Hampir sembilan dalam 10 ibu bapa di Singapura mengkritik kelas tuisyen dan pengayaan yang berlebihan, namun tujuh dalam 10 ibu bapa masih membelanjakan lebih banyak wang untuk kededua kelas itu.

Hampir separuh daripada ibu bapa yang tetap mengeluarkan belanja itu melaporkan berasa tertekan kerana ibu bapa lain turut berbuat sedemikian, menurut dapatan kertas kajian Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 25 September.

Apabila diselaraskan dengan kadar inflasi, perbelanjaan bulanan median bagi kelas tuisyen meningkat daripada kira-kira $242 pada 2016 kepada $500 pada 2026.

Perbelanjaan bulanan median bagi kelas pengayaan pula meningkat daripada kira-kira $48 pada 2016 kepada $260 pada 2026 selepas penyelarasan inflasi.

Tinjauan itu juga mendapati peningkatan dalam tekanan ibu bapa serta kecenderungan memilih sekolah yang mempunyai kedudukan akademik yang kukuh, walaupun lebih ramai ibu bapa di Singapura kini menerima pendekatan holistik terhadap pendidikan anak-anak mereka.

Kertas kajian tersebut meneliti sikap ibu bapa di Singapura terhadap pendidikan anak-anak mereka merentasi empat bidang luas: sistem pendidikan, pilihan persekolahan, tekanan pendidikan serta tuisyen/pengayaan dan dasar pendidikan.

Tinjauan telah dijalankan dari Mei 2026 hingga Ogos 2026 dan melibatkan 1,500 ibu bapa yang merupakan warganegara Singapura atau penduduk tetap, berumur antara 21 dengan 65 tahun, dan mempunyai sekurang-kurangnya satu anak yang bersekolah di sekolah rendah tempatan Kementerian Pendidikan (MOE) semasa maklum balas diberikan.

“Meningkatkan prestasi akademik anak dilihat sebagai pendorong utama ibu bapa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen, dengan sebahagian besar ibu bapa, iaitu 84.9 peratus, bersetuju bahawa tuisyen memberi kelebihan kepada anak mereka dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE),” kata IPS.

Tiga perempat juga berkata anak-anak mereka memerlukan tuisyen untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam kerja sekolah, dan tujuan tuisyen yang lebih penting adalah untuk memberi tumpuan kepada persediaan peperiksaan.

Namun pada masa yang sama, sekitar dua pertiga berkata tuisyen menambah tekanan akademik bagi anak-anak mereka, manakala 59.5 peratus menyatakan bahawa anak-anak mereka mengikuti kelas tuisyen untuk mencapai potensi penuh mereka dan bukannya untuk mengatasi kelemahan.

Berhubung dengan kelas pengayaan, ibu bapa melihatnya sebagai usaha untuk perkembangan anak, namun penggunaannya bagi persediaan skim Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) adalah berbeza mengikut jenis perumahan.

Skim DSA ialah proses kemasukan khas yang membolehkan murid memohon kemasukan ke sekolah menengah atau Maktab Rendah berdasarkan bakat, pencapaian, dan potensi khusus mereka sebelum keputusan peperiksaan rasmi diumumkan.

Sebanyak 88.9 peratus ibu bapa bersetuju bahawa kelas pengayaan membantu anak mereka mengembangkan kemahiran yang tidak diajar di sekolah.

Sebagai perbandingan, kurang daripada satu pertiga atau sebanyak 31.8 peratus berkata mereka menghantar anak mengikuti kelas pengayaan sebagai persediaan untuk permohonan DSA.

Memberi penerangan lanjut, kertas IPS menjelaskan sebanyak 84.7 peratus dalam kalangan ibu bapa yang tinggal di flat HDB satu hingga tiga bilik, 92.7 peratus dalam kalangan mereka yang tinggal di kondominium atau apartmen privet, dan 93.4 peratus dalam kalangan mereka yang tinggal di rumah privet, berpendapat kelas pengayaan membantu anak mengembangkan kemahiran yang tidak diajar di sekolah.

Corak berbeza pula dapat dilihat bagi penggunaan kelas pengayaan sebagai persediaan untuk DSA.

Sekitar separuh atau 50.4 peratus ibu bapa yang tinggal di flat HDB satu hingga tiga bilik berkata mereka menggunakan kelas pengayaan untuk tujuan tersebut. Ini berbanding 33.2 peratus isi rumah HDB empat bilik, 28.7 peratus isi rumah HDB lima bilik atau lebih, 25.7 peratus isi rumah kondominium atau apartmen privet, dan 25 peratus bagi isi rumah privet.

“Ini menunjukkan meskipun kelas pengayaan secara amnya dilihat sebagai usaha untuk perkembangan anak merentas kumpulan jenis perumahan, penggunaannya sebagai strategi persediaan DSA lebih tertumpu dalam kalangan ibu bapa yang tinggal di flat HDB yang lebih kecil,” kata IPS.

Dalam pada itu, semakin ramai ibu bapa di Singapura mengamalkan pendekatan holistik terhadap pendidikan anak-anak mereka, dengan mementingkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, perkembangan sosial dan emosi, serta memberi ruang kepada anak-anak untuk belajar daripada kegagalan.

Meskipun itu, IPS berkata ramai ibu bapa masih prihatin terhadap prospek jangka panjang anak-anak mereka dan bergantung pada petunjuk kedudukan akademik sekolah, seperti markah pemilihan sekolah dan reputasi sekolah, ketika membuat keputusan mengenai persekolahan.

IPS menambah peningkatan penekanan terhadap perkembangan holistik tidak membawa kepada pengurangan tekanan dalam kalangan ibu bapa.

Hal ini dapat dilihat daripada peratusan ibu bapa yang melaporkan mereka bertengkar dengan pasangan mengenai pendidikan anak-anak – daripada sekurang-kurangnya sekali dalam setahun lalu hingga sekali seminggu atau lebih – yang telah meningkat daripada 42.8 peratus pada 2016 kepada 59.7 peratus pada 2026.

Peratusan ibu bapa yang melaporkan berasa tertekan — daripada sekurang-kurangnya sekali dalam setahun lalu hingga sekali seminggu atau lebih — turut meningkat daripada 73.1 peratus pada 2016 kepada 87.9 peratus pada 2026.

Meskipun ibu bapa didapati kurang cenderung untuk bersetuju bahawa sistem pendidikan menyebabkan tekanan keterlaluan kepada anak-anak, namun mereka sendiri melaporkan rasa lebih tertekan.

“Satu kemungkinan ialah tekanan dalam kalangan ibu bapa telah beralih daripada tekanan segera berkaitan peperiksaan kepada kebimbangan yang lebih luas mengenai prospek pendidikan anak-anak dalam jangka panjang, khususnya dalam persaingan global yang semakin sengit untuk mendapatkan pekerjaan,” jelas IPS.