baik yang dilakukan pada Syawal.

Namun, penting untuk meneliti adab berkunjungan agar perkara baik yang dilakukan tidak ternoda.

Antaranya, pastikan batasan waktu dan ruang peribadi tidak dilanggar.

Menyakiti hati insan lain dengan kata-kata, sama ada disengajakan atau tidak, harus dielakkan.

Usah dipaksa tuan rumah agar menerima kunjungan dengan alasan ‘bukannya selalu’ atau ‘ini kan Hari Raya’.

Jadilah umat Nabi Muhammad saw yang menjadikan akhlak mulia sebagai cerminan peribadi kita di mana-mana jua kita berada.

Semoga Aidilfitri kali ini membuahkan kebaikan dan ganjaran daripada Allah swt buat semua.

Penulis ialah pendakwah bebas berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) serta ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai Ketua Komunikasi Strategik dan Penglibatan Masyarakat di Masjid En-Naeem.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg