Topik diikuti
Pergi ke BHkuDavid Neo: Mansuh PSLE, DSA bukan penyelesaian tekanan di sekolah
David Neo: Mansuh PSLE, DSA bukan penyelesaian tekanan di sekolah
Matlamat pemerintah bukan untuk menghapuskan segala persaingan, tekanan atau kekecewaan dalam pendidikan kerana perkara itu tidak realistik dan tidak mempersiapkan anak-anak dengan baik untuk menghadapi kehidupan.
Sebaliknya, pemerintah perlu memastikan persaingan tidak menjadi begitu sengit sehingga mengetepikan usaha memupuk sifat yang diperlukan anak-anak untuk berkembang dan berjaya dalam kehidupan, demikian ditekankan Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, pada 29 September.
“Dalam bidang pendidikan, kami mahu membina sistem yang memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk kurangkan tekanan dalam pencapaian dan lebih mengutamakan perkembangan anak secara menyeluruh, dengan mengetahui bahawa pendekatan ini akan mempersiapkan anak mereka untuk mencapai kejayaan dalam jangka panjang...
“Oleh itu, matlamat kita bukan untuk menghapuskan segala persaingan, tekanan atau kekecewaan dalam pendidikan. Perkara itu tidak realistik dan tidak akan mempersiapkan anak kita dengan baik untuk menghadapi kehidupan...
“Matlamat kita adalah untuk memastikan persaingan tidak menjadi begitu menyeluruh sehingga mengetepikan usaha memupuk sifat-sifat yang diperlukan anak kita untuk berkembang maju,” ujar Encik Neo yang juga Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
Beliau menambah bahawa tugas pemerintah adalah untuk memberi ibu bapa keyakinan lebih mendalam untuk mengutamakan perkembangan menyeluruh anak-anak, dengan menangani ciri-ciri sistem pendidikan yang boleh menyebabkan setiap pilihan dilihat sebagai sesuatu yang berisiko tinggi.
Ketika berucap di Forum Institut Pengajian Dasar (IPS) mengenai Ibu Bapa dan Persekolahan di Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) Kent Ridge Guild House, Encik Neo berkata fasa seterusnya bagi Perbincangan Pendidikan Kementerian Pendidikan (MOE) akan memberi tumpuan kepada beberapa topik.
Antara lain, fokus akan diberikan kepada Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA), serta persoalan lebih mendalam yang mendasari kededua skim itu – bagaimana untuk memperkukuh sekolah dalam sistem pendidikan.
Perbincangan Pendidikan atau ‘Education Conversations’, yang bermula pada April lalu, merupakan siri perbincangan bersama warga Singapura oleh MOE sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk menyemak semula sistem pendidikan dan mengekang perlumbaan mengejar keputusan.
Di samping itu, Encik Neo turut merujuk kepada beberapa dapatan daripada tinjauan IPS, termasuk saranan supaya PSLE dan DSA diubah suai dan, atau, dimansuhkan.
IPS mengeluarkan satu kertas kajian pada 25 September yang meneliti sikap ibu bapa di Singapura terhadap pendidikan anak mereka merentasi empat bidang luas: sistem pendidikan, pilihan persekolahan, tekanan pendidikan serta tuisyen/pengayaan dan dasar pendidikan.
Encik Neo juga berkata lebih lapan daripada 10 ibu bapa melihat PSLE sebagai satu pencapaian penting yang mengajar anak-anak untuk menetapkan matlamat dan berusaha gigih.
Peratusan yang hampir sama turut menganggap peperiksaan nasional sebagai satu penilaian yang adil serta persediaan untuk ke sekolah menengah.
Namun, sebahagian besar tekanan berpunca daripada penggunaan keputusan PSLE bagi penempatan ke sekolah menengah.
Lantas, antara lain, ibu bapa menyarankan agar PSLE dimansuhkan, ditangguhkan, dijadikan tidak wajib, atau mengubah julat markah.
Encik Neo akur bahawa setiap saranan mengemukakan kebimbangan yang wajar, namun, setiap satu daripadanya juga boleh menimbulkan tekanan baharu.
Pendapat serupa bagi skim DSA juga didedahkan IPS, yang mendapati bahawa sebilangan ibu bapa berpendapat skim itu perlu dikurangkan atau dimansuhkan, atau diperluaskan supaya pelajar dapat dinilai secara lebih menyeluruh, atau ditumpukan kepada pengiktirafan kebolehan dan minat, berbanding kemahiran yang boleh dilatih secara intensif.
“Jika kita memansuhkannya (DSA) secara keseluruhan, tekanan mungkin kembali semula kepada PSLE, dan menghantar isyarat salah bahawa hanya pencapaian akademik yang penting.
“Jadi, matlamatnya bukan sekadar menambahkan atau mengurangkan DSA. Ia adalah untuk menghubungkan semula pengiktirafan bakat dengan pembangunan yang tulen,” ujar Encik Neo.
Beliau menambah, ibu bapa mesti mendapat keyakinan bahawa pengajaran yang kukuh, peluang pembangunan yang kaya dan laluan yang boleh dipercayai menuju kejayaan, wujud di seluruh sistem pendidikan dan bukan hanya di beberapa buah sekolah sahaja.