Sepanjang kerjayanya yang gemilang, Encik Hawazi Daipi, 72 tahun, kerap berdepan dengan keputusan dan keadaan sukar.

Namun, tidak pernah sekalipun beliau gentar untuk turun padang, sama ada sebagai wartawan Berita Harian (BH) membuat liputan di Timur Tengah, mahupun sebagai Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang.

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia) itu telah menunjukkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam segala tanggungjawab yang dipikulnya.

Kekayaan pengalamannya mendedahkan beliau kepada pentingnya menjalin hubungan antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat buat Singapura.

“Adalah penting bagi Singapura untuk menjalinkan hubungan rapat dengan negara lain.

“Apa yang kita ingin capai dan bina ialah keupayaan kita, kerana kita negara kecil yang mempunyai ekonomi terkait dengan banyak negara lain,” kata Encik Hawazi.

Pelantikan Encik Hawazi sebagai wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, dan juga Pesuruhjaya Tinggi bukan pemastautin Singapura ke Ghana sejak 2017, membuka lembaran baru untuk beliau terus menyumbang, di samping memperkukuh kedudukan dan suara Singapura di persada antarabangsa.

Atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan, Encik Hawazi diberikan anugerah Pingat Bakti Masyarakat sempena Anugerah Hari Kebangsaan 2026.

Ketika dihubungi BH, beliau menzahirkan penghargaannya diberi anugerah tersebut dan berkata ia satu pengiktirafan besar.

“Saya rasa terharu dan dihargai apabila diberitahu mengenai anugerah ini, dan saya rasa ini satu penghormatan penting bagi diri saya secara peribadi, dan juga bagi perkara yang berkaitan dengan tugas saya sebagai seorang wakil diplomat,” ujar Encik Hawazi yang pernah berkhidmat sebagai guru dari 1978 hingga 1983.

Mengimbau saat beliau berperanan sebagai wartawan dan kemudian Penolong Editor BH dari 1983 hingga 1996, Encik Hawazi berkata peluang dihantar ke Timur Tengah seperti di Cyprus, Jericho dan Baitulmakdis telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi dirinya.

“Peluang untuk bertemu dan mengenali isu-isu berkaitan Palestin pada 1993 itu saya rasa titik permulaan minat saya,” katanya.

Beliau dihantar untuk membuat liputan bagi Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) di Cyprus selain melawat Jericho di Tebing Barat Palestin, bagi melaporkan rancangan pembangunan Jericho pada akhir 1993.

“Saya beritahu kepada Encik Zainul (mantan Editor BH) selepas saya pergi ke Cyprus untuk membuat liputan mengenai sidang Komanwel, yang saya nak singgah di Palestin.

“Beliau tanya, “Kamu ada kenalan ke” dan saya kata saya tak ada, saya tak kenal sesiapa tetapi saya nak cari peluang mencuba,” cerita Encik Hawazi.

Keberanian beliau untuk melangkah ke medan konflik tidak hanya terhad kepada Timur Tengah, malah beliau juga pernah ke selatan Filipina pada pertengahan 1996 untuk melaporkan rundingan damai antara Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dengan pemerintah Filipina.

MNLF merupakan pergerakan utama Bangsa Moro di Mindanao yang dipengerusikan Encik Nur Misuari ketika itu.

Peralihan daripada bidang kewartawanan kepada bidang politik disifatkan sebagai satu detik yang tidak dapat beliau lupakan.

“Dalam setiap liputan yang saya buat, saya perlu membuat keputusan.

“Kemudian, saya perlu membuat satu lagi keputusan besar — sama ada mahu terus menjadi wartawan atau menceburi bidang politik,” kata Encik Hawazi.

“Secara peribadi, mungkin keputusan itu tidak begitu sukar kerana saya sememangnya mempunyai kecenderungan untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya.

“Namun, apabila melibatkan keluarga, itulah yang membuatkan keputusan tersebut menjadi lebih sukar,” tambah beliau, yang mempunyai dua anak dan empat cucu.

Beliau yang pernah menolak permintaan untuk menyertai dunia politik sebanyak dua kali akhirnya menceburi bidang itu sebagai AP GRC Sembawang setelah memenangi Pilihan Raya Umum pada Januari 1997.

“Kali pertama dan kedua saya tolak sebab saya dan keluarga belum bersedia dan masih banyak yang ingin saya capai dalam bidang penulisan di BH.

“Kali ketiga tu, saya rasa selepas berbincang dengan ibu bapa saya dan juga dengan dengan isteri saya, saya sudah lebih bersedia untuk menerima tugas tersebut pada usia 42 tahun,” kongsi Encik Hawazi.

Encik Hawazi bersara sebagai AP pada April 2015.

Beliau juga pernah menyumbang bakti antaranya sebagai mantan pengerusi Majlis Bahasa Melayu (MBMS), Pengerusi Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada), dan Penasihat Persatuan Pembantu Rumah Warga Asing bagi Sokongan Sosial dan Latihan (Fast).