Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari Madrasah ke Istana: Pentas mengasah kepimpinan agamawan dari kaca mata S’pura
Dari Madrasah ke Istana: Pentas mengasah kepimpinan agamawan dari kaca mata S’pura
Rumah Terbuka Istana menjadi wadah pelajar madrasah mengamalkan kepimpinan, perkhidmatan dan perpaduan
Dari Madrasah ke Istana: Pentas mengasah kepimpinan agamawan dari kaca mata S’pura
Ustaz
Apabila kita berbicara tentang pendidikan madrasah, kebanyakan kita terus memikirkan bilik darjah, kitab, guru dan peperiksaan.
Namun, pendidikan sebenar tidak pernah terhad kepada empat dinding sebuah kelas. Ia berlaku apabila seorang pelajar diberi peluang memimpin.
Apabila dia berpeluang berinteraksi dengan masyarakat pelbagai latar belakang.
Apabila dia memahami bahawa ilmu yang dipelajari bukan hanya untuk dirinya, malah bagi menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Ini yang saya lihat ketika menyaksikan penglibatan lima madrasah sepenuh masa di Rumah Terbuka Istana sempena Hari Kebangsaan 2026 baru-baru ini.
Sebagai anggota Jawatankuasa Tetap penganjur acara tersebut, saya berpeluang melihat sendiri bagaimana pelajar madrasah bukan sekadar hadir sebagai peserta malah tampil sebagai duta kecil yang memperkenalkan budaya, nilai dan identiti masyarakat Melayu/Islam kepada seluruh warga Singapura.
Melihat seorang kanak-kanak bukan Melayu mencuba menulis Jawi buat kali pertama.
Melihat sebuah keluarga menghasilkan alas cawan daripada kain terpakai sambil belajar tentang kelestarian alam.
Melihat pengunjung berhenti menikmati alunan angklung, nasyid dan dikir barat yang menggabungkan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.
Semuanya mungkin kelihatan sebagai kegiatan biasa. Namun sebenarnya, ia detik-detik kecil yang membina persefahaman antara masyarakat.
Tetapi demi memahami mengapa saat ini berlaku, kita perlu mengenali siapakah pelajar yang mengelolakan kegiatan tersebut.
Semua madrasah sepenuh masa di Singapura bukan sekolah agama dalam erti kata tradisional.
Pelajar madrasah hari ini mengikuti kurikulum kebangsaan dan menduduki peperiksaan awam, sambil mendalami ilmu agama secara mendalam.
Semangat dan keupayaan yang saya saksikan di NDIOH bukan berlaku secara kebetulan.
Ia adalah hasil daripada pendidikan yang membina asas agama yang kukuh dengan keterlibatan aktif dengan masyarakat.
Setiap madrasah membawa kekuatan tersendiri.
* Madrasah Aljunied Al-Islamiah memperkenalkan kegiatan memanah maya yang menggabungkan warisan tradisi dengan teknologi moden.
* Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah mengetengahkan persembahan angklung, nasyid dan bahasa isyarat yang mengangkat kisah perjalanan Singapura dari masa lalu menuju masa hadapan.
* Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah pula mengajak pengunjung menghasilkan produk daripada fabrik terpakai, menghubungkan nilai kelestarian dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.
* Madrasah Alsagoff Al-Arabiah membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali tulisan Jawi melalui pengalaman yang santai dan interaktif.
* Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah mempersembahkan dikir barat tiga bahasa – melambangkan keharmonian dalam kepelbagaian masyarakat Singapura.
Apa yang lebih bermakna ialah pengalaman pelajar itu sendiri: mereka belajar bercakap dengan orang yang tidak pernah mereka kenali; mereka belajar menerangkan budaya mereka kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama; mereka belajar mengurus kegiatan, bekerjasama sebagai satu pasukan, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan keadaan sebenar.
Kemahiran seperti ini tidak boleh dipelajari melalui buku teks. Ia hanya dapat dibentuk apabila pelajar diberi kepercayaan memikul tanggungjawab.
Inilah sebabnya mengapa platform nasional seperti Rumah Terbuka Istana Hari Kebangsaan (NDIOH) amat penting.
Di sini, pelajar madrasah tidak berhadapan dengan guru atau rakan yang sudah mengenali mereka, tetapi mereka berhadapan dengan pengunjung daripada semua lapisan – berbeza kaum, agama, usia dan latar belakang.
Tekanan itu nyata dan tanggungjawab itu terasa. Justeru, ia bukan sekadar peluang mempamerkan bakat. Ia ruang pembelajaran yang membentuk keyakinan diri, kepimpinan dan rasa tanggungjawab terhadap negara.
Sebagai masyarakat, kita kadangkala melihat madrasah hanya melalui lensa pendidikan agama. Hakikatnya, madrasah hari ini sedang melahirkan generasi yang bukan sahaja kukuh dalam nilai dan ilmu agama, malah mampu berinteraksi dengan yakin dalam masyarakat majmuk, menghargai kepelbagaian serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Pegangan agama dan kecintaan kepada negara bukan dua perkara bercanggah. Sebaliknya, saling menguatkan.
Seseorang yang memahami nilai amanah – bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan, akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugasnya.
Seseorang yang mengamalkan nilai ihsan – melakukan sesuatu dengan sepenuh hati, lebih jujur dalam kehidupan awam.
Seseorang yang berteraskan nilai hormat dan khidmat kepada masyarakat, terdorong menjadi warga bertanggungjawab.
Saya percaya ini yang sedang dibina di madrasah kita hari ini.
Apabila pelajar madrasah berdiri di Istana, mereka bukan sekadar mempersembahkan budaya atau mengendalikan kegiatan.
Mereka sebahagian Kisah Singapura – mewarisi sejarah negara dan terus menyumbang dalam membentuk masa depan.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, inilah keyakinan saya.
Lebih banyak peluang kepada anak-anak madrasah agar dapat terus menyertai platform nasional, bekerjasama dengan rakan pelbagai latar belakang dan menyumbang kepada masyarakat lebih luas.
Kerana akhirnya, pendidikan terbaik bukanlah sekadar mengajar seseorang supaya berjaya.
Ia mengajar seseorang mengalirkan manfaat kepada manusia sejagat.
Dan itulah yang saya saksikan pada diri pelajar madrasah di Istana baru-baru ini.
Mereka bukan hanya sekadar belajar.
Mereka sedang belajar untuk menyumbang – untuk mencorak masa depan.
Penulis Ketua, Perancangan & Dasar Pendidikan, MUIS dan Anggota Jawatankuasa Tetap Rumah Terbuka Istana sempena Hari Kebangsaan 2026.
