Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah) merancang untuk mengembangkan projek tanaman hidroponik dan pemanggangan kopi menjadi usaha niaga yang menjana pendapatan menjelang 2027, bagi membuka laluan kepada peluang pekerjaan untuk penghuni yang sedang menjalani pemulihan daripada ketagihan dadah.

Inisiatif yang bakal dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Nard itu bertujuan melengkapkan penghuni dengan kemahiran praktikal dan pengalaman bekerja, sekali gus membantu mereka membina kehidupan lebih stabil selepas meninggalkan rumah peralihan tersebut.

Menurut Naib Presiden II Jamiyah Singapura merangkap Pengerusi Darul Islah, Encik Mohamed Sirajudin Mohamed Salman, projek itu berpotensi menyediakan latihan dalam bidang pertanian bandar, penyelenggaraan tanaman, penuaian, pembungkusan, penyediaan kopi, jualan runcit dan logistik.

“Cadangan projek pertanian bandar ini menggabungkan terapi hortikultur dengan kegiatan hidroponik, akuaponik, penanaman cendawan dan aktiviti berkaitan kopi, khusus untuk membangunkan kemahiran yang relevan dengan industri yang sedang berkembang pesat,” jelasnya.

Perancangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Darul Islah memperkukuh pendekatan pemulihannya sempena ulang tahun ke-30, yang diraikan menerusi acara rumah terbuka di premisnya di Pasir Panjang Road pada 31 Oktober.

Acara itu turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.

Menyentuh lagi tentang perkembangan projek tanaman hidroponik dan pemanggangan kopi tersebut, Encik Sirajudin berkata:

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan kegiatan pemulihan sebagai wadah membina kemahiran praktikal, memperoleh pendedahan kepada dunia pekerjaan dan, jika berdaya maju, membuka peluang pekerjaan atau keusahawanan selepas penghuni meninggalkan rumah peralihan.”

Menurutnya, pendekatan pemulihan Darul Islah telah mengalami perubahan ketara sejak penubuhannya pada 1996, daripada memberi tumpuan kepada persekitaran berstruktur dan pengawasan kepada pembangunan kemahiran, kesejahteraan emosi dan sokongan berterusan.

Encik Sirajudin berkata pemulihan bukan sekadar memastikan penghuni bebas daripada dadah, malah merangkumi pengurusan kes yang berstruktur, pembangunan kemahiran dan kerjaya, celik digital, kesejahteraan psikososial dan emosi, penglibatan keluarga dan masyarakat, bimbingan rakan sebaya, serta sokongan berterusan selepas penghuni meninggalkan rumah peralihan.

“Pendekatan kami telah beralih daripada sekadar menyediakan persekitaran berstruktur dan pengawasan kepada usaha membina keupayaan, hubungan dan rangkaian sokongan yang diperlukan penghuni untuk mengekalkan pemulihan mereka apabila kembali ke pangkuan masyarakat,” terangnya.

Cabaran yang dihadapi bekas pesalah dadah kini semakin rumit, menurut Encik Sirajudin, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan masyarakat yang semakin bergantung pada teknologi.

Selain mengatasi ketagihan dan membina semula kepercayaan keluarga, beliau berkata mereka juga perlu menguasai kemahiran digital, pengurusan kewangan, penyesuaian di tempat kerja serta kawalan emosi.

“Oleh itu, Darul Islah kini turut menggabungkan latihan kemahiran digital dan kebolehpasaran dengan khidmat kaunseling serta program pemulihan,” katanya.

Selain pembangunan kemahiran, Darul Islah turut memperluas penggunaan terapi kreatif, termasuk seni Pastel Nagomi, terapi pergerakan tarian, dan seni tanah liat, bagi membantu penghuni mengurus tekanan, meluahkan emosi serta membina keyakinan diri.

Menurut kenyataan Jamiyah, tahap tekanan yang dilaporkan sendiri oleh peserta program seni Pastel Nagomi menurun secara purata daripada 7.2 kepada 4.1 pada skala 10 mata, manakala 88 peratus peserta menyatakan mereka berasa lebih yakin.

Bagi program seni tanah liat pula, tahap tekanan purata yang dilaporkan peserta menurun daripada 8.2 kepada 5.0.

Encik Sirajudin menjelaskan bahawa kegiatan tersebut bukan sekadar bertujuan mengurangkan tekanan, malah membantu penghuni membina kesedaran diri, kesabaran, disiplin, dan kemahiran berkomunikasi.

Menurut kenyataan media yang sama, jumlah program yang dikendalikan Darul Islah meningkat lebih dua kali ganda, daripada 316 kepada 714 dalam tempoh dua tahun lalu.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kerjasama dengan pelbagai pihak bertambah daripada 40 kepada 52, manakala lebih 640 kes telah dikendalikan antara 2022 dengan April 2026.

Kenyataan media itu turut menyatakan Darul Islah kini menerima sekurang-kurangnya 120 penghuni baharu setiap tahun melalui rujukan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Setakat ini, seramai 35 alumni telah dilatih sebagai pembimbing rakan sebaya dan fasilitator, dengan tempoh bimbingan yang boleh berlanjutan antara dua hingga lima tahun.

Di samping program pemulihan di rumah peralihan, Encik Sirajudin berkata Darul Islah turut memperkukuh sokongan selepas penghuni kembali ke pangkuan masyarakat menerusi lawatan ke rumah, penilaian keperluan keluarga, program susulan dan bimbingan rakan sebaya.

Menurutnya, pengalaman peribadi bekas penghuni membolehkan mereka memahami cabaran yang dihadapi individu yang masih menjalani pemulihan, sekali gus memberikan dorongan dan sokongan yang lebih dekat dengan pengalaman mereka.

Beliau turut menekankan bahawa stigma masyarakat kekal sebagai antara hambatan kepada bekas pesalah dadah, khususnya dalam mendapatkan pekerjaan dan membina semula hubungan sosial.

“Kesalahan lampau seseorang tidak seharusnya menjadi identiti kekalnya.

“Proses reintegrasi akan berjaya apabila individu itu berusaha untuk berubah dan masyarakat bersedia memberi peluang kedua yang sebenar,” ujarnya.

Sempena sambutan ulang tahun ke-30 itu, Darul Islah turut mempamerkan 1,996 karya seni Pastel Nagomi yang dihasilkan penghuni, kakitangan, rakan kerjasama dan orang awam.

Pameran tersebut mendapat pengiktirafan Singapore Book of Records bagi jumlah karya seni Nagomi terbanyak yang dipamerkan, dengan angka 1,996 melambangkan tahun penubuhan Darul Islah.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti