Walaupun tinggal sendirian di sebuah flat sewa sebilik, Encik Campbell Royston James, berpeluang merasakan sambutan Krismas lebih meriah pada 25 Disember ini.
Ini memandangkan rumah pesara berusia 65 tahun itu sudah dibersihkan penghuni dan bekas penghuni Rumah Peralihan Darul Islah, kendalian Jamiyah Singapura, dari 4 hingga 16 Disember.
Antara lain, para relawan itu mengecat seluruh rumah Encik James, seorang Serani beragama Kristian, bagi memberinya suasana lebih positif. Peralatan elektrik, dapur dan tandas pula digantikan dengan yang baru.
Ia sebahagian kegiatan amal Jamiyah yang dikenali sebagai Project Happiness. Projek itu dijayakan oleh sukarelawan bagi memberi bantuan kepada warga perpendapatan rendah, khususnya semasa musim perayaan.
Keadaan Encik James yang hidup sendirian memaksa beliau menjadi seorang yang berdikari.
“Memandangkan keluarga saya sudah tiada, saya terpaksa berikhtiar untuk hidup bersendirian,” kata beliau, yang ibu bapa, adik lelaki serta kakaknya telah meninggal dunia.
Kesihatan Encik James juga sudah mula merosot. Beliau mengalami darah tinggi, kolesterol tinggi dan sakit otot.
“Apabila pihak Jamiyah datang dan memasang pokok Krismas, saya rasa gembira dan teringat kenangan manis menyambut Krismas bersama keluarga saya,” ujarnya.
Pada 9 Disember, majlis makan tengah hari khas untuk Encik James turut diadakan dengan tajaan Restoran Asap & Co.
“Kami selalu mengalu-alukan kerja kemasyarakatan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat. Apa yang diusahakan pihaj Jamiyah dan Darul Islah wajar diberi penghargaan kerana dapat dilihat kerja keras dan sumbangan mereka kepada masyarakat,” kata pemilik restoran Asap & Co, Encik Isrudy Shaik.
Projek ini bukan sahaja memanfaatkan Encik James, tetapi sekali gus merupakan sesuatu pertukaran budaya antara Jamiyah dan Persatuan Serani (Eurasian Association).
Naib Presiden Ketiga Jamiyah dan Ketua Darul Islah, Encik Siraj Salman, berkata: “Kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat, tidak kira agama atau bangsa. Kami memberi bantuan tanpa memilih siapa untuk dibantu, dan menyumbang kepada masyarakat.”
Project Happiness kini sudah mengubah suai 21 rumah sejak dimulakan pada 2019.
Sukarelawan beragama Islam sudi menolong Encik James, seorang warga Serani beragama Kristian.
“Melalui Projek Happiness, kami ingin berkongsi kebahagiaan kepada semua orang semasa musim perayaan, dengan kerjasama rakan kongsi dan sukarelawan kami,” kata pegawai sokongan korporat Darul Islah, Syed Isa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg