Topik diikuti
Pergi ke BHkuNDP 2026: Laluan terbang lalu bendera S’pura kali pertama rentas Kallang Basin
NDP 2026: Laluan terbang lalu bendera S’pura kali pertama rentas Kallang Basin
Helikopter Chinook terbang lebih tinggi supaya dilihat ramai dari Stadium Negara
NDP 2026: Laluan terbang lalu bendera S’pura kali pertama rentas Kallang Basin
Buat julung-julung kalinya, bendera negara akan diterbangkan helikopter merentasi Kallang Basin dalam acara terbang lalu di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026.
Helikopter Chinook CH-47 akan mengangkat bendera saiz ‘gergasi’ itu – dengan diiringi dua helikopter Apache AH-64D – dan memasuki kawasan Kallang Basin selepas berlepas dari Pulau Sudong di selatan Singapura.
Helikopter dijangka terbang ke Jeti Marina East dan Sekolah Menengah Dunman di Tampines sebelum memasuki Kallang Basin.
Pesawat itu akan terbang di altitud setinggi 290 meter – lebih tinggi daripada biasa – supaya kebanyakan penonton di Stadium Negara berpeluang melihat bendera tersebut.
Pada NDP2025, helikopter yang mengangkat bendera negara terbang pada altitud setinggi 243 meter di Padang.
Ini sekali gus membawa pengalaman NDP lebih dekat kepada penduduk di Kallang dan orang ramai yang dijangka berhimpun di kawasan tersebut.
Kali terakhir NDP diadakan di Stadium Negara adalah pada 2016, apabila acara terbang lalu diadakan sepanjang Pantai East Coast ke Bendungan Marina.
Juruterbang Chinook CH-47 Leftenan Kolonel (LTC) Cai Weijun, yang juga Ketua Juruterbang bagi pertunjukan udara NDP 2026, berkata laluan baru itu menimbulkan cabaran tersendiri kerana perlu terbang antara bangunan di sekitar Kallang Basin.
“Terdapat ketinggian minimum yang perlu kami kekalkan supaya bendera negara dapat dilihat dengan jelas. Jika kami terbang terlalu rendah, sebahagian penonton di stadium tidak akan dapat melihat kami. Oleh itu, tahun ini kami perlu terbang sedikit lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Dua cabaran utama tahun ini ialah bilangan pusingan kiri yang perlu dilakukan sambil menguruskan keadaan angin ketika membuat belokan, mengekalkan formasi rapat serta memastikan ketepatan masa supaya kami tiba di ruang sasaran pada waktu yang ditetapkan.
“Siri pusingan kiri ini memberikan kami masa yang singkat untuk menstabilkan pesawat sebelum melintasi pusat sasaran,” LTC Cai, yang juga merupakan Pegawai Komand (CO) Skuadron 127.
Justeru, lebih banyak sesi latihan diperlukan bagi menyesuaikan diri dengan tambahan pusingan kiri yang perlu dilakukan helikopter Chinook CH-47, yang akan membawa bendera Singapura berukuran 20 meter kali 30 meter dan seberat lebih 200 kilogram semasa NDP serta sesi pratonton.
Helikopter CH-47 itu diiringi dua helikopter AH-64 dalam formasi ‘Victory’, yang berbentuk huruf ‘V’.
Dua lagi helikopter Chinook yang mengangkat bendera tambahan dan satu lagi helikopter Apache melengkapkan kumpulan pesawat bagi acara terbang lalu ini.
Memberi sokongan kepada kumpulan ini ialah 90 anggota pasukan pembawa bendera yang dibahagikan di Pulau Sudong, Pangkalan Udara Paya Lebar dan Pangkalan Udara Sembawang.
Mereka terdiri daripada askar sepenuh masa, anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), askar kerahan (NSmen) dan buat kali pertamanya, Kor Sukarelawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Mereka telah memulakan latihan mingguan sejak Jun dan dijadual berkhidmat di NDP pada 9 Ogos.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026
