Keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ bagi Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) pada 2024 amat memberangsangkan. Pelajar MAI telah mencapai keputusan yang cemerlang dengan peningkatan yang ketara dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan itu.
Madrasah Al-Arabiah bersyukur kerana kohort 2024 ini menghasilkan sejumlah besar pelajar yang meraih lima atau lebih kepujian.
Buat julung kalinya, tiga pelajar Madrasah Al-Arabiah telah mendapat markah yang cemerlang lagi membanggakan dengan meraih sembilan kepujian setiap seorang.
Mereka ialah Yusra Tasnim Habiba, Mohamed Malick Rafah Naz dan Kazi Laaibah Wania, masing-masing berusia 17 tahun.
“Malah, mereka juga cemerlang dalam mata pelajaran ukhrawi dengan mendapat kepujian A1 dalam mata pelajaran Bahasa Arab dan purata nilai gred kumulatif (CGPA) sebanyak 3.97 daripada 4 mata dalam mata pelajaran Dirasat Deeniyyah (DD). Mata pelajaran Islam ini menerapkan khidmat kemasyarakatan.
Menurut Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, Cikgu Suharni Mohd Shariff, Madrasah Al-Arabiah amat berbesar hati dan bangga dengan pencapaian cemerlang pelajarnya.
“Alhamdulillah, kami di Madrasah Al-Arabiah sungguh teruja dengan kecemerlangan ketiga-tiga pelajar terbaik kami ini, dan pencapaian mereka ini sangat membanggakan. Ini membuktikan bahawa program-program di madrasah kami mampu menghasilkan pelajar yang berprestasi tinggi dalam mata pelajaran akademik dan ukhrawi seperti Bahasa Arab dan Pengetahuan Islam (Islamic Religious Knowledge).
“Ternyata keputusan ini membakar lagi semangat seluruh tenaga asatizah dan guru di Madrasah Al-Arabiah untuk menjalankan amanah kami dengan penuh dedikasi dan kesungguhan.
“Tidak dinafikan juga, kejayaan kami melakarkan program yang padu banyak bergantung pada sokongan masyarakat Muslim Singapura dari segi moral dan kewangan,” jelas Cikgu Suharni dengan positif.
Berkongsi kejayaannya, Yusra menyatakan bahawa Madrasah Al-Arabiah banyak memainkan peranan penting dalam membentuk dirinya agar terus mencapai kejayaan yang tinggi, demi masa depan yang cerah.
“Keinginan saya mahu membanggakan sekolah, dan ini juga merupakan sumber motivasi utama saya. Saya tidak mahu membazirkan segala usaha guru-guru saya. Mereka semua telah membimbing saya dengan baik sepanjang masa saya di madrasah ini,” jelas Yusra dengan gembira.
Bagi Rafah, beliau ingin menceburi bidang penyelidikan, khususnya dalam bidang perubatan dan biologi, dan berhasrat melanjutkan pengajiannya di politeknik setempat dan seterusnya ke Universiti Nasional Singapura (NUS).
“Saya berminat untuk meneruskan pembelajaran saya dalam ilmu penyelidikan, terutamanya yang berkaitan dengan bidang perubatan dan biologi. Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang sains hayat di politeknik dan kemudian di NUS, atau universiti luar negara, insya-Allah,” kata Rafah.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Kazi, berkata guru-guru di Madrasah Al-Arabiah kerap memberikan motivasi dan perangsang yang berterusan kepada pelajar-pelajar agar terus berusaha dan meraih kejayaan yang gemilang.
“Matlamat saya mahu mengikuti pengajian perubatan dan ini membuat mereka yang telah mendukung dan menyokong saya berasa bangga dengan kejayaan ini. Saya amat berterima kasih atas dorongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan saya.
“Pencapaian ini telah mengingatkan saya bahawa kerja keras, keazaman, dan tawakal adalah kunci kejayaan, dan saya teruja mahu terus berusaha ke arah impian saya, insya- Allah,” kata Kazi.
Menjelang tahun keenam di kampus baru Madrasah Al-Arabiah di Lorong 6 Toa Payoh ini, Mudirah, Cik Aisha Abdul Manaf, berharap agar masyarakat terus menyokong madrasah demi melahirkan pelajar cemerlang yang berwibawa dan membawa kebahagiaan dan rahmat kepada semua.
“Sumbangan ikhlas daripada orang ramai dapat membantu pihak madrasah dalam mengurangkan kos operasi kami dan membiayai program pelajar di sini,” tambah Cik Aisha.
SEKILAS:
Anda boleh menyokong Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dengan cara:
1. Melalui derma (PayNow, pemindahan bank, derma perbankan Internet berulang atau GIRO) dan dengan menyokong program pengumpulan dana madrasah.
* Untuk Ramadan yang akan datang, pihak madrasah menjual kurma Ajwa Jumbo (bersaiz besar) seberat 500 gram berharga $23, 1 kilogram berharga $45 atau 5 kilogram berharga $180.
* Orang ramai boleh membuat tempahan melalui panggilan ke talian 6744 -4749, WhatsApp ke talian 8474-700 atau melalui laman https://tinyurl.com/Maiajwa2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg