Topik diikuti
Pergi ke BHkuData, AI jadi ‘resipi’ niaga F&B berdaya saing
Teknologi bantu sokong pertumbuhan niaga, keperluan pekerja dan nilai prestasi jualan
Data, AI jadi ‘resipi’ niaga F&B berdaya saing
Setiap hidangan rendang daging atau ayam gulai yang terjual di Rumah Makan Minang bukan sekadar menjana pendapatan, malah menghasilkan data yang membantu perniagaan nasi padang warisan itu memahami cita rasa pelanggan dan merancang peluasan cawangannya.
Menerusi sistem jualan digital, pengusaha itu dapat mengenal pasti hidangan paling laris, corak pembelian pelanggan serta prestasi setiap cawangan.
Ini sekali gus membolehkan keputusan perniagaan dibuat berdasarkan maklumat yang lebih tepat.
Pendekatan itu mencerminkan cara pengusaha makanan dan minuman (F&B) di Singapura semakin memanfaatkan teknologi, analisis data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengawal kos serta menyokong pertumbuhan perniagaan.
Dalam keadaan sewa, kos tenaga kerja dan persaingan yang semakin meningkat, teknologi bukan lagi sekadar memudahkan pembayaran, malah membantu pengusaha menentukan menu, keperluan pekerja dan sama ada sesebuah cawangan wajar dikekalkan atau ditutup.
Perniagaan warisan manfaatkan teknologi
Bagi Rumah Makan Minang, yang mempunyai empat cawangan dan sebuah dapur pusat, teknologi membantu memastikan mutu makanan dan operasi kekal konsisten.
Pengurus Kawasan (Operasi), Cef Muhammad Asyraf Ramli, berkata sistem jualan digital Edgeworks dan EPOS membolehkan pengurusan memantau prestasi cawangan secara langsung menerusi telefon bimbit.
“Dahulu, kami perlu menunggu sehingga akhir bulan untuk mengetahui cawangan mana yang mengalami kerugian.
“Sekarang, kami boleh melihat prestasi untung rugi setiap minggu dan mengambil tindakan dengan lebih cepat,” katanya.
Restoran itu turut menggunakan Infotech HR untuk mengurus jadual dan kehadiran pekerja, manakala Zeemart dan Nomni membantu memantau pembelian bahan mentah.
“Di dapur, ketuhar automatik Rational (Rational combi oven) yang diprogramkan dengan resipi nasi padang membantu memastikan hidangan seperti rendang mempunyai mutu konsisten, tanpa mengira pekerja yang menyediakannya,” tambahnya.
Cef Asyraf juga menggunakan AI Claude bagi menyediakan laporan operasi dan merangka prosedur operasi standard (SOP).
Data jualan turut membantu syarikat merancang pembukaan cawangan di Woodlands pada akhir 2026, berdasarkan corak pembelian pelanggan di estet kejiranan seperti Tampines dan Jurong.
“Media sosial memberitahu kita apa yang sedang menjadi trend, tetapi data daripada sistem jualan menunjukkan keadaan sebenar.
“Ada hidangan yang mendapat pujian dalam talian tetapi pelanggan tidak membelinya berulang kali. Sebaliknya, rendang daging dan ayam gulai mungkin tidak banyak diperkatakan, tetapi habis dijual setiap hari,” jelasnya.
Namun, Pengarah Rumah Makan Minang, yang juga generasi ketiga keluarga pengasasnya, Encik Muhamad Hazmi Mohamad Zin, menegaskan teknologi tidak menggantikan pertimbangan manusia.
“Data membantu kami menyaring pilihan, tetapi keputusan akhir tetap dibuat oleh keluarga dan pihak pengurusan.
“Kami masih turun padang dan menggunakan pengalaman serta naluri dalam membuat keputusan,” jelasnya kepada Berita Minggu (BM).
Ketua Operasi Teknologi Maklumat restoran itu, Encik Nazri Mohd Zin, yang juga generasi ketiga keluarga berkenaan, berkata cabaran utama pengusaha kecil bukan semestinya kos teknologi, tetapi masa untuk melatih pekerja.
“Sistem jualan digital kini hanya memerlukan iPad dan langganan bulanan (untuk sofwe yang digunakan).
“Yang benar-benar memerlukan pelaburan ialah masa untuk melatih pekerja dan memastikan penggunaan cara lama dihentikan. Di situlah kebanyakan pengusaha kecil berputus asa,” jelasnya.
Menurutnya, manfaat teknologi hanya dapat diraih apabila data digunakan untuk memperbaiki operasi.
“Jika kita dapat mengesan penyediaan makanan berlebihan atau membetulkan jadual pekerja lebih awal, penjimatan dalam seminggu sahaja boleh menampung kos langganan setahun,” katanya.
AI bantu susun semula operasi, tingkat keuntungan
Keperluan mengawal kos turut dirasai The Black Hole Group, yang mengendalikan jenama seperti Tipo, The Mad Sailors, Small Batch dan Éla.
Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Komersialnya, Encik Calvin Seah, berkata kos operasi meningkat ketara sejak syarikat itu mula beroperasi lebih sedekad lalu.
“Dahulu, pekerja sambilan dibayar sekitar $6.50 sejam. Sekarang, gaji mereka mencecah $12 hingga $14 sejam.
“Sewa meningkat, kos pekerja meningkat, bil utiliti juga meningkat. Tetapi jualan tidak meningkat pada kadar yang sama,” katanya.
Keadaan itu mendorong kumpulan tersebut mengurangkan rangkaiannya daripada 13 kepada sembilan cawangan untuk menumpukan sumber kepada lokasi lebih menguntungkan.
Menurut Encik Seah, sesebuah cawangan mungkin mempunyai pelanggan setia dan jualan yang baik, tetapi masih mengalami kerugian apabila semua kos diambil kira.
Kumpulan itu kini menggunakan sistem Nommi yang menghubungkan pembelian bekalan, jualan dan maklumat pelanggan bagi memantau kos bahan serta pembaziran.
AI seperti Claude dan ChatGPT pula membantu menganalisis data, menjana idea menu dan mengurus tugas pentadbiran.
Pada masa sama, pengasas kumpulan itu terlibat secara langsung dalam operasi harian, termasuk meneliti prestasi cawangan, membuat keputusan mengenai menu dan hala tuju jenama itu.
“Dahulu, kami mempunyai terlalu banyak lapisan pengurusan. Menu baharu boleh mengambil masa dua bulan untuk diperkenalkan.
“Sekarang, dengan bantuan data, teknologi dan penglibatan langsung pengasas, kami boleh melakukannya dalam kira-kira dua minggu,” katanya.
Ketika memperkenalkan semula kafe The Mad Sailors, kumpulan itu turut mengecilkan pilihan menu supaya dapur boleh dikendalikan dua pekerja berbanding empat sebelum ini.
“Dahulu, kami memerlukan empat pekerja semasa waktu sibuk. Tetapi apabila restoran tidak sibuk, kos empat pekerja itu tetap perlu ditanggung.
“Dengan menu dan proses penyediaan lebih ringkas, dua pekerja boleh mengendalikan dapur sama ada pada hari sibuk atau sebaliknya,” jelasnya, yang juga membantu dalam hal mutu makanan.
Data pelanggan turut membantu Tipo menyesuaikan menu mengikut lokasi, termasuk memperkenalkan hidangan untuk dikongsi dan hidangan dengan suntukan makanan Asia seperti pesto laksa di Great World City bagi menarik keluarga.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abdul Malik Hassan, berkata penggunaan teknologi dalam kalangan pengusaha F&B Melayu/Islam semakin penting, namun tahap penerimaannya berbeza mengikut saiz, sumber dan kesediaan setiap perniagaan.
Menurut Encik Abdul Malik, pengusaha kecil mungkin menghadapi kekangan kewangan, tenaga kerja dan kepakaran teknologi, namun mereka tidak semestinya perlu membuat pelaburan besar untuk bermula.
“Perniagaan boleh bermula dengan mengenal pasti satu masalah operasi, mencuba penyelesaian yang mampu dibiayai dan menilai sama ada ia meningkatkan produktiviti atau prestasi sebelum memperluaskan penggunaannya,” katanya.
DPPMS kini bekerjasama dengan SGTech dan rakan industri bagi membantu peniaga memahami penggunaan AI, selain pernah menganjurkan bengkel bersama Omnitron.
Dewan itu juga merancang melancarkan Digital Transformation Office Plus (DTO+) pada 2027 bagi membantu perniagaan mendapatkan khidmat nasihat dan mengenal pasti penyedia teknologi yang sesuai.
Pengusaha kecil terbuka gunakan AI
Bagi pengasas Warung Indonesia, Encik Kamarudin Ton, pengalaman dalam industri F&B di Indonesia membantu beliau membuat keputusan sejak memulakan perniagaan di Singapura.
Beliau membuka gerai ayam penyet pertama di sebuah kedai kopi di Toa Payoh pada Oktober 2024 sebelum berkembang ke Pasir Panjang dan Bedok.
Namun, cawangan Bedok ditutup akibat jumlah pelanggan yang tidak konsisten, mendorong beliau memilih lokasi lebih strategik di Telok Ayer.
Beliau turut memperkenalkan Warung Italia pada September 2026, yang menawarkan hidangan pasta dan salad bowl pada harga berpatutan bagi pekerja di kawasan pusat bandar (CBD).
“Banyak keputusan saya dibuat berdasarkan naluri dan pengalaman untuk melihat lokasi yang mempunyai potensi.
“Di Bedok, jumlah pelanggan tidak konsisten. Tetapi di Telok Ayer, walaupun sewa lebih tinggi, jumlah pelanggan terutama pada waktu makan tengah hari lebih memberangsangkan,” katanya.
Encik Kamarudin menggunakan data dari sistem jualan untuk meneliti prestasi, menetapkan harga dan merancang peluasan.
Beliau turut menetapkan had sewa sekitar bagi lokasi baharu serta mengawal keperluan pekerja melalui aturan kerja lebih teratur.
Walaupun belum menggunakan AI secara meluas, beliau sedang meneroka penggunaannya bagi pemasaran digital dan penghasilan video.
“Sebagai perniagaan kecil, kami melakukan perubahan secara berperingkat. Saya lebih mengutamakan mutu produk sebelum memperbaiki pembungkusan dan penjenamaan,” katanya.
Pemerintah galak penggunaan AI
Usaha pengusaha tersebut selaras dengan dorongan pemerintah untuk memperluas penggunaan AI dalam sektor F&B.
Tinjauan UOB pada Jun 2026 mendapati enam daripada 10 pengusaha menggunakan kebanyakan sistem digital secara berasingan, manakala sekitar satu daripada tiga belum menggunakan AI.
Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan UOB melancarkan Program AI dan Integrasi Digital F&B pada Julai 2026, yang menyasarkan sekurang-kurangnya 200 perniagaan dalam tempoh dua tahun.
Program tersebut menawarkan khidmat nasihat dan bantuan menggunakan sistem digital yang saling berhubung, dengan sokongan pembiayaan hingga 50 peratus bagi penyelesaian dan perkhidmatan yang layak.
Menteri Negara Kanan (Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, ketika mengumumkan program itu di Restaurant Asia 2026 pada Julai, berkata AI boleh membantu pengusaha meramalkan permintaan, mengurus pekerja dan mengurangkan tugas berulang.
“AI bukan hanya untuk syarikat besar atau syarikat teknologi, malah untuk setiap pemilik dan pengendali perniagaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keadaan perniagaan kekal mencabar, dengan rantaian bekalan berdepan ketidaktentuan dan persaingan mendapatkan pelanggan semakin sengit.
“Cara kita menangani tekanan ini akan menentukan bab seterusnya dalam perkembangan sektor F&B Singapura,” nasihatnya.
Menurutnya, perniagaan yang memahami data, meningkatkan kemahiran pekerja dan memperbaiki proses kerja akan lebih bersedia menghadapi cabaran tersebut.