FAJAR NOR
Dua alumni Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) membuktikan bahawa asas kukuh dalam pendidikan Islam dan akademik mampu membuka jalan menuju kejayaan yang bermakna.
Daripada pemimpin pelajar kepada sarjana masa hadapan
Encik Solihin Zainal, lulusan MAI pada 2022, mengakui peranan MAI dalam memperluas pandangannya terhadap Islam dan isu sejagat.
“MAI menggabungkan subjek Islam dan akademik yang mempersiapkan saya untuk menghadapi isu dunia sebenar. Pendekatan ini amat berkesan, memandangkan saya daripada sekolah rendah sekular,” jelasnya.
Beliau melanjutkan pengajian prauniversiti di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan kini menuntut di Universiti Jordan.
Encik Solihin bercita-cita mendalami ilmu Fiqah Islam sebelum menyambung ke bidang Sains Politik, dengan hasrat memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Melangkah cemerlang ke dunia perubatan
Bagi Cik Mishel Maryam Nasir, lulusan MAI pada 2021, yang kini menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang Perubatan, pengalaman di MAI memberinya perangsang untuk mencapai kecemerlangan akademik.
“MAI ialah ruang yang selamat untuk belajar dan berkembang.
“Di MAI, saya dilatih menggunakan ilmu saya untuk berkhidmat dalam apa jua bidang pilihan, sama ada dalam bidang seni dan kemanusiaan ataupun sains,” kata Cik Mishel.
Naib Pengetua MAI, Cik Suharni Mohd Shariff, menambah:
“Pihak pemimpin MAI menghargai pengiktirafan lulusan MAI dan masyarakat terhadap usaha tenaga guru dan asatizah kami dalam mengimbangi kejayaan akademik dengan pembangunan sahsiah dan rohani.”
Penulis berpendapat bahawa perjalanan mereka mencerminkan misi MAI untuk melahirkan pelajar yang yakin, berdisiplin dan berperanan aktif dalam menyumbang kepada masyarakat.
SEKILAS:
* Permohonan kemasukan ke Menengah 1 (G3) 2026 akan berlangsung dari 1 hingga 25 November 2025 melalui laman web www.mai.edu.sg/admissions.
* Rumah Terbuka MAI akan diadakan pada Sabtu, 15 November 2025 (dari 9 pagi hingga 12 tengah hari). Anda dijemput untuk meneroka kampus, berinteraksi dengan pelajar dan guru, serta mengenali pendekatan pendidikan MAI yang menyatukan nilai Islam dan kecemerlangan akademik.
* Bagi menyokong misi MAI dalam melahirkan pemimpin masa hadapan, kami mengalu-alukan derma dan sumbangan anda yang boleh dibuat melalui UEN: T08GB0028LMAI.
Penulis merupakan Ketua Jabatan Penjagaan Pastoral dan Bimbingan Kerjaya, di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg