Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari pentas teater ke pentas NDP: Jejak Elijah
Dari pentas teater ke pentas NDP: Jejak Elijah
Dari pentas teater ke pentas NDP: Jejak Elijah
Bagi Elijah Hendriawan, 11 tahun, murid Sekolah Rendah Cantonment, penyertaannya dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) merupakan peluang untuk mewakili Singapura di hadapan seluruh rakyat.
Dalam penampilan sulungnya sebagai pelakon dalam mikrodrama NDP 2026, Heartbeats, Elijah membawakan watak Zach, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang berasa cemas untuk membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.
Melalui watak itu, Elijah berkata dia belajar agar tidak membiarkan rasa takut menguasai diri, sebaliknya terus tabah dan berusaha walaupun berdepan cabaran.
Selain membintangi mikrodrama tersebut, Elijah ialah seorang anggota dalam The People’s Choir, di mana dia menyanyikan dua buah lagu berjudul Sparkle dan Giants.
Lebih bermakna, dia juga diberi penghormatan untuk memulakan nyanyian lagu kebangsaan, Majulah Singapura, dalam segmen penutup persembahan NDP.
Bagi Elijah, peluang itu merupakan satu pengiktirafan besar kerana dia tidak menyangka akan dipilih daripada ramai peserta lain.
“Saya berasa amat berbesar hati kerana mereka boleh memilih ramai orang, tetapi mereka memilih saya untuk memulakan lagu kebangsaan.
“Rasa bangga dan terharu pada masa yang sama,” kata Elijah.
Elijah menjelaskan bahawa dia mula tertarik kepada dunia persembahan selepas menyertai teater Snow White and the Seven Dwarfs bersama Wild Rice.
Walaupun ini merupakan pengalaman lakonan pertamanya dalam produksi NDP, dia tidak asing dengan dunia pentas kerana pernah terlibat dalam aktiviti teater dan tarian hip hop sejak kecil.
Dalam persediaan menghadapi persembahan besar ini, Elijah banyak meluangkan masa untuk berlatih menyanyi bagi memastikan dia dapat memberikan persembahan yang terbaik.
Dia juga mendapatkan bimbingan daripada tenaga pengajar dan konduktor koir yang dikenalinya sebelum ini bagi memperkukuhkan lagi kemahiran nyanyiannya.
Selain itu, sokongan yang diberikan oleh guru, rakan-rakan serta kru produksi turut banyak membantunya menyesuaikan diri sepanjang proses penggambaran mikrodrama dan latihan persembahan, sekali gus memberikan dorongan untuk terus berusaha dan meningkatkan keyakinannya.
Menurut Elijah, pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan berlaku pada hari pertama sesi pembacaan skrip apabila dia berasa gementar melihat pelakon lain yang lebih berpengalaman dan lebih tua daripadanya.
Namun begitu, perasaan gementar itu beransur hilang apabila dia mula bergaul dengan mereka dan berpeluang mempelajari pelbagai perkara sepanjang proses penggambaran.
“Mula takut juga, tapi lama-lama dah biasa, rasa selesa dengan mereka di sekeliling saya,” tambahnya.
Bagi Elijah, NDP membawa makna yang sangat besar kerana ia memberinya peluang untuk mewakili Singapura di hadapan seluruh negara.
Dia berharap penonton dapat mengambil iktibar daripada pengalamannya, iaitu supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa berani mengejar impian walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Sudah pasti ini pengalaman amat manis yang akan saya kenang buat selamanya,” tambahnya.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026