Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah memperkenalkan sebuah program pembangunan bakat baharu yang direka khusus bagi memperkukuhkan keupayaan kepimpinan golongan asatizah di Singapura.

Program Pembangunan Kepimpinan Agama (RLDP), yang dilancarkan pada 20 Julai, bakal menyokong pembangunan berterusan para asatizah melangkaui pendidikan rasmi.

Pelancaran program tersebut diumumkan oleh Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, semasa majlis penyampaian Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) dan Biasiswa MUIS (MS) tahunan di Pusat Pameran dan Konvensyen Expo.

Dalam ucapannya, Dr Nazirudin menekankan bahawa program RLDP itu akan melengkapi rantaian pembangunan kepimpinan agama di Singapura.

“Pelbagai inisiatif ini bertujuan memperkukuh rantaian pembangunan kepimpinan MUIS, bermula daripada menyokong lulusan madrasah yang berpotensi menerusi biasiswa sarjana muda, hinggalah kepada mempersiapkan asatizah berpengalaman untuk memikul tanggungjawab kepimpinan yang lebih besar,” kata beliau.

Beliau menambah program tersebut juga akan melengkapi biasiswa MUIS yang sedia ada dengan menyokong pembangunan berterusan asatizah melangkaui pendidikan rasmi.

Bagi tahun ini, MUIS menyampaikan anugerah Biasiswa Syed Isa Semait kepada Cik Nor’Aqilah Marsya Muhammad Syafie; Encik Ahmad Eimran Darwisy Mohammed Suhaimi dan Cik Sumayyah Jumadi.

Sementara itu, Cik Qurratu Aini Mohamadali dan Cik Hannah Yusra Rashid diiktirafkan dengan anugerah Biasiswa MUIS.

Biasiswa Syed Isa Semait diperkenalkan pada 2022 dan menyediakan bantuan kewangan sehingga $240,000 dengan ikatan selama enam tahun. Terdapat 11 penerima biasiswa ini sejak ia dilancarkan.

Pelajar Madrasah Aljunied Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa, Encik Ahmad Eimran Darwisy Mohammed Suhaimi, 19 tahun, menerima Biasiswa Syed Isa Semait daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan) pada 20 Julai.
Pelajar Madrasah Aljunied Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa, Encik Ahmad Eimran Darwisy Mohammed Suhaimi, 19 tahun, menerima Biasiswa Syed Isa Semait daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan) pada 20 Julai. - Foto BH oleh KHALID BABA

Biasiswa itu menyokong lulusan madrasah cemerlang dalam melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda, dengan matlamat untuk melahirkan bakal pemimpin bagi institusi Islam utama seperti MUIS, Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Biasiswa MUIS pula menyediakan laluan khusus bagi lulusan madrasah untuk memegang jawatan kepimpinan di institusi masyarakat seperti masjid dan madrasah.

Biasiswa ini menawarkan pembiayaan sehingga $120,000 dengan komitmen ikatan selama tiga tahun, sekali gus melengkapi anugerah SISS dalam melahirkan pemimpin merentasi pelbagai sektor yang lebih luas demi berkhidmat kepada masyarakat.

Pada 2025, seramai empat individu telah menerima anugerah MS.

Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, menekankan bahawa Program Pembangunan Kepimpinan Agama (RLDP), yang dilancarkan pada 20 Julai, akan melengkapi rantaian pembangunan kepimpinan agama di Singapura.
Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, menekankan bahawa Program Pembangunan Kepimpinan Agama (RLDP), yang dilancarkan pada 20 Julai, akan melengkapi rantaian pembangunan kepimpinan agama di Singapura. - Foto BH oleh KHALID BABA

Turut hadir semasa majlis itu ialah Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Acara tersebut juga merupakan acara pertama beliau selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam

Ini susulan pengumuman tentang peletakan jawatan politik oleh Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada hari yang sama.

Semasa ucapannya, Dr Nazirudin menegaskan bahawa tugas pemimpin agama akan menjadi semakin mencabar dalam dunia yang berkembang pesat.

Keadaan itu, katanya, memerlukan pemimpin agama terus mempersiapkan diri untuk menangani deretan cabaran baharu, seperti perkembangan kecerdasan buatan (AI) generatif.

Dr Nazirudin menegaskan bahawa insititut pengajian tinggi (IHL) dan universiti tetap memainkan peranan penting dalam pembangunan pemimpin agama.

Institusi yang bertindak dengan tangkas, lincah, serta bersedia untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sentiasa berubah akan kekal sebagai wadah yang amat penting bagi pembangunan diri dan transformasi, tambahnya.

Lantas, beliau berharap pelancaran RLDP, di samping penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) serta biasiswa yang sedia ada, akan saling melengkapi dalam memacu pembangunan pemimpin agama di Singapura secara menyeluruh demi mengemudi cabaran demikian.

Pelajar Madrasah Aljunied Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa, Cik Hannah Yusra Rashid, 19 tahun (tengah), menerima Biasiswa MUIS daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan) pada 20 Julai.
Pelajar Madrasah Aljunied Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa, Cik Hannah Yusra Rashid, 19 tahun (tengah), menerima Biasiswa MUIS daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan) pada 20 Julai. - Foto BH oleh KHALID BABA

RLDP merupakan program yang dibiayai sepenuhnya yang terbuka kepada asatizah tahap satu atau ‘Tier 1’ di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Asatizah tahap satu merujuk kepada guru agama yang memiliki ijazah dalam pengajian Islam yang fasih dalam bahasa Arab.

Dalam tempoh tiga semester sepanjang 12 bulan, para peserta RLDP akan berinteraksi dengan asatizah berpengalaman, penggubal dasar dan pemimpin masyarakat menerusi sesi dialog kepimpinan, sembang santai serta perbincangan.

Mereka juga akan meneliti kes mengenai isu-isu yang menjejaskan sektor keagamaan dan masyarakat Islam di Singapura, kata MUIS dalam satu kenyataan pada 20 Julai.